Oleh Suria Janib
29 November 2021, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR BAHRU – Ternyata pada malam tadi, kesemua juara bagi setiap kategori pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 (PABM) didominasi oleh peserta wanita.

Juara bagi Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, dimenangi oleh Puan Aminata Koutoub Sano dari negara Guinea, yang mewakili  Universiti Islam Antarabangsa. Juara bagi Kategori Antarabangsa pula dimenangi oleh Puan Nargiza Ortikova Amirdin Qizi dari Uzbekistan, yang mewakili Universiti State University of World Languages dan juara Kategori Alam Melayu dimenangi oleh Puan Siti Nur Shafika Md. Fakharuzi dari Malaysia, yang mewakili Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Aminata Koutoub Sano, juara kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.

Seorang juara yang sempat ditemu bual berkaitan dengan penguasaan bahasa, iaitu Puan Aminata Koutoub Sano, beliau amat tertarik dan mudah jatuh cinta apabila mendengar pertuturan dalam bahasa Melayu yang didengarinya dalam kalangan rakan-rakan sepengajiannya.

 

 

Dalam hati saya tertanya-tanya, mengapakah saya terlalu cinta akan bahasa ini? Memang tiada ungkapan lain selain saya memang tertarik dengan bahasa ini secara perlahan-lahan.

Menerusi rakan-rakannya itu juga, beliau mempelajari bahasa Melayu dan sempat juga belajar tentang perkataan “makan” dan terus jatuh cinta untuk merasai masakan “ayam gepuk” di negara ini. Beliau juga tidak lupa untuk membawa dan menyebarkan bahasa Melayu apabila pulang ke negara asalnya kelak.

Seorang lagi juara Kategori Alam Melayu, Puan Siti Nur Shafika Md. Fakharuzi menerusi tajuk pidatonya, “Simbiosis Dunia yang Ditangis”, memberitahu bahawa beliau menggunakan pengalaman kehilangan ahli keluarga tersayang kerana COVID-19 bagi menzahirkan rasa hatinya yang dirundung kesedihan. Baginya, PABM 2021 mampu menyebarkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan peserta antarabangsa. Beliau yakin bahasa Melayu mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa menerusi pertandingan seumpama ini.

Siti Nur Shafika Md. Fakharuzi dari Malaysia, juara Kategori Alam Melayu.

PABM 2021 mengumpulkan 78 peserta dari 36 buah negara melalui tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu Pelajar Antarabangsa, Pelajar Alam Melayu dan Pelajar Antarabangsa yang menetap di Malaysia.

Ternyata PABM 2021 berjaya mencapai objektifnya untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa, di samping membina jaringan perhubungan antara negara peserta.

PABM 2021 pada kali ini yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga selaras dengan kebiasaan baharu yang menampilkan kelainan apabila pemilihan peserta bagi pusingan awal dan akhir bagi kategori Antarabangsa dan Alam Melayu dijana secara dalam talian. Kemudian, mereka yang berjaya barulah dibawa ke UTM secara fizikal untuk sesi pertandingan pada peringkat Suku Akhir, Separuh Akhir dan seterusnya Malam Kemuncak.

Sebanyak sembilan orang peserta akhir berentap pada Malam Kemuncak melalui kategori masing-masing, iaitu tiga orang peserta akhir bagi setiap kategori dan turut disiarkan dalam platform media sosial DBP secara langsung.

Johan membawa pulang Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri, piala iringan dan wang tunai RM10 000. Naib Johan pula membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM8000, serta pemenang tempat ketiga menerima piala iringan dan wang tunai sebanyak RM5000, dan keempat menerima piala iringan dan wang tunai sebanyak RM4000.

Penganjuran PABM 2021 pada kali ini turut membuktikan bahawa mahasiswa yang terbaik bukan sahaja cemerlang dari segi akademiknya malah dari segala sudut kehidupan termasuklah kemahiran bahasanya walaupun bukan penutur jati.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.