21 Jun 2021, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR Tarikh 22 Jun merupakan hari yang sangat besar ertinya dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di negara ini. Pada tarikh inilah lahirnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang muncul sebagai nama dari suatu sejarah. “Aksara Nan Hidup Sepanjang Zaman” menjadi tema sambutan ulang tahun DBP pada tahun ini. Sehubungan dengan itu, DBP akan mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP ke-65 pada 22 Jun 2021 (Selasa), pukul 9.00 pagi secara dalam talian. Majlis ini akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Pendidikan Malaysia.

Dalam majlis ini juga, DBP akan melancarkan Pelan Strategik DBP 2021-2025 sebagai simbol kesediaan DBP meneroka lebih banyak potensi bagi meluaskan peranannya dalam kepesatan dunia digital, maklumat dan Revolusi Industri 4.0. Forum Khas juga akan diadakan selepas berakhirnya majlis sambutan itu yang akan membariskan beberapa orang panel jemputan, iaitu Tuan Haji Nazri Kahar (Penerbit Eksekutif, ASTRO Awani), Prof. Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw (Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Perhubungan Antarabangsa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) dan Encik Logesh Kumaar (Pengarah, Perancang Strategi Media, Firewood Marketing, Amerika Syarikat) serta Dr. Norzizi Zulkifli (Ketua Pusat Pengajian Teater, Universiti Teknologi MARA) sebagai moderator, yang akan membincangkan tentang isu serta cabaran DBP yang bertepatan dengan tema sambutan ulang tahun pada kali ini. Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Ceramah Khas pula akan diadakan pada 23 Jun 2021 (Rabu), bermula pada pukul 8.00 pagi.

Berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, DBP turut mengambil inisiatif dengan mempelbagaikan medium penyebaran demi memastikan kegiatan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan tetap dilaksanakan dan sampai kepada khalayaknya. Walaupun sambutan ulang tahun DBP pada kali ini tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka seperti kebiasaannya, DBP menjadikan landasan media sosial sebagai laluan agar masyarakat dapat turut merasa denyut nadi perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Bertemakan “Aksara Nan Hidup Sepanjang Zaman”, DBP turut mengajak masyarakat untuk lebih memahami asas penubuhan DBP dengan siaran infografik Pertama di DBP melalui media sosial DBP Malaysia (Facebook, Twitter, Instagram dan Telegram). Infografik ini akan memaparkan sejarah DBP yang meliputi pentadbiran, penerbitan, pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan sejak tahun 1956 hingga kini.

Bagi menyokong keghairahan masyarakat berpantun dalam ruangan komen media sosial DBP, DBP juga menganjurkan program Adik Berpantun bersempena dengan sambutan ulang tahun DBP ke-65. Pada kali ini, DBP mengajak kanak-kanak seawal usia lima tahun untuk berpantun yang pastinya mengundang pelbagai gelagat yang mencuit hati sewaktu sesi rakaman oleh ibu bapa. Video yang terpilih turut disiarkan melalui media sosial DBP dan melalui saluran Didik TV, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sepanjang bulan Jun ini juga, tersedia pelbagai pertandingan yang boleh disertai oleh orang ramai seperti Pertandingan Seni Coret Jawi dan Pertandingan Korus. Maklumat terkini mengenai aktiviti yang dilaksanakan serta pertandingan yang dianjurkan boleh didapati melalui media sosial DBP Malaysia. Pelbagai hadiah menarik juga disediakan berserta sijil penyertaan kepada para peserta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.