Oleh Kho Thong Eng
16 Mac 2021, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Banyakkan bertanya kepada guru untuk mendapatkan ilmunya.

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata tanya tergolong sebagai kata praklausa, iaitu kata yang terletak di hadapan klausa. Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat, yang menjadi konstituen kepada ayat. Tugas kata tanya adalah untuk menimbulkan pertanyaan. Selain itu, kata tanya dikatakan hadir dalam ayat sebagai sebahagian daripada predikat. Kedudukan kata tanya dalam konteks ayat tanya. Sila lihat contoh yang berikut:

  1a. Harga barang itu berapa?

      Jika dianalisis ayat tanya tersebut, kata tanya berapa hadir sebagai predikat ayat. Selain itu, kata tanya berapa dapat diganti secara paradigmatik dengan frasa nama seperti sepuluh ringgit. Oleh itu, kata tanya berapa dapat dikategorikan sebagai kata ganti nama tanya, sama seperti kata apa, siapa dan mana. Sila lihat contoh yang berikut:

 1b. Harga barang itu sepuluh ringgit?  (FN + FN)

      Ayat 1a dapat juga disongsangkan dengan pendepanan predikat dan penambahan partikel penegas –kah.

      1c.  Berapakah harga barang itu?

      Bagaimanakah pula keadaannya dengan kata tanya bila? Sila lihat contoh ayat yang berikut:

      2a. Hari perkahwinannya bila?

      Dalam ayat 2a, kata tanya bila berada pada kedudukan predikat ayat. Selain itu, kata tanya bila juga dapat diganti dengan frasa nama seperti kata esok. Oleh itu, dalam hal ini, kata tanya bila dapat berfungsi seperti kata ganti nama tanya. Sila lihat contoh yang berikut:

2b. Hari perkahwinannya esok?  (FN + FN)

      Selain itu, kata tanya bila juga dapat diganti dengan frasa sendi nama seperti pada hari Sabtu. Sila lihat contoh yang berikut:

      2c. Hari perkahwinannya pada hari Sabtu?  (FN + FS)

      Dari segi kedudukannya, kata tanya bila dapat juga berada di belakang atau di hadapan klausa. Sila lihat contoh yang berikut:

      2d. Hari perkahwinannya akan ditetapkan bila?

      2e. Bilakah hari perkahwinannya akan ditetapkan?

      Dalam ayat 2d, kata tanya bila merupakan kata pascaklausa, iaitu hadir di belakang klausa hari perkahwinannya akan diadakan. Dalam ayat 2e pula, kata tanya bila merupakan kata praklausa, iaitu kedudukannya mendahului klausa hari perkahwinannya akan ditetapkan.

      Kata tanya bila sebagai kata praklausa dan pascaklausa dapat diganti dengan frasa atau klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

      2f.  Hari perkahwinannya akan ditetapkan pada minggu hadapan?

      2g. Hari perkahwinannya akan ditetapkan selepas semua ahli  keluarganya berkumpul

      Dalam ayat 2f, kata ganti nama bila diganti dengan frasa keterangan pada minggu hadapan, manakala dalam ayat 2g, kata tanya bila diganti dengan klausa keterangan selepas semua ahli keluarganya berkumpul.

      Sekarang kita beralih kepada kata tanya bagaimana. Sila lihat contoh yang berikut:

      3a. Keadaan ayahnya bagaimana?

      Dalam ayat 3a, kata tanya bagaimana berada pada kedudukan predikat ayat.  Selain itu, kata tanya bagaimana juga dapat diganti dengan frasa adjektif seperti kata stabil. Sila lihat contoh yang berikut:

      3c. Keadaan ayahnya stabil?   (FN + FA)

       Kata tanya bagaimana dapat juga menjadi kata pascaklausa dan kata praklausa. Sila lihat contoh yang berikut:

      3d. Awak menjawab soalan ini bagaimana?

      3e. Bagaimanakah awak menjawab soalan ini?

      Dalam ayat 3d, kata tanya bagaimana ialah kata pascaklausa, iaitu hadir di belakang klausa awak menjawab soalan ini. Dalam ayat 3e, pula, kata tanya bagaimana merupakan kata praklausa, iaitu kedudukannya mendahului klausa awak menjawab soalan ini.

      Kata tanya bagaimana sebagai kata praklausa dan pascaklausa dapat diganti dengan frasa atau klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

      3f. Awak menjawab soalan ini dengan bantuan kakak awak?

      3d. Awak menjawab soalan ini selepas (awak) berbincang dengan

            kawan- kawan?

       Dalam ayat 3f, kata ganti nama bagaimana diganti dengan frasa keterangan dengan bantuan kakak awak, manakala dalam ayat 3g, kata tanya bagaimana diganti dengan klausa keterangan selepas (awak) berbincang dengan kawan-kawan.

       Kata tanya yang seterusnya ialah kata mengapa. Marilah kita lihat kewujudannya dalam ayat tanya yang berikut:

       4a. Dia tidak hadir mengapa?

       4b. Mengapakah dia tidak hadir?

       Dalam ayat 4a, kata tanya mengapa ialah kata pascaklausa, iaitu hadir di belakang klausa dia tidak hadir. Dalam ayat 4b pula, kata tanya mengapa merupakan kata praklausa, iaitu kedudukannya mendahului klausa dia tidak hadir.

       Kata tanya mengapa sebagai kata praklausa dan pascaklausa dapat diganti dengan frasa dan klausa keterangan. Sila lihat contoh yang berikut:

      4c. Dia tidak hadir oleh (sebab) masalah keluarga?

      4d. Dia tidak hadir kerana (dia) kurang sihat?

       Dalam ayat 4c, kata ganti nama mengapa diganti dengan frasa keterangan oleh (sebab) masalah keluarga, manakala dalam ayat 4d, kata tanya mengapa diganti dengan klausa keterangan kerana (dia) kurang sihat.

       Sebagai rumusan secara keseluruhannya, kata tanya dapat menjadi kata praklausa dan pascaklausa. Selain itu, kata tanya dapat juga menjadi predikat ayat atau sebahagian daripada predikat ayat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.