Oleh Kho Thong Eng
26 Ogos 2021, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata justeru merupakan kata tugas yang kurang mendapat sorotan dalam huraian ahli bahasa. Oleh itu, ada kalanya para pengguna bahasa Melayu kurang pasti tentang penggunaannya yang betul.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2016: 647), kata justeru mendukung dua maksud, seperti yang berikut:

i.  kebetulan, tepat, kena benar

Kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?

ii.  malahan, bahkan

Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia.

Dalam Kamus Pelajar Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua (2016: 345),  kata justeru juga meliputi dua maksud, seperti yang berikut:

i.  kebetulan, tepat

ii. malahan, bahkan

Saya tidak pernah mengkhianati dia, justeru saya menolong dia.

Menurut Kamus Dewan Perdana (2020: 925) pula, kata justeru mencakupi tiga maksud, seperti yang berikut:

i.  kebetulan, pada ketika yang sama.

Kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?

ii.  kata hubung untuk menghubungkan dua bahagian dalam ayat bagi mengukuhkan maksud yang dinyatakan.

Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi justeru pandai menggubah lagu.

iii.  Penanda wacana atau kata pangkal ayat yang membawa maksud “jadi” atau “oleh itu”.

        Justeru, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

Selain itu, dalam Kamus Dewan Perdana (2020: 925), terdapat frasa justeru itu. Frasa tersebut diberi maksud “oleh sebab itu”. Contoh ayat dengan frasa itu adalah seperti yang berikut:

         Justeru itu, penggunaan telefon bimbit hendaklah diharamkan di sekolah.

Selepas kita meneliti catatan dalam tiga buah kamus tersebut, kita dapat merumuskan penggunaan kata justeru dengan membuat analisis seperti yang berikut:

i.  Kata justeru merupakan kata adverba yang bermaksud “kebetulan”, “tepat” atau “kena benar”. Oleh itu, kita dapat menghasilkan sejumlah ayat dengan kata justeru, dan kata yang bersinonim dengannya. Sila lihat contoh yang berikut:

a.    Mengapakah justeru sekarang engkau harus pergi?

b.   Mengapakah kebetulan sekarang engkau harus pergi?

c.    Mengapakah tepat sekarang engkau harus pergi?

d.    Mengapakah kena benar sekarang engkau harus pergi?

ii.   Kata justeru merupakan kata hubung gabungan setara dengan susunan fakta yang berturutan, sama seperti kata hubung gabungan malahan dan bahkan. Selain itu, kata hubung ini boleh juga berpasangan dengan bukan sahaja untuk menghasilkan kata hubung gabungan berpasangan seperti bukan sahaja … justeru. Hal ini dapat menerbitkan pelbagai ayat yang seerti. Sila lihat contoh yang berikut:

1.   Kata justeru sebagai kata hubung gabungan tunggal

a.  Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya memuji dia.

b.  Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, malahan saya memuji dia.

c.   Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, bahkan saya memuji dia.

2.  Kata justeru sebagai anggota kata hubungan gabungan berpasangan

a.   Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.

b.   Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi, malahan pandai menggubah lagu.

c.    Biduanita itu bukan sahaja pandai menyanyi, bahkan pandai menggubah lagu.

d.   Biduanita itu bukan setakat pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.

e.   Biduanita itu bukan sekadar pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.

f.    Biduanita itu bukan hanya pandai menyanyi, justeru pandai menggubah lagu.

g.   Biduanita itu bukan pandai menyanyi sahaja, justeru pandai menggubah lagu.

h.   Biduanita itu bukan pandai menyanyi semata-mata, justeru pandai menggubah                   lagu.

i.   Biduanita itu bukan pandai menyanyi semata-mata, tetapi juga pandai

menggubah  lagu.

iii. Kata justeru menjadi kata pangkal ayat yang berfungsi sebagai penanda wacana, dan membawa maksud “jadi”, “oleh itu”, “oleh sebab itu”, “kerana itu” atau “justeru itu”. Penanda wacana ini digunakan untuk mengaitkan dua ayat secara kohesi dan koheren.  Sila lihat contoh yang berikut:

Variasi ayat yang seerti:

a.   Justeru, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

b.  Justeru itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

c.  Jadi, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

d. Oleh itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

e.  Oleh sebab itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

f.  Kerana itu, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

g.  Oleh hal (yang) demikian, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat yang sunyi.

h.  Disebabkan hal demikian, kita hendaklah berwaspada apabila berjalan di tempat
yang sunyi.

Sebagai penanda wacana, kata justeru atau justeru itu menghubungkan ayat yang didahuluinya dengan ayat yang sebelumnya. Ayat contoh yang berada di hadapan kelompok ayat di atas adalah seperti yang berikut:

Kejadian jenayah semakin menjadi-jadi kini.

iv.  Kata hubung gabungan justeru dapat bergandingan dengan kata hubung lain untuk menghasilkan ayat majmuk campuran. Sila lihat ayat contoh yang berikut:

Jika kita melancong, kita bukan sahaja dapat berseronok, justeru kita dapat menghayati keindahan alam dan mengenali budaya yang rencam di tempat lain.

Ayat di atas merupakan ayat majmuk campuran. Hal ini terbukti kerana ayat tersebut memuatkan pelbagai jenis kata hubung untuk menghasilkan struktur ayat yang kompleks. Kata hubung tersebut adalah seperti yang berikut:

a.  Kata hubung pancangan keterangan syarat: jika

b.  Kata hubung gabungan berpasangan: bukan sahaja … justeru

c.  Kata hubung gabungan: dan

d.  Kata hubung pancangan relatif: yang

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.