18 Mei 2021, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

KUALA LUMPUR Ensiklopedia Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini merupakan ensiklopedia bahasa Melayu yang sangat istimewa. Buku ini memberikan penjelasan ringkas tentang beberapa aspek bahasa, termasuklah sejarah, pembinaan, perkembangan, sistem tulisan dan sebagainya. Istimewanya buku ini kerana memaparkan fakta tentang bahasa Melayu secara menyeluruh dan komprehensif, iaitu kandungannya meliputi sejarah awal, rekonstruksi dan batu bersurat hingga perkembangan bahasa pada masa ini, di samping keutamaan dari segi sejarah perkembangan bahasa Melayu dan perkembangan sosial, iaitu penggunaan bahasa Melayu dalam pemerintahan, hubungan antara kawasan di Alam Melayu dan hubungan antara orang Melayu dengan orang luar.

Ensiklopedia Bahasa Melayu turut menjadi bahan rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat penyelidikan bahasa, yang berminat tentang sosiolinguistik, sebagai bahasa halus bagi sesuatu situasi, bahasa Melayu untuk berinteraksi, bahasa yang digunakan di parlimen dan juga sangat berguna bagi golongan profesional lain seperti pihak pentadbir, pihak media massa, dan penyambut tetamu.

“Dari segi bahasa slanga pula, penggunaannya mengikut generasi dan peredaran masa. Bahasa slanga itu akhirnya akan “mati” begitu sahaja mengikut peredaran zaman. Pencemaran bahasa berlaku apabila seseorang menggunakan sesuatu perkataan yang tidak sesuai dari segi budaya kita. Hal ini akan mengganggu perkembangan bahasa itu sendiri. Begitu juga dari aspek kesantunan berbahasa. Untuk mengembangkan bahasa Melayu, kita harus mempertahankan keindahan bahasa Melayu. Jangan sampai kita terpengaruh dengan bahasa lain sehingga merosakkan bahasa Melayu itu sendiri.”

Demikianlah antara penerangan yang diberikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, selaku pakar bidang dan ahli Lembaga Pengelola DBP ketika berbicara tentang pelbagai ilmu bahasa Melayu sewaktu menjadi tetamu undangan dalam rancangan Peka Bahasa, “Ensiklopedia Bahasa Melayu:Rujukan Lengkap dan Menyeluruh Bahasa Melayu”, menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 12.00 tengah hari tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.