Diterbitkan pada 22 Julai 2026, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Peranan bahasa kebangsaan bukan sekadar sebagai alat komunikasi, malah merupakan tunjang utama pembinaan identiti, jati diri serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Demikian inti pati yang dapat dikupas melalui Wacana “Restu Jiwa Pahlawan” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang berlangsung pada pagi tadi di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Wacana yang dikendalikan oleh moderator Encik Muhammad Mujahid Halpi, iaitu Penolong Pengarah Jabatan Komunikasi  Komuniti Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menghimpunkan tiga ahli panel untuk membicarakan tentang sumbangan dan cabaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dari sudut perundangan, sastera dan sistem pendidikan negara.

Mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Aminah Awang Basar memulakan wacana dengan menelusuri sejarah bahasa Melayu yang telah menjadi lingua franca sejak era Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 dalam urusan perdagangan, pentadbiran, diplomasi dan penyatuan masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru yang pada asalnya dikenali sebagai Balai Pustaka merupakan hasil resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu bagi mewujudkan sebuah badan khas yang merancang, membina serta mengembangkan bahasa Melayu secara sistematik.

Ujar beliau,

Penubuhan institusi ini setahun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu jelas membuktikan wawasan pemimpin terdahulu yang menyedari bahawa kemerdekaan politik mesti disusuli dengan kemerdekaan bahasa dan pemikiran. Peranan DBP yang termaktub melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta DBP 1959 telah memperkasakan institusi ini untuk membina, memperkaya dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Sumbangan terbesar DBP bukan sekadar memperkukuh dasar, malahan membina keyakinan rakyat bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pentadbiran, ekonomi dan memupuk perpaduan bangsa.

Mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar ketika mengulas tentang peranan bahasa Melayu sebagai  bahasa lingua franca dalam wacana “Restu Jiwa Pahlawan”.

Bagi menghadapi gelombang teknologi digital dan pemodenan kecerdasan buatan, Puan Aminah Awang Basar turut menggariskan empat teras utama bagi generasi muda (Generasi Z) untuk menghargai jasa pejuang bahasa dengan menguasai bahasa secara gramatis yang tepat, jelas dan santun dalam penulisan serta komunikasi sehari-harian; menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan inovasi dalam bidang penyelidikan, kecerdasan buatan, teknologi dan keusahawanan; kesantunan berbahasa pada era digital bagi mengelakkan penggunaan bahasa kasar, fitnah di platform media sosial; serta menjadi duta bahasa untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sementara itu, Sasterawan Negeri Sabah, iaitu YBhg. Datuk Jasni Matlani mengimbas kembali sejarah penubuhan DBP Cawangan Sabah pada 1 Julai 1977 dan telah mengambil keputusan yang berani sebagai pemimpin Sabah pada awal tahun 1970-an dengan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negeri tersebut selepas tamat tempoh 10 tahun Perjanjian Persekutuan 1963.

Beliau menegaskan bahawa sastera dan bahasa mempunyai hubungan timbal balik yang rapat kerana sasterawan berperanan memperindah bahasa baku menerusi nilai estetika, metafora dan falsafah bagi membina masyarakat yang beradab.

Tegas beliau,

Pembangunan negara tidak boleh tertumpu kepada aspek fizikal dan bangunan pencakar langit semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan dengan pembinaan jiwa bangsa agar nilai, adab dan kearifan tempatan sentiasa dijiwai walaupun kita sudah maju ke ruang digital.

Sasterawan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Jasni Matlani semasa sesi wacana “Restu Jiwa Pahlawan”.

Beliau turut menekankan tentang kepentingan budaya membaca dalam kalangan penulis muda agar mendapat inspirasi daripada tokoh besar dunia seperti Jalaluddin Rumi yang merupakan sasterawan yang mampu menghasilkan tulisan bermakna dan kekal relevan merentas zaman.

Tambah beliau lagi,

Kita mengambil contoh pemikir dan tokoh sastera Islam tersohor seperti Jalaluddin Rumi yang karyanya terus hidup dan mempengaruhi masyarakat dunia biarpun selepas 800 tahun peninggalannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Momogun Sahabat, YBrs. Dr. Raymond Majumah pula mengupas tentang peranan bahasa Melayu dan sastera pada peringkat sekolah bagi membina sahsiah, jati diri serta kepimpinan pelajar.

Beliau juga memperincikan empat elemen utama yang mendasari Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu jasmani yang berfungsi sebagai alat komunikasi dan kepimpinan penting dalam pelbagai aktiviti fizikal mahupun sukan; emosi dan rohani melalui penghayatan sajak dan drama untuk melatih emosi murid, membina jati diri dan mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan propaganda; serta intelektual dalam bahasa Melayu dan sastera yang merupakan manifestasi nilai estetika dan pemikiran intelek yang tinggi.

Presiden Persatuan Momogun Sahabat, YBrs. Dr. Raymond Majumah sebagai panel ketiga yang berkongsi buah fikiran dalam wacana “Restu Jiwa Pahlawan”.

Dr. Raymond turut mengupas aspek kurikulum pengajaran Bahasa Melayu di sekolah yang merangkumi empat Kertas Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meliputi Karangan, Tatabahasa/KOMSAS, Ujian Lisan dan Ujian Mendengar dibina secara holistik demi melahirkan generasi yang tinggi budi bahasa dan mantap penggunaan bahasa Melayu.

Jelasnya beliau,

Kerjasama tiga pihak,iaitu antara DBP, pihak sekolah dengan komuniti termasuk pelibatan institut perguruan seperti IPG Kampus Gaya sangat penting bagi memastikan pelbagai bengkel dan program kebahasaan dapat memberikan impak berterusan.

Wacana tersebut menyimpulkan bahawa selepas hampir tujuh dekad, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan lagi digalas oleh DBP atau warga pendidik semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama kerajaan, sektor swasta, media dan seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan bahasa Melayu kekal relevan, dinamik dan diyakini pada peringkat global.

Yang turut hadir dalam wacana tersebut termasuklah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Dr. Norhashimah Jalaluddin, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi