Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMenurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata dengan ialah kata tugas yang tergolong sebagai kata sendi nama atau kata prafrasa dan pascafrasa, dan kata penyambung ayat atau kata hubung keterangan cara. Penggunaan kata dengan sebagai kata sendi nama dalam ayat contoh seperti berikut:
Dalam semua ayat di atas, kata dengan ialah kata sendi nama yang mendahului kata atau frasa nama, iaitu Ahmad, kerjasama daripada semua penduduk, pisau dan kawannya. Dalam ayat 1,kata dengan membawa maksud “bersama-sama”atau “berserta”. Dalam ayat 2, kata dengan mendukung makna “cara sesuatu dilakukan”. Dalam ayat 3, kata dengan membawa makna “memakai atau menggunakan sesuatu sebagai alat”. Dalam ayat 4, kata dengan bererti “keadaan perbandingan yang serupa atau sama”.
Sebagai kata penyambung atau kata hubung keterangan cara, kata dengan menghubungkan klausa utama dengan klausa subordinat. Sila lihat contoh yang berikut:
5. Ali datang dengan menaiki kereta api.
6. Dia melawan penjahat itu dengan memberanikan diri.
Dalam ayat 5 dan 6 di atas, klausa subordinat yang berpangkalkan kata hubung dengan menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Dalam ayat 5, kata dengan dikaitkan dengan cara penggunaan alat tertentu, iaitu menaiki kereta api, manakala dalam ayat 6, kata dengan dikaitkan dengan gaya melakukan sesuatu perbuatan, iaitu memberanikan diri. Ayat-ayat tersebut dapat dianalisis seperti yang berikut:
5a. Ali datang. (klausa utama)
5b. dengan (dia) menaiki kereta api. (klausa subordinat)
6a. Dia melawan penjahat itu (klausa utama)
6b. dengan (dia) memberanikan diri (klausa subordinat)
Wujudnya kebanjiran penggunaan kata dengan yang diikuti kata adjektif dengan kata pembenda -nya. Hal ini berlaku demikian kerana ada pihak yang beranggapan bahawa kata dengan ialah kata sendi nama dan mesti diikuti oleh kata atau frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:
7. Kereta itu bergerak dengan lajunya.
8. Kereta itu bergerak dengan laju.
Kata dengan sebagai kata sendi nama harus diikuti oleh kata adjektif dengan pembenda -nya tetapi kita juga tidak harus menolak ketepatan struktur ayat yang menggunakan dengan sebagai kata hubung untuk menghubungkan klausa utama dengan klausa subordinat. Ayat 7 dan 8 di atas mempunyai struktur ayat yang berbeza. Analisis ayat tersebut adalah seperti yang berikut:
Ayat 7
i. struktur: ayat tunggal
ii. subjek: kereta itu (frasa nama)
iii. predikat: bergerak dengan lajunya (frasa kerja)
iv. frasa keterangan: dengan lajunya (frasa sendi nama)
v. kata adjektif dengan pembenda: lajunya (kata nama)
Ayat 8
i. struktur: ayat majmuk
ii. klausa utama: kereta itu bergerak (FN + FK)
iii. klausa subordinat: dengan (kereta) laju (KH + FN + FA)
Berdasarkan analisis di atas, kedua-dua struktur frasa sendi nama dengan lajunya dan klausa keterangan cara dengan laju mendukung makna yang sama walaupun strukturnya lain. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat banyak contoh ayat majmuk dengan klausa keterangan seperti dengan laju.
Apakah bezanya antara dengan laju dan dengan lajunya? Bagi klausa keterangan cara dengan laju, kita boleh menambah kata penguat atau kata iringan lain. Sila lihat contoh yang berikut:
9a. Kereta itu bergerak dengan sangat laju.
9b. Kereta itu bergerak dengan tidak laju.
10a. *Kereta itu bergerak dengan sangat lajuya.
10b. *Kereta itu bergerak dengan tidak lajunya.
Jika kelompok ayat 9 dengan kelompok ayat 10 dibandingkan, kita mendapati bahawa kelompok ayat 9 lebih luwes sifatnya kerana dapat ditambah kata penguat seperti sangat dan kata nafi seperti tidak.
Bagi ayat 9b dan kelompok ayat 10, sememangnya kita ada pilihan lain untuk mengungkapkan konsep yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:
11a. Kereta itu tidak bergerak dengan laju.
11b. Kereta itu bergerak dengan lajunya yang tinggi.
11c. Kereta itu tidak bergerak dengan lajunya.
Jika ayat 9a dengan ayat 11b dibandingkan, kita akan mendapati bahawa ayat 9a lebih ekonomis dan kekerapan penggunaannya jauh lebih tinggi.
Sekiranya kita hanya membenarkan kata dengan disusuli oleh kata nama, kita mungkin akan berhadapan dengan kebanjiran ayat yang janggal bunyinya. Sila lihat contoh yang berikut:
12a. Dia belajar dengan bersungguh-sungguh.
12b. *Dia belajar dengan bersungguh-sungguhnya.
13a. Dia berkhidmat dengan bertanggungjawab.
13b. *Dia berkhidmat dengan bertanggungjawabnya.
14a. Dia menghuraikan hal itu dengan terperinci.
14a. *Dia menghuraikan hal itu dengan terperincinya.
15a. Dia bertindak dengan terburu-buru.
15b. *Dia bertindak dengan terburu-burunya.
Ayat 12 hingga 15 boleh juga ditulis seperti yang berikut:
12c. Dia belajar secara bersungguh-sungguh.
13c. Dia berkhidmat secara bertanggungjawab.
14c. Dia menghuraikan hal itu secara terperinci.
15c. Dia bertindak secara terburu-buru.