Oleh Salman Sulaiman
17 September 2021, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Antara buku T. Alias Taib yang menghimpunkan puisinya yang terbaik.

Pasar Pengalaman merupakan buku kumpulan puisi T. Alias Taib yang ketujuh dan mengandungi 87 buah puisi. Pasar Pengalaman diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2004. Walaupun penyair kelahiran Terengganu ini telah lama pergi meninggalkan kita, pengalaman hidupnya yang diungkapkan ke dalam bahasa puisi masih tetap segar dalam sanubari para pembaca karyanya. Pengalaman dirinya yang berkelana ke merata ceruk dunia dirakamkan ke dalam bahasa puisi yang mempunyai identiti tersendiri.

Hal ini awal-awal lagi disebutkan oleh penerbit di bahagian belakang kulit buku ini, iaitu “Penyair menghantarkan kita lapisan pengalamannya yang jujur dan pelbagai; pengalaman dirinya dan pengalaman watak di sekitar dan di seberang dirinya. Saya memperoleh pengalaman melalui kehidupan – katanya dalam sebuah bengkel penulis muda – dan memberikan pengalaman melalui puisi”.

Kekuatan bahasa T. Alias Taib ketika mengolah pengalamannya ke dalam bentuk puisi turut diakui oleh pihak penerbit, iaitu “Persoalan puisinya diselongkar hingga ke dasar, kata-katanya dipilih dan ditampi daripada yang terbaik, isi dan bentuk dipertemukan dan dipersandingkan dalam suasana yang mesra dan seimbang”.

Alias Taib membahagikan kumpulan puisinya kepada tiga bahagian yang mempunyai pengkhususan puisi yang tersendiri. Tiga bahagian tersebut ialah pengalaman watak, pasar pengalaman dan pengalaman seberang. Berkenaan dengan pengalamannya sendiri, T. Alias Taib mengungkapkan pada permulaan bukunya begini, “Tidak ada seorang pun dilahirkan bijak atau bodoh. Pengalaman mengasah mereka menjadi bijak atau bodoh”. Beliau mengutip pengalaman sebagai penyair di merata-rata tempat di seluruh dunia hinggalah ke Korea Selatan, Indonesia, Taiwan, London, Paris, Frankfurt, Istanbul, Amman dan Kaherah. Kembara yang jauh itu membawa dirinya sampai ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Di Masjidil Aqsa yang diberkati di sekelilingnya itu, beliau sempat menulis puisi “Saat Kulekatkan Dahiku” yang merupakan rintihannya tentang rasa kekerdilan diri di hadapan Tuhan. Dengan bahasa yang penuh rendah diri, T. Alias Taib mengakui kekerdilan dirinya dalam bait-bait puisi yang diungkapkan seperti yang berikut:

“saat kulekatkan dahiku perlahan-lahan ke lantai

marmar, kekerdilanku dan kebesaran-Mu

berlumba-lumba terjun ke sumur diriku.”

 

Beliau meneruskan lagi rasa kekerdilan dirinya itu dalam baris yang seterusnya, iaitu:

“aku musafir yang datang menimba air

dari kolah di rumah-Mu. kupilih rumah ini

antara jutaan rumah-Mu kerana kehebatan

kisah yang tersimpan dalam sejarahnya.”

 

Bahasa T. Alias Taib yang dipenuhi oleh pengalaman dirinya yang bertahun-tahun mengembara itu diwarnai dengan pelbagai watak yang pernah dikenalinya. Perhatikan sahaja dalam bahagian pertama bukunya ini dengan judul “Pengalaman Watak” yang mencatatkan tentang 31 watak yang ditemuinya serta yang sempat ditelusurinya. Antara watak-watak itu termasuklah seperti Fiona, Tiara, Tuty, Iis, Kembang, Poppy, Siti, Tania, Mawar, Ratna, Palupi, Nia, Benji dan banyak lagi. Watak-watak itu juga ada yang turut dikenali ramai dan pernah menjadi bualan masyarakat seperti Ning dan Maznah.

Bahasa pengalaman T. Alias Taib ketika memperkatakan setiap watak dalam puisinya itu mendalam dan beliau turut menyelami perasaan mereka. Apabila membaca puisi-puisi ini, kita sendiri dapat merasai gelodak jiwa setiap watak-wataknya. Teliti hal yang nya dalam puisi “Kembang”, iaitu:

“kembang namaku,

hari-hari kukandar baldi hidupku

di kebun getah, dari pohon ke pohon;

hari-hari kuseret langkah payahku

di kebun hidupku, dari remaja ke dewasa.

di kebun ini pengalaman mengajarku;

hidup bukan pelabuhan

melainkan kapal yang sentiasa belayar;

hidup bukan melontar sauh

tetapi belayar ke pulau jauh.”

 

Selain “Kembang”, beliau juga menyelami perasaan watak yang dinamakannya, Poppy. Yang berikut diperturunkan sedikit baris-baris puisi mengenai Poppy tersebut, iaitu:

“rumah tangga poppy

lembah kasih tanpa perasaan;

kosong, lesu dan tak bermaya.

pada lembah tanpa perasaan itu,

sesekali, poppy dilambung kemelut runcing

bagai layang-layang menggelepar

ditikam angin tajam.”

 

Kepedihan hidup Poppy diakhiri oleh penulis dengan perbandingan ini, iaitu:

“seperti sandwic, poppy terjepit antara

rumah tidak berjiwa

dengan jiwa tidak berumah.”

 

Dalam bahagian kedua yang berjudul “Pasar Pengalaman”, ikut dimuatkan empat buah puisi yang turut menggunakan kalimah “pasar”, iaitu puisi “Pasar Pengalaman”, “Pasar Perasaan”, “Pasar Oportunis” dan “Pasar Bahasa”. Penulis juga menghayati suasana malam dengan begitu mendalam dan mencatatnya ke dalam bahasa yang halus serta mampu mencengkam rasa pembaca dalam “Puisi Tanpa Jendela”. Perhatikan baris-baris puisi ini:

“di luar jendela jerit guntur bersahutan

angin menggigit leher langsir hingga berdarah

 

tiang lampu kelu dipeluk hujan

gonggong anjing kaku di kejauhan”

 

Manakala dalam “Tubuhnya Putih Kapur”, dengan hanya melihat sebuah patung pun beliau mampu mencatatkannya dalam bentuk puisi. Manakala dalam “Di Rumah Shakespeare” pula, beliau merakamkan pengalamannya ketika berada di rumah sasterawan agung Inggeris itu. Beliau turut merakamkan lawatannya ke rumah pengarang besar Perancis, iaitu Jean-Paul Sartre dalam puisi “Jean-Paul Sartre Pernah Minum”. Dengan rasa penuh rendah diri dan dengan bahasa yang mudah untuk dihayati, dalam rangkap akhir puisinya T. Alias Taib menulis:

“aku bukan pengarang besar

tapi hanya pendatang kerdil

yang kebetulan minum sekafe

dengan eksistensialis perancis itu.”

 

Berbicara tentang bahasanya yang mengungkapkan pelbagai pengalaman hidupnya, T. Alias Taib merumuskan dalam puisi “Bahasa, seperti Perasaan”. Diperturunkan sebahagian puisi berkenaan:

“bahasa, seperti perasaan

tak pernah punyai sempadan,

kataku pada joy lin suatu malam

di lobi united hotel

di festival puisi antarabangsa taipei.”

 

Kumpulan puisi ini jelas memaparkan kepada kita bahasa pengalaman T. Alias Taib yang cermat dan begitu berhati-hati. Pengalaman yang dikutipnya selama melalui jalan hidup yang panjang serta laluan kepengarangan yang penuh cabaran memberikan identiti yang tersendiri dalam ungkapan bahasanya. Setiap pengalaman yang ditempuhnya dihayati dengan sebaik-baik mungkin dan hampir setiap orang yang dikenalinya ditumpahkan dengan duka lara hidup mereka ke dalam baris-baris puisi. Menghayati kumpulan puisi ini, dengan sendirinya kita diajak menelaah bahasa pengalaman seorang penyair terkemuka Malaysia yang telah pun dipanggil mengadap Tuhannya, Allahyarham T. Alias Taib.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.