Oleh Awang Sariyan
12 Ogos 2021, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sering dikatakan bahawa generasi muda kini kurang menguasai bahasa sehingga bahasa yang digunakan tidak tepat, kurang teratur dan kurang santun. Pada hemat saya, kita tidak boleh membuat kesimpulan umum sedemikian walaupun ada sebahagian generasi muda yang kurang mengamalkan bahasa yang betul dan sopan. Masih ada generasi muda yang mengambil berat soal bahasa.

Untuk berlaku adil, masalah tidak peka akan bahasa dalam komunikasi sebenarnya berlaku juga dalam kalangan orang dewasa. Saya agak aktif dalam Facebook dan WhatsApp. Saya dapati bahawa banyak juga orang dewasa yang kurang menguasai sistem bahasa sehingga mutu bahasanya tidak jauh berbeza daripada bahasa golongan muda. Malah ada yang tidak menjaga kesopanan bahasa dengan menggunakan bahasa yang kesat, kasar dan provokatif.

Hal itu secara khusus amat ketara dalam tulisan yang berkaitan dengan politik. Disebabkan oleh berlainan fahaman politik atau berlainan pendirian tentang pemimpin tertentu, perasaan diluahkan semahu-mahunya tanpa beralas dan kebanyakannya tanpa hujah yang rasional. Dalam hal ini, bahasa digunakan bukan untuk membina hubungan baik dalam masyarakat, sesuai dengan lunas “hablumminannas” (menjaga hubungan baik sesama manusia) tetapi untuk meniupkan api perseteruan.

Ada beberapa sebab berlakunya keadaan penggunaan bahasa yang kurang baik. Pertama, pengaruh sekitaran, terutama media yang kian terbuka dalam penggunaan bahasa, termasuk dalam soal sistem bahasa seperti tatabahasa dan juga kesantunan bahasa.

Sebahagian pengendali media mengejar populariti dalam persaingan antara stesen radio atau TV. Dalam keadaan itu, timbul kecenderungan untuk mengambil hati khalayak dengan penggunaan bahasa yang dekat dengan hati khalayak, seperti bahasa basahan dan slanga yang memang tidak menitikberatkan aturan bahasa.

Penggunaan kata dan frasa seperti “korang, kita orang, dia orang, baik punya pendapat dan pakabar” serta puluhan atau ratusan yang lain lagi digunakan secara meluas. Walaupun hal itu menggambarkan realiti penggunaan bahasa masyarakat sehari-hari, media berperanan untuk memberikan teladan penggunaan bahasa yang lebih terkawal, terutama kepada generasi muda.

Dalam hal kesantunan bahasa, ada program hiburan di media elektronik yang sarat dengan bahasa yang bersifat mengadu domba dalam kalangan artis dan yang menyentuh hal yang amat bersifat peribadi.

Faktor kedua pula berkaitan dengan sikap sebahagian generasi muda yang ingin bebas daripada norma masyarakat, termasuk norma bahasa dalam penulisan dan pertuturan. Bahasa yang mematuhi sistem bahasa dikatakan bahasa yang “terlalu berskema” dan bahasa orang lama atau bahasa orang tua yang tidak sesuai dengan jiwa orang muda.

Sebahagian penyumbang fenomena itu ialah media Barat yang berasaskan konsep kebebasan dan hak asasi manusia dan lesen puisi atau lesen sastera (poetic license) yang ada waktunya ditafsirkan secara salah. Sebagaimana kata pengkaji sastera yang terkenal, Dr. Umar Junus, ada penulis yang sekadar menyalahi sistem bahasa untuk kononnya menimbulkan keindahan atau kreativiti tetapi kreativiti itu bersifat tidak fungsional menurut ukuran retorik dan stilistik.

Faktor lain yang berkaitan dengan sistem pendidikan tidak formal dalam keluarga yang kurang menitikberatkan penggunaan bahasa yang baik turut memberikan pengaruh kepada cara berbahasa generasi muda. Ibu bapa yang tidak mengamalkan  bahasa yang santun kepada anak-anak secara langsung tidak dapat menjadi teladan kepada anak-anak. Peribahasa “Bapa borek anak rintik” dan “Bagaimana acuan begitulah kuihnya” menepati keadaan itu.

Sebab lain ialah pendidikan formal yang kurang berkesan apabila sistem yang ada lebih ke arah peperiksaan dan kurang untuk penggunaan dalam perhubungan luas untuk pelbagai suasana dan keperluan. Dalam keadaan keputusan peperiksaan diberi nilai utama oleh masyarakat, pelajar lebih terarah kepada penguasaan bahasa secara mekanis, dengan memenuhi tuntutan itu, dan kurang menjurus kepada penguasaan bahasa yang lebih komunikatif dan fungsional sebagai wahana kehidupan.

Kebanyakan guru pun tertekan oleh kecenderungan dan tuntutan masyarakat lalu lebih memberikan perhatian kepada aspek peperiksaan untuk “kecemerlangan” keputusan peperiksaan anak didiknya dan untuk menjaga prestasi sekolahnya. Semoga dengan pemberatan kepada penilaian berasaskan sekolah, aspek kemahiran bahasa sebagai salah satu cabang kemahiran insaniah dapat dipupuk.

Sebagai jalan penyelesaian masalah kerancuan bahasa, terutama dalam kalangan golongan muda, sistem pendidikan mesti dilaksanakan lebih ke arah melahirkan pelajar yang terdidik, bukan setakat terpelajar, termasuklah dalam soal bahasa. Semua bahasa di dunia ada sistem untuk suasana dan keperluan rasmi, akademik dan sebagainya di samping bahasa sehari-hari. Kini penguasaan ragam bahasa rasmi masih menjadi masalah sehingga lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi tidak mampu menggunakan bahasa yang berkesan apabila muncul di media walaupun berkedudukan tinggi.

Kedua, ibu bapa memainkan peranan yang penting sebagai agen sosialisasi yang awal, termasuklah dalam aspek bahasa. Bahasa perhubungan sehari-hari pun tetap tertakluk kepada nilai positif seperti kesantunan bahasa. Demikian juga soal pemupukan kecintaan dan kebanggaan kepada bahasa negara.

Ketiga, media perlu menyeimbangkan aspek populariti dengan tanggungjawab sosial, termasuklah menjadi teladan dalam penggunaan bahasa yang baik dan santun. Mitos bahawa media mempunyai gaya (house style) yang berlainan daripada sistem bahasa perlu dihapuskan. Yang sesungguhnya penting ialah mengamalkan Kara’s bahasa media yang memang ada ciri-ciri khas tetapi tidak bercanggah dengan aturan asas dalam sistem bahasa. Pelajar pasti keliru apabila di sekolah diajarkan pentingnya penjodoh bilangan, sebagai contoh, tetapi media menggugurkan penjodoh bilangan dalam siarannya.

Seterusnya golongan dewasa, apatah lagi tokoh yang berpengaruh patut menunjukkan teladan berbahasa yang baik untuk ikutan anak-anak muda. Saya dukacita menyaksikan hal yang berlaku di Parlimen, misalnya apabila sebahagian orang yang bertaraf pemimpin tidak mengawal bahasa mereka dan tingkah laku itu dipancarkan melalui media. Kata-kata yang kesat, kasar dan carut-marut seolah-olah menjadi “pakaian” sejumlah orang yang bergelar “Yang Berhormat”. Di “dewan yang mulia”, bahasa yang digunakan sebahagiannya ialah bahasa “yang tidak mulia”.

Sebagai kesimpulan, bahasa sebagai wahana perhubungan dalam pelbagai peringkat dan untuk pelbagai bidang kehidupan amat perlu dititikberatkan. Kata peribahasa atau kata hikmat, “Bahasa menunjukkan bangsa”, “Bahasa tidak dijual beli”, dan “Indah budi kerana bahasa”. Bangsa yang bermaruah dan bermartabat ialah bangsa yang bertatasusila, termasuk dalam aspek penggunaan bahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.