Diterbitkan pada 5 Julai 2026, 13:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kewangan terus mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam Audit Bahasa Melayu apabila berjaya merekodkan pencapaian Aras 4 (Baik) dari aspek pembinaan ayat dan pemilihan kosa kata dalam penyediaan dokumen rasminya.

Hasil pengauditan mendapati tahap mutu penggunaan bahasa Melayu yang paling baik dicatatkan menerusi medium penulisan minit mesyuarat, dokumen perjanjian dan teks ucapan.

Sebanyak 429 dokumen rasmi di kementerian berkenaan terlibat dalam proses pengauditan merangkumi surat, e-mel, notis, memo, laporan, kertas cadangan, nota pembentangan, dokumen edaran, teks pengacaraan, teks bacaan doa, pengiklanan jawatan, maklum balas media massa dan paparan peragaan.

Kesemua dokumen tersebut mempamerkan kualiti yang sangat baik, sekali gus pencapaian ini disarankan agar diperluas kepada penyediaan dokumen rasmi yang lain.

Selain itu, peratusan markah yang diperoleh oleh kementerian tersebut mempamerkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding dengan rekod sebelum ini.

Pelaksanaan audit yang dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 Jun hingga 2 Julai yang lalu di kementerian itu merupakan inisiatif susulan selepas kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2013.

Sesi penilaian teknikal dikendalikan oleh Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Abd. Karim A. Bakar dengan kerjasama daripada 12 orang Munsyi Muda Bahasa Kementerian Kewangan bagi membantu kelancaran tugas semakan.

Pelibatan Munsyi Muda Bahasa dalam sesi penyemakan dokumen ini sebagai pendedahan awal memandangkan mereka bakal dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan audit kendiri di bahagian dan unit masing-masing.

Melalui ruang ini juga, mereka berpeluang menimba ilmu serta bertukar-tukar pandangan secara langsung dengan Ketua Juruaudit dalam aspek penggunaan bahasa yang baik, betul dan santun, sekali gus memantapkan pemahaman mereka dalam penyediaan dokumen rasmi yang berkualiti.

Dalam pada itu, mesyuarat pembukaan dan penutupan bagi sesi pengauditan dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, YBrs. Encik Ghazali Hizam di Bilik Mesyuarat Utama Blok Selatan, Kementerian Kewangan.

Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Kementerian Kewangan, YBrs. Encik Ghazali Hizam (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembukaan Audit Bahasa Melayu.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Munsyi Muda Bahasa Kementerian Kewangan, delegasi DBP yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasaan, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin bersama-sama dengan barisan pegawai dari Unit Audit Bahasa.

Sesi penyemakan dan penilaian dokumen rasmi oleh Munsyi Muda Bahasa Kementerian Kewangan.
Penyemakan awal dokumen rasmi oleh urus setia DBP dan sesi pengauditan oleh YBrs. Encik Abd. Karim A. Bakar (dua dari kiri).

Berucap dalam majlis penutup, YBrs. Encik Ghazali memaklumkan bahawa dapatan audit akan dioptimumkan sepenuhnya bagi menambah baik mutu penulisan dokumen rasmi di kementerian tersebut.

“Kami berharap agar hasil penemuan audit membantu pihak kementerian membuat perancangan yang lebih baik untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul pada masa akan datang,” ujar beliau.

Beliau berkata, pada masa yang sama, khidmat Munsyi Muda Bahasa juga akan dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai rujukan dalaman bagi memastikan segala teguran dapat dibetulkan dan ralat bahasa tidak akan berulang.

YBrs. Encik Ghazali Hizam (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Ketua Bahagian Penguatkuasaan, DBP, YBrs. Dr. Norhafizah Mohamed Husin (kiri).

Pelaksanaan Audit Bahasa Melayu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBP bagi memartabatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu, khususnya bagi menjamin kelangsungan profesionalisme urusan pentadbiran negara.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi