Diterbitkan pada 29 Jun 2026, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memperlihatkan komitmennya dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan apabila menerima pelawaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melaksanakan Audit Bahasa Melayu pada tahun ini selepas kali pertama diaudit pada tahun 2013.

Sesi penyemakan dokumen rasmi oleh ketua juruaudit, Encik Abd. Karim bin A. Bakar (tengah) dan urus setia DBP.

Pelaksanaan audit susulan yang berlangsung dari 22 Jun hingga 25 Jun 2026 merupakan satu usaha berterusan ke arah memperkukuh penggunaan bahasa Melayu yang baik dan bermutu dalam sektor perumahan dan kerajaan tempatan. Hal ini selaras dengan fungsi KPKT sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pemerkasaan pembangunan komuniti dan pengurusan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebagai kementerian yang berurusan secara langsung dengan masyarakat melalui penyampaian dasar, perkhidmatan dan maklumat awam, penggunaan bahasa Melayu yang jelas, tepat dan berkesan dalam iklan dan promosi perumahan, papan tanda awam, notis pihak berkuasa tempatan, hebahan komuniti, urusan kaunter serta dokumen rasmi kementerian dan agensi di bawahnya amat penting bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan dapat difahami dan diterima baik oleh masyarakat. Penyampaian maklumat melalui penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul bukan sahaja membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan, malah turut menyumbang dalam pembentukan imej profesional kementerian.

Penyampaian cenderamata daripada Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin kepada Puan Rasidah Ibrahim.

Mesyuarat Pembukaan dan Penutupan Audit Bahasa Melayu telah dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, KPKT, Puan Rasidah  Ibrahim dan dihadiri oleh wakil bahagian yang terlibat dalam pengauditan tersebut. DBP pula diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin dan pegawai dari Unit Audit Bahasa, Bahagian Penguatkuasaan yang terdiri daripada Puan Roslida Mustapha, Puan Syasya Najibah Sallim dan Encik Mohd Fauzan Mohd.

Sepanjang sesi pengauditan yang diketuai oleh Encik Abd. Karim bin A. Bakar berlangsung, pelbagai dokumen rasmi kementerian telah dinilai bagi meneliti tahap penggunaan bahasa dan mutu penggunaannya. Penilaian melibatkan dokumen seperti surat rasmi, e-mel, laporan, minit mesyuarat, teks ucapan, notis, bahan paparan dan peragaan serta dokumen rasmi lain yang digunakan dalam urusan pentadbiran kementerian. Aspek ejaan, tanda baca, pemilihan kosa kata dan binaan ayat merupakan elemen utama dalam sesi pengauditan mutu bahasa Melayu.

KPKT masih mengekalkan pencapaian pada aras yang sama dengan memperoleh Aras 5 (Sangat Baik) bagi aspek tahap penggunaan bahasa dan Aras 4 (Baik) untuk mutu bahasa Melayu.

Dalam sesi pembentangan laporan, pihak KPKT menzahirkan penghargaan kepada DBP atas pelaksanaan audit yang disifatkan sebagai medium penting bagi menambah baik penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

KPKT akan menggiatkan usaha untuk meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pegawai melalui kursus bahasa Melayu yang akan dianjurkan dengan kerjasama DBP. Kementerian ini juga telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Kursus Pembinaan Munsyi Muda Bahasa yang telah diadakan pada 18 hingga 22 Mei 2026.

Dengan adanya Program Munsyi Muda Bahasa, KPKT akan memanfaatkan sepenuhnya peranan Munsyi Muda Bahasa dengan sebaik-baiknya bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua dokumen rasmi.

Kredit Foto: SYAFIQ SELAMAT
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi