Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 18:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari menegaskan bahawa cabaran utama pada hari ini bukanlah sekadar mempertahankan bahasa Melayu dalam arus teknologi, tetapi memastikan bahasa kebangsaan ini terus berkembang maju seiring dengan kepesatan era digital dan kecerdasan buatan atau disebut artificial intelligence (AI).

Teknologi bukan sahaja mampu menghasilkan ribuan ayat dalam masa beberapa saat, malah dapat menterjemahkan pelbagai bahasa dan membantu manusia menyelesaikan pelbagai tugasan yang sebelum ini memerlukan tempoh masa yang panjang.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Amil Jaya DBP Cawangan Sabah hari ini.

“Teknologi mampu menjana perkataan, tetapi tidak mampu melahirkan hikmah,” tegas beliau lagi ketika merasmikan Majlis Pelancaran Temasya Restu Jiwa Pahlawan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, hari ini.

Tambah beliau lagi, walaupun teknologi mampu membantu kehidupan seharian manusia, namun teknologi sama sekali tidak dapat menggantikan kebijaksanaan dan hikmah yang lahir daripada pengalaman, adab serta nilai kemanusiaan.

Persembahan puisi Dermaga, Menara dan Maruah Kita karya Meriam Awang Lah yang dideklamasikan oleh Encik Muhd Afif dari Persatuan Pemuisi D’Bayu.

“Bahasa Melayu hendaklah terus hidup dan subur di sekolah, di institusi pengajian tinggi, komuniti, di pentas seni, dalam media sosial, kandungan digital serta dalam kehidupan seharian masyarakat,” seru beliau lagi.

Dalam majlis tersebut, beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada tokoh pendidik negeri Sabah, Puan Lorenica Frenila Masundim atas dedikasi cemerlangnya memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi, khususnya di kawasan pedalaman negeri tersebut.

Pelbagai pengisian menarik turut mewarnai penganjuran temasya berkenaan, antaranya termasuklah pelaksanaan aktiviti Majalah Dalam Kelas untuk pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidik dengan melibatkan sekolah sekitar Kota Kinabalu bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa pada peringkat akar umbi.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan pelancaran antologi Nafas yang Dititipkan hasil terbitan Ahli Badan Keluarga DBP Cawangan Sabah.

YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari (tengah) bersama-sama dengan bersama-sama tetamu kehormat ketika melancarkan antologi Nafas yang Dititipkan terbitan Ahli Badan Keluarga DBP Cawangan Sabah.

Naskhah istimewa tersebut menghimpunkan 37 buah karya yang merangkumi dua pantun, dua gurindam, satu seloka, 27 sajak dan lima cerpen hasil garapan 18 orang karyawan DBP Cawangan Sabah.

Selain itu, inisiatif wakaf buku turut disumbangkan kepada 10 buah sekolah terpilih menerusi kerjasama strategik antara DBP Cawangan Sabah dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah demi menyemarakkan lagi semangat dan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

Pada masa yang sama, Program Ayuh Baca Buku DBP!, Pertandingan Bitara Jawi dan Pertandingan Bijak Kata turut dilaksanakan bagi memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan anak muda Sabah serta penerapan nilai amalan membaca.

Pertandingan Bijak Kata dan Bitara Jawi telah dijuarai oleh Pasukan Politeknik Kota Kinabalu serta Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Keningau dalam kategori masing-masing. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari.

Para pemenang Pertandingan Bijak Kata bersempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 Tahun.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Ahli Lembaga Pengelola DBP, Yang Berhormat (YB) Dr. Safiee Ahmad dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Nordin.

Kredit Foto: Mohd Hafizee
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi