5 Julai 2021, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa ialah alat yang digunakan untuk tujuan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, bahasa sebagai jambatan yang menghubungkan sesama manusia tanpa mengira warna kulit atau batas sempadan. Bahasa melambangkan jiwa sesuatu bangsa. Keperibadian sesuatu bangsa diukur melalui penggunaan dan pengamalan bahasa dalam sesebuah masyarakat. Nilai hidup yang semakin berubah kesan daripada globalisasi yang melanda dunia mengancam amalan berbahasa sesuatu bangsa sehingga menjadi api dalam sekam yang menggugat budaya peradaban bangsa.

Malaysia pula sebuah negara unik kerana kepelbagaian bangsa yang menghuninya. Setiap etnik memiliki bahasa dan budaya yang tersendiri. Masyarakat yang berbilang bangsa ini bertutur menggunakan bahasa ibunda masing-masing ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Walau bagaimanapun, setiap rakyat negara ini jelas menerima serta mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Bahasa Melayu memiliki sejarah yang panjang sejak abad ke-7 apabila kerajaan Srivijaya menggunakan bahasa Melayu. Pada waktu itu, bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Melayu Kuno. Selanjutnya, kerajaan Melaka mengangkat bahasa Melayu ke tahap kegemilangan bermula pada abad ke-13 seiring dengan kedudukannya sebagai pusat perdagangan serantau. Bahasa Melayu menjadi lingua franca dan dipertuturkan dengan meluas. Sejarah Melayu juga mencatatkan bahawa para pedagang berusaha untuk mempelajari serta menguasai bahasa Melayu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pemimpin dan masyarakat di Tanah Melayu bagi tujuan berdagang.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Kedudukannya termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Peranannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah turut diperkukuhkan melalui Akta Pendidikan. Sekolah sebagai tempat terbaik untuk menyemai perasaan cinta akan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda. Meskipun cabarannya getir, hasilnya terlihat pada sekitar tahun 1970-an dan tahun 1980-an apabila rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian mereka.

Bahasa ibunda pula merupakan bahasa pertama yang dikuasai dan diwarisi oleh manusia ketika mula mengenal dunia. Bahasa ini dikuasai oleh seseorang daripada ibu bapa atau penjaga. Penguasaan bahasa ibunda membolehkan seseorang mengungkapkan pemikiran serta perasaannya. Seseorang individu lebih mudah dan yakin untuk mengutarakan penyataan pemikiran serta perasaannya melalui bahasa ibunda berbanding dengan bahasa kedua yang dipelajarinya. Slogan “Bahasa Jiwa“ menegaskan betapa jati diri seseorang itu ditentukan oleh bahasa yang dipertuturkan secara warisan.

Walau bagaimanapun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kini semakin tercabar di negara ini. Penerimaan serta penggunaan bahasa Melayu oleh rakyat jelas amat mengecewakan. Lebih malang lagi, bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dalam kalangan penutur bahasa Melayu turut tercabar kedudukannya. Sejak belakangan ini, bilangan penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu terus berkurangan. Banyak dalam kalangan mereka lebih suka dan rela menggunakan bahasa Inggeris meskipun kurang fasih dalam bahasa tersebut.

Perkembangan era globalisasi pada ketika ini memungkinkan penyaluran maklumat tanpa tapisan ke serata pelosok dunia. Tidak ada negara yang terkecuali daripada perkembangan ini. Arus globalisasi yang melanda dunia meninggalkan impak yang cukup besar dalam kehidupan harian manusia. Impak globalisasi memungkinkan bahasa Inggeris terus berkembang sebagai bahasa yang penting di kebanyakan negara. Menurut Mohd Asraf (2005), bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia dan antarabangsa dan pengaruhnya tersebar luas ke seluruh dunia sehingga tidak ada negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris.

Peningkatan dalam penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau ketiga pula meninggalkan kesan kepada sistem pendidikan di negara-negara tersebut. Satu daripada bidang kehidupan yang terkesan akibat fenomena ini ialah bahasa. Globalisasi dianggap sebagai pembunuh bahasa ibunda. Apa tidaknya, dalam keghairahan mengejar teknologi maklumat, penutur bahasa Melayu khususnya semakin menjarakkan diri daripada bahasa ibunda mereka. Hal ini demikian kerana hampir semua maklumat yang diperoleh daripada internet terdapat dalam bahasa Inggeris.

Perkara ini pernah diakui oleh Noriah Mohamed (2005) yang menganggarkan bahawa 80 peratus daripada laman sesawang yang digunakan terdapat dalam bahasa Inggeris. Jumlah laman sesawang masih kurang sehingga menyebabkan penutur bahasa Melayu terpaksa mencari maklumat dengan menggunakan bahasa Inggeris. Akibatnya, bahasa Melayu dipandang sepi dan bahasa Inggeris terus diagung-agungkan.

Sikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris oleh generasi muda pada hari ini semakin tidak bersempadan. Bahasa Inggeris yang dianggap sebagai lingua franca dunia moden pada hari ini terus disanjung dan dimartabatkan sebagai bahasa penting dalam kehidupan harian. Ada juga yang tanpa segan silu menganggap atau menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda hanya kerana mereka dan ibu bapa mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Demikian kuatnya pengaruh bahasa Inggeris menguasai kehidupan generasi muda ini.

Pengaruh bahasa Inggeris yang mewarnai kehidupan harian generasi muda kian ketara apabila banyak penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu enggan atau malu untuk berbahasa Melayu. Mereka seolah-olah berusaha untuk menjauhkan diri daripada bahasa Melayu, yakni bahasa ibunda mereka sendiri. Ada juga yang tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik tetapi berusaha untuk menggunakannya walaupun mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Melayu. Bak kata pepatah, lebih sudu daripada kuah.

Penularan pengaruh bahasa rojak dan slanga turut menjadi duri dalam daging bagi penutur bahasa. Penggunaan bahasa rojak di negara ini bukanlah perkara baharu kerana fenomena itu biasa bagi negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Proses mencampuradukkan bahasa ketika berkomunikasi antara satu sama lain menjadi sesuatu yang lumrah dan diterima sebagai gaya hidup harian. Generasi muda pada hari ini semakin ghairah mencampuradukkan penggunaan bahasa dalam proses komunikasi.

Dasar bahasa yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara merupakan kunci ke arah menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Pemilihan serta pelaksanaan bahasa Melayu sebagai medium perantara dalam sistem pendidikan negara diperkukuhkan melalui Akta Pendidikan 1961 berasaskan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib. Laporan Razak yang diperkenalkan pada tahun 1956 dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan.

Berdasarkan laporan tersebut, pendidikan sebagai kunci penting kepada perpaduan negara dan bahasa Melayu sebagai alat untuk menyatukan rakyat daripada pelbagai etnik. Matlamat akhir Laporan Razak untuk menaikkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama direalisasikan pada awal tahun 1960-an dengan tergubalnya Laporan Rahman Talib. Perakuan Laporan Rahman Talib untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dikanunkan dalam Akta Pelajaran 1961.

Peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi pendidikan tinggi swasta pula mengalami pengubahsuaian apabila Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Seksyen 2 dalam Akta Pendidikan 1996 mengatakan bahawa bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Jelaslah, laporan tersebut telah mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Walau bagaimanapun, beberapa langkah yang dilaksanakan seperti pengenalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) jelas mengganggu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang bahasa ibundanya bahasa Melayu dan bukan bahasa Melayu. Dasar PPSMI yang diumumkan pada 20 Julai 2002 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2003. Proses perubahan dasar ini berterusan sehingga melibatkan peringkat pendidikan rendah dan menengah pada tahun 2008. Rasional di sebalik pelaksanaan dasar ini adalah untuk mengukuhkan penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik melalui bahasa Inggeris kerana yang paling cepat berkembang dan disebarkan menerusi pelbagai media dalam bahasa Inggeris.

Penerapan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan ternyata menggugat kedudukan bahasa Melayu. Hal ini bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan atau Akta Bahasa Kebangsaan 1967/68. PPSMI telah menghakis peranan dan kepentingan bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu.

Oleh itu, langkah untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu dalam kalangan penutur bahasa ibundanya bahasa Melayu sememangnya penuh ranjau dan berliku. Tugas itu bukan mudah, malah sarat dengan pelbagai cabaran. Pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penutur bahasa Melayu memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak yang merangkumi pihak berkuasa, media serta penutur asli bahasa Melayu itu sendiri. Tanpa kesungguhan, kejayaan tidak akan terhasil. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, peranan setiap pihak yang terlibat amat ditagih demi kelestarian bahasa Melayu.

Perubahan sikap penutur asli bahasa Melayu juga amat diharapkan agar usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu menampakkan hasilnya. Mereka perlu menyematkan rasa cinta yang tidak berbelah bagi di hati mereka. Mereka harus sedar bahawa sikap mengagung-agungkan bahasa Inggeris hanya akan merencatkan perkembangan bahasa Melayu, malah boleh mengakibatkan kepupusannya. Oleh itu, sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang disambut pada 21 Februari pada setiap tahun harus menjadi wadah untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penutur asli bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.