Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan inisiatif pendigitalan terbaharu melalui pembangunan Portal Kamus DBP bagi memudahkan pengguna bahasa merujuk maklumat kosa kata dan istilah secara pantas seiring perkembangan teknologi digital.
Ketua Bahagian Perkamusan DBP, Encik Mohd Fadzli bin Tajuid berkata, portal ini merupakan platform khusus perkamusan digital yang berbeza daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang sedia ada.
“Portal Kamus DBP ini dibangunkan selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan untuk memastikan khazanah bahasa boleh diakses di hujung jari tanpa perlu merujuk kamus fizikal di perpustakaan,” jelas beliau ketika sesi temu bual bersama-sama dengan BERNAMA Radio, semalam.
Menurut beliau, DBP telah menerbitkan hampir 400 judul kamus, glosari dan daftar istilah secara bercetak sepanjang tujuh dekad penubuhannya. Bagi pembangunan fasa pertama portal ini, Kamus Dewan Perdana (KDP) telah dipilih sebagai sumber rujukan utama.
“KDP merupakan kamus yang paling komprehensif dan mutakhir setakat ini dengan mengandungi lebih 120,000 data entri yang merangkumi maklumat ejaan, sebutan, asal usul kata, makna mendalam yang berdasarkan kajian korpus, serta tulisan Jawi,” katanya.
Mengulas tentang kepentingan pendigitalan, Encik Mohd Fadzli bin Tajuid menekankan bahawa cara masyarakat mencari maklumat telah berubah dan memerlukan kepantasan, bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap sumber yang tidak sahih di Internet, serta menyediakan data digital bahasa sebagai persediaan menghadapi era kecerdasan buatan (AI).
Tambah beliau, portal yang boleh dicapai melalui pautan www.kamus.dbp.gov.my ini mempunyai ciri yang mesra pengguna, termasuklah ruangan “Kata Hari Ini” dan statistik Kata Carian Terbanyak berbanding dengan versi cetak yang mengambil masa lama untuk dikemas kini. Portal ini dianggap sebagai “kamus hidup”.
Jika dahulu kita perlu menunggu cetakan baharu mungkin dalam tempoh lima tahun untuk memasukkan kata baharu, tetapi kini melalui portal, kami boleh mengemas kini maklumat secara terus berdasarkan keperluan semasa,” tambah beliau.
Walau bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa setiap kata baharu perlu melalui prosedur saringan dan analisis penggunaan yang ketat sebelum direkodkan bagi memastikan kewajarannya, termasuklah pemberian label yang tepat, seperti bahasa percakapan atau bahasa basahan.
Bagi menyebarluaskan penggunaan portal ini, DBP menggiatkan program “Bersahabat dengan Kamus” ke seluruh negara. Program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat cara merujuk kamus dengan betul, terutama memahami label singkatan agar tidak berlaku salah tafsir.
“Contohnya singkatan “bkn” yang bermaksud “berkenaan dengan”, tetapi sering disalah erti sebagai “bukan”. Begitu juga label “ark” untuk kata “arkaik” (bahasa lama) dan “akr” untuk akronim,” jelasnya lagi.
Encik Mohd Fadzli bin Tajuid juga menjelaskan bahawa pembangunan Portal Kamus DBP ini mengambil masa hampir setahun, bermula pada tahun 2025 sebelum dibuka secara rasmi kepada umum pada April 2026.
“Secara teknikalnya, fasa pembangunan intensif ini dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan bagi memastikan platform ini sedia untuk digunakan oleh masyarakat secara sistematik,” katanya lagi.
Jelas beliau lagi, setiap maklumat yang dimuatkan dalam portal ini telah melalui proses pengesahan oleh beberapa pakar istilah mengikut bidang masing-masing.
“Selain rujukan teks, DBP turut melaksanakan kajian lapangan bagi mengumpulkan kosa kata dialek dan istilah tempatan melalui temu bual bersama-sama dengan informan. Usaha ini merangkumi rakaman kosa kata yang berkaitan dengan makanan tradisi, unsur kebudayaan, serta perubatan tradisional demi memastikan maklumat bagi setiap kata entri adalah sahih dan tepat.”