Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Pelancaran buku Daftar Kata Bahasa Orang Asli melibatkan tiga kelompok utama, iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Proto pada hari ini merupakan satu peristiwa yang amat bermakna dalam usaha pemeliharaan warisan bahasa dan budaya negara.”
Demikian penjelasan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor semasa diundang merasmikan dan melancarkan buku Daftar Kata Bahasa Senoi – Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Negrito – Bahasa Melayu dan Daftar kata Bahasa Melayu Proto – Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang tadi.
Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan bahawa penerbitan buku ini bukan sekadar usaha dokumentasi linguistik, malah merupakan langkah strategik dan sistematik dalam memelihara serta memulihara khazanah bahasa Orang Asli yang semakin terancam.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian linguistik. Namun begitu, sebahagian daripada bahasa warisan ini berdepan dengan ancaman kepupusan akibat proses urbanisasi, globalisasi dan perubahan sosiobudaya.”
“Oleh itu, saya yakin buku ini akan menjadi sumber rujukan utama dan autoritatif kepada penyelidik linguistik, ahli antropologi, pendidik, pelajar institusi pengajian tinggi serta semua pihak yang berminat dalam bidang bahasa dan budaya Orang Asli.”
Selain itu, YB Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor turut berpandangan bahawa bahasa merupakan teras kepada pembentukan identiti budaya, sistem pengetahuan tradisional serta pemahaman yang mendalam tentang hubungan manusia dengan alam sekitar.
Melalui daftar kata yang disusun secara teliti, saintifik dan sistematik ini, kita bukan sahaja dapat merekodkan kekayaan leksikal bahasa Orang Asli, malah turut memelihara warisan intelektual komuniti tersebut yang telah diwarisi secara turun-temurun sejak berabad-abad lamanya.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi Orang Asli di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227 900 orang pada tahun 2025 berbanding dengan 213 461 orang pada tahun 2020.
Komuniti ini terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama, iaitu Senoi (53.5 peratus), Melayu Proto (44.4 peratus), dan Negrito (2.1 peratus), yang merangkumi 18 subetnik dengan kekayaan bahasa dan budaya yang unik.
Lantaran itu, penerbitan buku ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pemeliharaan dan pemerkasaan warisan bahasa serta budaya Orang Asli di Malaysia.
Terdahulu, YB Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor telah melancarkan buku Daftar Kata Bahasa Orang Asli hasil kajian lapangan yang dilakukan oleh Dr. Haji Mohd Sharifudin Yusop.
Menurut penulis, Dr. Haji Mohd Sharifudin Yusop, masyarakat Orang Asli di semenanjung Malaysia terbahagi kepada tiga kelompok utama, iaitu Negrito, Senoi (suku Orang Semai), dan Melayu Proto (suku Temuan).
“Perbendaharaan kata mereka adalah unik mengikut suku, namun sering kali berkongsi pinjaman kata atau berakar serumpun dengan bahasa Melayu.”
“Oleh hal yang demikian, saya telah mengambil inisiatif dengan merakamkan daftar kata Orang Asli daripada kelompok Negrito, Melayu Proto dan Senoi untuk memperkaya kepustakaan tempatan.”
Untuk rekod, penerbitan buku ini merupakan hasil kerjasama strategik antara DBP dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam usaha mendokumentasikan, memelihara dan melestarikan khazanah bahasa sukuan Orang Asli yang semakin terancam.