21 April 2021, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Novel dari China, yang  diterjemahkan kepada bahasa Melayu yang bertajuk Di Mana Ranting Dipatah, karya tersohor penulis Lu Yao, kini boleh diperoleh di pasaran. Lu Yao mula menulis novel ini pada tahun 1975 dan mengambil masa selama 13 tahun untuk disiapkan. Pada tahun 1991, buku ini berjaya dinobatkan sebagai penerima Hadiah Sastera Mao Dun, yang merupakan hadiah kesusasteraan tertinggi di China. Karya ini berkisar tentang kehidupan rakyat biasa yang tidak mengenal erti putus asa dan memberikan inspirasi kepada masyarakat.

Sesi bergambar secara berkumpulan melalui perisian Zoom.

Sehubungan dengan itu, majlis pelancaran novel Sasterawan Negara China pertama ini dianjurkan oleh Han-Beijing Publishing House dan disempurnakan oleh Dato’ Dr. Mah Hang Soon, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan II pada 21 April 2021.

Menurut Dato’ Dr. Mah Hang Soon, karya itu dapat menjadi penyuntik semangat kepada rakyat di China, Malaysia dan seluruh dunia agar tabah mengharungi perjuangan dalam menangani pandemik COVID-19. Kementeriannya turut menyokong usaha mempromosikan lebih banyak karya dari China kepada pembaca di Malaysia. Novel terjemahan itu diterbitkan dengan kerjasama Kumpulan Penerbitan Beijing China dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia. Beliau turut berharap agar karya sastera Malaysia dapat dibawa kepada pembaca di China bagi mempererat persahabatan kedua-dua negara.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kebudayaan Han, Datuk Goh Hin San pula berkata, kesusasteraan mampu merentas perbezaan negara, budaya, warna kulit, kaum dan zaman. Kesusasteraan China bukan hanya khazanah rakyat China, malah boleh menjadi khazanah dunia melalui penterjemahan. Penterjemahan buku ini disifatkan sebagai contoh yang baik dalam usaha murni untuk saling mempelajari tamadun berbeza.

Sesi perkongsian pengalaman penterjemah  yang diwakili oleh Encik Lee Hao Jie.

Pertukaran kesusasteraan secara dua hala ini diyakini mampu mempertingkatkan persefahaman rakyat pelbagai negara, memberikan sumbangan kepada pewujudan Komuniti Berkongsi Nasib yang terbuka, inklusif, seimbang dan saling menguntungkan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!