Oleh Kho Thong Eng
21 Januari 2022, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Proses morfologi dalam bahasa Melayu meliputi pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan dan pembentukan akronim. Dengan itu, terhasillah kata terbitan, kata majmuk, kata ganda dan akronim.  Sila lihat contoh yang berikut:

Contoh Kata Dasar Proses Bentuk kata
bercampur campur ditambah imbuhan “beR-“ kata terbitan
tolak ansur tolak, ansur digunakan bersama kata majmuk
gunung-ganang gunung ditambah gandaan “ganang” kata ganda
cerpen cerita pendek dipendekkan dan disatukan akronim

Selain menghasilkan kata ganda, biasanya proses penggandaan mengubah maksud kata dasar. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Tiruan atau keserupaan

Orang itu sopan.                                   (manusia)

Orang-orang dipacakkan di sawah.  (tiruan orang)

 

  1. Pelbagai jenis

Dia suka makan kuih bingka.               (penganan)

Kuih-muih yang dibuatnya sedap.       (pelbagai jenis kuih)

 

  1. Kesangatan

Tempat itu gelap.                               (tidak terdapat cahaya)

Tempat itu gelap-gelita.                   (sangat gelap)

 

Dia malu.                                              (berasa aib, segan)

Jangan malu-malu.                            (nampaknya sangat malu)

 

  1. Kesalingan

Orang itu telah saya bantu.                 (menolong)

Kita harus bantu-membantu.              (saling menolong)

 

  1. Agak

Bajunya kuning.                                    (warna seperti warna kunyit)

Tanah itu kekuning-kuningan.          (agak kuning)

 

  1. Jamak

Rumahnya cantik.                                 (sebuah rumah atau lebih)

Rumah-rumahnya cantik.                  (lebih daripada sebuah rumah)

 

Rumah di sana cantik.                           (sebuah rumah atau lebih)

Rumah di sama cantik-cantik.             (lebih daripada sebuah rumah)

 

  1. Berulang-ulang atau berpanjangan

Dia tersenyum.                                      (melahirkan senyuman)

Dia tersenyum-senyum.                      (mengeluarkan senyuman yang berulang-ulang)

 

Dia bertanya tentang hal itu.               (meminta penjelasan)

Dia tertanya-tanya tentang hal itu.    (selalu bertanya)

 

  1. Tidak tentu

Siapakah boleh masuk?                        (orang mana)

Siapa-siapa pun boleh masuk.            (barang siapa)

 

  1. Maksud berbeza

Rumah itu besar.                                   (tidak kecil)

Majlis besar-besaran itu berjaya.       (meluas dan bersungguh-sungguh)

 

Rumah lama itu telah roboh.              (panjang masanya)

Lama-lama dia akan faham.               (akhirnya)

 

Dia datang lagi.                                     (tambahan kepada yang sedia ada)

Lagi-lagi dia datang.                            (asyik)

 

Dia datang pada waktu pagi.              (waktu selepas matahari terbit)

Pagi-pagi dia ke pasar.                        (pagi sekali)

 

Dia baru balik.                                       (belum lama)

Baru-baru ini, gejala sosial berleluasa.    (akhir-akhir)

 

Peperiksaan akhir tahun bermula.           (penghabisan)

Akhir-akhir ini, kecurian menjadi-jadi.     (baru-baru)

 

Dia datang sekali.                                  (satu kali, bersama)

Dia datang sekali-sekala.                     (kadang-kadang)

Jangan sekali-kali berbuat jahat.       (sama sekali)

 

Dia duduk di bawah pokok.                    (lawan berdiri)

Dia duduk-duduk di bawah pokok.       (berehat-rehat mengambil angin)

 

Ada kalanya kata ganda mempunyai maksud yang lebih sempit daripada kata yang tidak berganda. Sila lihat contoh yang berikut:

 

jarang

Kain bajunya jarang.                            (tidak kedap tenunannya)

Rambutnya jarang.                                (tidak lebat)

Dia jarang datang.                                 (tidak sering)

 

jarang-jarang

Dia jarang-jarang datang.                      (tidak sering)

siang

Majlis diadakan pada waktu siang.         (lawan malam)

Wah, siangnya mendapat jemputan!      (lebih awal daripada sepatutnya)

 

siang-siang

Wah, siang-siang mendapat jemputan!   (lebih awal daripada sepatutnya)

 

Ada kalanya penggandaan mengubah golongan kata sesuatu kata. Sila lihat contoh yang berikut:

Siapakah boleh masuk?                           (kata ganti nama tanya)

Siapa-siapa pun boleh masuk.               (kata ganti nama umum)

 

Rumah lama itu telah roboh.                  (kata adjektif)

Lama-lama dia akan faham.                   (kata adverba)

 

Peperiksaan akhir tahun bermula.           (kata adjektif)

Akhir-akhir ini, kecurian menjadi-jadi.     (kata adverba)

 

Dalam bahasa Melayu, terdapat juga kata ganda semu, iaitu kata ganda wajib dengan maksud yang tersendiri. Kata-kata ini hanya wujud dalam bentuk berganda. Sila lihat contoh yang berikut:

biri-biri                    (sejenis binatang ternakan)

kura-kura/kekura (sejenis haiwan reptilia)

paru-paru                (organ pernafasan vertebrata)

sibur-sibur              (sejenis serangga)

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.