10 Julai 2021, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SABAH – Pujian harus diberi kepada penganjur yang berusaha mengadakan Pertandingan WikiKata Edisi Kedua secara dalam talian dalam usaha untuk merekodkan pelbagai istilah dan perkataan daripada bahasa peribumi yang ada di Malaysia ke dalam Wikikamus Bahasa Melayu. Pertandingan ini dianjurkan oleh pihak Wikikamus Bahasa Melayu di bawah kelolaan Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS).

WikiKata ialah suatu inisiatif yang diambil untuk mewujudkan kehadiran bahasa orang asal di Malaysia, sekali gus menyediakan kamus bahasa orang asal secara percuma di internet melalui Wikikamus. Usaha turut dilakukan untuk memulihara bahasa peribumi yang semakin terancam dek bilangan penuturnya yang semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Pertandingan ini juga merupakan antara persiapan bagi Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal UNESCO, yang akan bermula pada tahun hadapan.

 

Pada tahun 2020, Pertandingan WikiKata telah menerima sebanyak 683 perkataan daripada tujuh bahasa asal di Malaysia. Pada tahun ini, pertandingan diadakan mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Julai 2021 dan senarai pemenang bakal pula akan diumumkan pada 1 September 2021. Hadiah menarik ditawarkan kepada para peserta yang bernilai sehingga RM500.

Terdahulu, majlis perasmian pertandingan ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh wakil Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia, Dody Ismoyo dan perasmian oleh Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Mackey Apison. Majlis kemudiannya diteruskan dengan pembentangan kertas kerja ringkas oleh Dr. Jeannet Stephen, Ketua Kluster Bahasa dan Linguistik Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah yang bertajuk “Persiapan Dekad Antarabangsa UNESCO untuk Bahasa Orang Asal”. Majlis diakhiri dengan sesi bengkel WikiKata kepada para peserta oleh Ahli Jawatankuasa, Encik Faris Hazman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.