Diterbitkan pada 20 April 2026, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu sejak sekian lama menjadi tonggak utama pembinaan identiti bangsa dan negara. Sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah menjadi medium penyatuan masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang. Dalam sejarahnya, bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca di rantau Nusantara, digunakan secara meluas dalam perdagangan, pentadbiran dan penyebaran ilmu. Namun, dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang dipacu oleh globalisasi dan teknologi digital, kelestarian bahasa Melayu sebagai wadah ilmu dan identiti bangsa semakin teruji.

Perkembangan pesat teknologi komunikasi telah mengubah cara manusia berinteraksi. Media sosial, aplikasi pesanan segera dan platform digital lain telah menjadi medium utama komunikasi harian. Dalam konteks ini, bahasa memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat dengan pantas dan berkesan. Namun begitu, penggunaan bahasa Melayu dalam ruang digital sering kali tidak mematuhi norma tatabahasa yang betul. Fenomena penggunaan bahasa singkatan, bahasa rojak serta pengaruh bahasa asing semakin berleluasa, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Penggunaan bahasa yang tidak baku ini, walaupun memudahkan komunikasi sebenarnya memberikan kesan jangka panjang terhadap penguasaan bahasa Melayu yang standard. Pelajar yang terbiasa dengan penggunaan bahasa tidak formal dalam media sosial berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk menghasilkan penulisan akademik dan rasmi. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kualiti bahasa Melayu pada masa hadapan jika tidak ditangani dengan segera.

Faktor utama yang menyumbang ke arah fenomena ini ialah perubahan sikap masyarakat terhadap bahasa Melayu. Pada era globalisasi, bahasa Inggeris sering dianggap sebagai bahasa utama dalam bidang profesional, sains dan teknologi. Hal ini menyebabkan sebahagian masyarakat lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan harian, terutamanya dalam konteks pekerjaan. Persepsi bahawa bahasa Melayu kurang relevan dalam dunia moden perlu diperbetul kerana bahasa ini sebenarnya mempunyai keupayaan untuk berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Dalam usaha memastikan kelestarian bahasa Melayu, peranan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka amat penting. Sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap perancangan dan pengembangan bahasa, DBP telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu, termasuk penerbitan buku, penyelarasan istilah dan kempen kesedaran bahasa. Namun begitu, kejayaan usaha ini bergantung pada sejauh mana masyarakat menerima dan mengamalkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kehidupan seharian.

Selain itu, sistem pendidikan memainkan peranan yang sangat besar bagi membentuk penguasaan bahasa dalam kalangan generasi muda. Kurikulum yang menekankan kemahiran berbahasa secara menyeluruh, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis perlu dilaksanakan dengan berkesan. Guru sebagai ejen utama pendidikan perlu kreatif bagi menarik minat pelajar terhadap bahasa Melayu, misalnya melalui penggunaan teknologi digital, bahan multimedia dan pendekatan pembelajaran interaktif.

Penggunaan karya sastera dalam pengajaran juga dapat membantu meningkatkan apresiasi pelajar terhadap keindahan bahasa Melayu. Novel, cerpen, puisi dan drama bukan sahaja memperkaya kosa kata, malah membentuk pemikiran kritis dan nilai estetika dalam diri pelajar. Dengan pendedahan yang berterusan, pelajar akan lebih menghargai bahasa Melayu sebagai bahasa yang indah dan bermakna.

Di samping itu, peranan keluarga untuk memupuk penggunaan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan. Ibu bapa perlu menjadi contoh dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam komunikasi harian. Persekitaran rumah yang mengutamakan penggunaan bahasa yang baik akan membantu anak-anak membina asas bahasa yang kukuh sejak kecil.

Dalam dunia pekerjaan pula, penggunaan bahasa Melayu perlu diperkasakan, khususnya bagi sektor awam dan swasta. Dokumen rasmi, mesyuarat dan komunikasi organisasi seharusnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Hal ini selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan. Walaupun penggunaan bahasa Inggeris tidak dapat dielakkan dalam konteks tertentu, keseimbangan perlu dicapai agar bahasa Melayu tidak dipinggirkan.

Dari sudut ekonomi, bahasa Melayu juga mempunyai potensi besar untuk berkembang melalui industri kreatif. Filem, drama, muzik, buku dan kandungan digital dalam bahasa Melayu dapat menjadi produk yang bernilai tinggi jika dihasilkan dengan kualiti yang baik. Malah, dengan strategi pemasaran yang berkesan, karya seni dalam bahasa Melayu berpotensi menembusi pasaran antarabangsa sekali gus memperkenalkan dan mengangkat budaya tempatan di mata dunia.

Teknologi juga dapat dimanfaatkan untuk memperkasakan bahasa Melayu. Pembangunan aplikasi digital seperti kamus dalam talian, sistem terjemahan automatik dan perisian pengecaman suara dalam bahasa Melayu dapat memudahkan pengguna dan meningkatkan penggunaan bahasa ini dalam dunia digital. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dengan institusi kebahasaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada masa yang sama, kempen kesedaran bahasa perlu diperhebat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara bahasa Melayu. Media massa dan media sosial boleh digunakan sebagai platform untuk menyampaikan mesej ini secara meluas. Kandungan yang kreatif dan menarik mampu mempengaruhi masyarakat, khususnya generasi muda,untuk lebih menghargai bahasa kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kelestarian bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang betul dalam komunikasi harian, penulisan dan media sosial merupakan langkah kecil yang memberikan impak yang besar. Kesedaran ini perlu bermula daripada diri sendiri sebelum diperluas kepada masyarakat.

Kesimpulannya, kelestarian bahasa Melayu sebagai wadah ilmu dan identiti bangsa bergantung pada usaha bersepadu daripada semua pihak. Dalam dunia tanpa sempadan yang penuh dengan cabaran, bahasa Melayu perlu diperkasakan agar terus relevan dan dihormati. Dengan komitmen yang berterusan, bahasa Melayu bukan sahaja mampu bertahan, malah berpotensi untuk berkembang sebagai bahasa ilmu dan budaya yang unggul pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi