Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2026 membuktikan peranannya sebagai wadah utama bagi melahirkan modal insan yang holistik serta melatih generasi muda agar petah berbicara, khususnya dalam pengucapan awam.

Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2026 kali ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, petang semalam.

Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa penganjuran pertandingan ini amat bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melahirkan modal insan yang holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah petah berbicara dalam pengucapan awam.

Menyentuh cabaran dunia moden yang kini didominasi oleh revolusi industri dan kecerdasan buatan (AI), beliau mempersoalkan tentang nilai kemanusiaan yang tidak boleh digantikan oleh mesin.

Ujar beliau,

Sentuhan manusia” (human touch) ialah keupayaan manusia untuk berfikir secara kritis, berempati dan berkomunikasi dengan penuh hikmah merupakan perkara yang tidak boleh ditiru oleh teknologi.

Tambah beliau lagi, elemen tersebut selaras dengan Pelan Strategik Universiti Malaya yang meluncurkan agenda UM LEADER yang menekankan penguasaan kemahiran interpersonal yang tinggi dalam kalangan graduan meliputi enam teras utama, iaitu L – Learned (Berilmu); E- Ethical (Beretika); A- Analytical (Analitikal); D-Dynamic (Dinamik); E– Empathy (Empati) dan R- Resilient (Daya Tahan).

Beliau turut menyifatkan seni pidato bukan sekadar platform bagi melontarkan kata-kata di hadapan khalayak ramai, sebaliknya merupakan satu latihan intensif untuk menajamkan minda mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Dr. Hasniza Zaman Huri ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2026.

Tambahnya, melalui pidato, peserta dididik untuk menganalisis isu kompleks secara objektif, menyusun hujah berfakta, dan menyampaikan aspirasi yang mampu menyatupadukan masyarakat.

Pada peringkat pengurusan tertinggi universiti, komitmen penuh diberikan bagi melahirkan intelektual muda yang berani, berketerampilan, dan berimpak tinggi demi pembangunan komuniti, katanya lagi.

Senada dengan itu, Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Julia Alani Henry berkata, pertandingan bertemakan “Evolusi Hijau” itu berjaya menghimpunkan 30 orang peserta bagi kategori sekolah dan universiti.

Beliau turut menzahirkan rasa kagum dengan para pemidato yang menunjukkan prestasi cemerlang semasa menyampaikan hujah masing-masing dalam bahasa Melayu yang gramatis dan teratur walaupun topik yang diketengahkan sarat dengan istilah teknikal.

Jelasnya lagi,

Pertandingan pidato bukan sekadar pentas untuk menguji kelantangan suara, tetapi merupakan ujian pemikiran kritis untuk menyampaikan hujah berfakta dalam tempoh tujuh minit. Pada era kepesatan media sosial ini, wadah sebegini menjadi instrumen penting untuk melatih generasi muda berkomunikasi secara langsung dengan baik.

Pengarah DBP Wilayah Tengah itu turut menjelaskan bahawa generasi muda yang menyertai pertandingan ini merupakan benteng utama demi mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan daripada terus terhakis pada era globalisasi ini sesuai dengan pepatah “bahasa yang hilang maruahnya, maka hilanglah jati diri bangsanya”.

Keunikan pertandingan edisi kali ini dapat disaksikan melalui kepelbagaian latar belakang penyertaan yang melibatkan peserta bukan Melayu, sekali gus membuktikan peranan bahasa Melayu yang kekal relevan sebagai instrumen perpaduan di Malaysia.

Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Julia Alani Henry ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2026.

Selain penambahan kategori baharu, peralihan lokasi ke DBP turut disifatkan sebagai satu pencapaian sejarah yang mengukir kenangan manis buat semua peserta, sekali gus memperkukuh jalinan strategik bersama-sama DBP demi pemartabatan bahasa Melayu.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid JPWPKL, Encik Muhamad Tarmizi Muhammad Nor; Pengetua Kolej Kediaman Tunku Kursiah, Profesor Madya Dr. Rosidah Hassan serta pegawai DBP.

Kredit Foto: Hanafi bin Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi