Oleh Suria Janib
29 November 2021, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR BAHRU – Penganjuran yang paling berprestij, Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 menutup tirainya pada malam tadi sekali gus berjaya membuktikan bahasa Melayu mampu berada di kedudukan yang tinggi di persada antarabangsa.

Berucap dalam majlis perasmiannya, Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua pihak untuk berperanan dalam memperkukuh dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

Katanya, masyarakat perlu mengembalikan sejarah kegemilangan bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada zaman kerajaan Srivijaya. Pada masa ini, terdapat 6000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategorikan sebagai bahasa rasmi. Oleh itu, kita perlu berasa bangga kerana bahasa Melayu merupakan satu daripada bahasa rasmi tersebut dan menduduki tangga ke-10 sebagai bahasa yang paling popular penggunaannya di dunia.

Menurut YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, walaupun bahasa Melayu berada di celah-celah persaingan bahasa Inggeris, bahasa ini tetap ampuh dan mempunyai ritma yang tersendiri serta sentiasa mekar dalam tamadun dunia. Bahasa Melayu tidak akan lenyap seperti bahasa lain hasil kesepaduan penutur di rumpun Nusantara yang terdiri daripada negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam sebagai pendukung utama. Oleh sebab itu, tidak mustahil bahawa bilangan penutur bahasa Melayu pada masa ini sudah pun melebihi 300 juta orang dan akan terus berkembang serta mampu mengembalikan peranannya sebagai bahasa lingua franca.

Trend penggunaan bahasa Inggeris dalam program swasta, syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan agensi kerajaan, malah penggunaan nama-nama syarikat dan jenama produk sudah menjadi lumrah.

Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lainnya mesti menggunakan bahasa Melayu selepas ini. Siapalah lagi yang boleh mengangkat bahasa Melayu melainkan kita sendiri.

PABM 2021 merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka, serta rakan sinergi yang lain. Pada kali ini, Universiti Teknologi Malaysia menjadi tuan rumah bagi acara yang bermula dari 23 November hingga 26 November 2021.

Antara orang kenamaan yang hadir pada Malam Kemuncak PABM 2021.

Penganjuran ini merupakan kali ke-14 sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 2007 dan Malam Kemuncak PABM pula diadakan pada 28 November 2021. Yang turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Besar Johor,  YAB Dato’ Haji Hasni Mohamad.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.