Oleh Kho Thong Eng
13 Disember 2021, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus (2015: 72). Selain itu, kata nama majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa maksud tertentu (2015: 133).

Dari segi penggunaannya, kata majmuk mendukung makna yang khusus atau makna yang berbeza daripada maksud kata dasarnya. Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Contoh kata majmuk yang mendukung makna khusus, iaitu kata majmuk daripada rangkaian kata bebas atau istilah:

air – sebarang air

air hujan, air kumbahan, air mata – air yang khusus (sejenis air)

jam – sebarang jam

jam tangan, jam dinding, jam randek – jam yang khusus (sejenis jam)

garis – sebarang garis

garis pusat – diameter (istilah)

 

  1. Kata majmuk yang mendukung maksud yang berbeza

i. Kata majmuk kiasan atau simpulan bahasa

lipas – sejenis serangga

lipas kudung – maksud kiasan

lidah – sejenis organ

lidah biawak – maksud kiasan

ii.  Kata majmuk yang berbeza maknanya daripada maksud kata dasarnya

setia + usaha – setiausaha

kaki + tangan – kakitangan

 

Penentuan kata majmuk tertakluk pada kriteria yang berikut:

  1. Kata majmuk ialah kata berangkaian yang mendukung satu konsep khusus, dan digunakan sebagai entiti yang tersendiri. Pada umumnya, kata nama yang diikuti oleh kata adjektif bukan kata majmuk, kecuali bagi rangkaian kata yang merupakan kategori konsep, perkara, peristiwa atau benda yang sudah biasa disebut atau digunakan sebagai satu kesatuan yang bermakna khusus.

i. Frasa (dapat diselitkan kata hubung relatif “yang”)

cuaca sejuk/dingin/kering – cuaca yang sejuk/dingin/kering

bangunan tinggi – bangunan yang tinggi

ii. Kata majmuk

musim sejuk/dingin – satu musim khusus di kawasan beriklim sederhana

perang dingin – perselisihan yang tidak menggunakan kekerasan senjata (kata majmuk kiasan)

ikan kering – ikan yang telah dijemur sehingga kering (setelah dibubuh garam, dan lain-lain)

kuih kering – sejenis kuih yang dibuat daripada tepung pulut dan telur (digoreng dan disira)

lompat tinggi/jauh – nama acara padang

 

2.  Pada umumnya, kata dasar bagi kata majmuk tidak boleh diselangi oleh kata hubung “dan”, “atau” dan “yang”. Rangkaian kata yang dapat diselitkan dengan kata-kata hubung tersebut merupakan frasa.

ibu bapa – ibu dan bapa

tua muda – tua dan muda, tua atau muda

orang muda – orang yang muda

 

Kata-kata lain yang dapat diselitkan di antara kata dasar kata majmuk tidak menidakkan bentuk katanya sebagai kata majmuk.

air sungai – air di sungai, air dari sungai

jam dinding – jam pada dinding

jam tangan – jam yang dipakai pada tangan

jubin lantai/dinding – jubin untuk atau pada lantai/dinding

orang kelainan upaya – orang dengan kelainan upaya

wad bersalin – wad untuk wanita bersalin

 

3.  Kecualian – ada juga kata majmuk yang asalnya merupakan frasa yang dapat diselitkan dengan kata hubung “yang” tetapi kata hubung itu telah digugurkan oleh masyarakat untuk menghasilkan kata majmuk istilah yang bermakna khusus.

kebal – tidak dapat ditembusi (dilukai) oleh senjata (peluru dan lain-lain), tidak lut

kereta kebal – asalnya  kereta yang kebal, iaitu kenderaan perang yang buatannya teguh dan tidak mudah untuk dimusnahkan (tank)

bilik kebal – asalnya bilik yang kebal, iaitu bilik yang binaannya teguh dan tidak mudah untuk dicerobohi (strong room)

meja bulat – meja yang bulat (frasa)

meja bulat – perundingan (perbincangan) atau cara berunding yang menggunakan meja bulat untuk melambangkan para peserta mempunyai kedudukan atau taraf yang sama (kata majmuk)

Dari aspek morfologi, rumus umum untuk membezakan kata majmuk daripada frasa adalah seperti yang berikut:

a. Rumus Umum untuk Kata Majmuk

1. a + b = a (b)

i. a, b: dua kata dasar atau lebih

ii. Ada perkaitan makna antara kata dasar dengan kata majmuk. Simbol “a” ialah inti atau kata utama, manakala simbol “b” ialah penerang atau kata yang memberikan keterangan lanjut tentang inti (a).

iii. Maksud kata majmuk lebih khusus daripada kata dasar.

iv. Contoh kata majmuk:

Rangkaian kata bebas: air hujan, jam tangan, balai polis

Istilah: garis pusat, sudut sepadan

Kata majmuk serangkai: kerjasama, warganegara

v. Pada umumnya, kata hubung “dan”, “atau” atau “yang” tidak boleh diselitkan di antara kata dasar.

vi. Meliputi kata majmuk rangkaian kata bebas, istilah, dan sesetengah kata majmuk serangkai.

vii. Termasuk kata dasar yang mempunyai morfem terikat, misalnya morfem terikat tani dalam kata majmuk pasar tani, usahawan tani dan pelancongan tani.

viii. Mencakupi kata dasar yang mempunyai singkatan, seperti singkatan dulu dalam kata majmuk bunga dulu jantan/betina dan singkatan tak dalam kata majmuk kata kerja tak transitif dan kata bilangan tak tentu.

  1. a + b = c

i. a, b: dua kata dasar atau lebih

ii. Tiada perkaitan makna antara kata dasar (a, b) dengan kata majmuk (c).

iii. Meliputi kata majmuk kiasan (simpulan bahasa) dan sesetengah kata majmuk serangkai.

iv. Contoh kata majmuk:

Kata majmuk kiasan: bulan madu, tangkai jering

Kata majmuk serangkai: setiausaha, kakitangan

 

* Semua kata nama/adjektif majmuk merupakan frasa nama /adjektif dalam bidang sintaksis.

 

b. Rumus Umum untuk Frasa

a + b = a + (  ) + b

i. a, b: deretan dua kata atau lebih, ( ) ialah kata hubung tertentu yang boleh diselitkan.

ii. Kata hubung gabungan dan, atau atau kata hubung relatif yang boleh diselitkan dalam deretan katanya.

iii. Contoh frasa:

ibu bapa, teruna dara, turun naik, jatuh bangun, cantik molek, pahit manis, rumah baharu, kereta cantik

Selain rumus umum di atas, terdapat beberapa pertimbangan tambahan yang harus diambil kira:

  1. Sesetengah frasa menjadi kata majmuk apabila susunan katanya diterbalikkan. Sila lihat contoh yang berikut:

laut biru (frasa), biru laut (kata majmuk)

cili merah (frasa), merah cili (kata majmuk)

tangan panjang (frasa), panjang tangan (kata majmuk kiasan)

Kata majmuk seperti biru laut dan merah cili merupakan warna khusus. Dalam hal ini, kata sendi nama seperti yang boleh diselitkan di antara kata dasarnya telah digugurkan. Frasa tangan panjang ialah keadaan semula jadi, manakala panjang tangan bererti sifat suka mencuri.

  1. Sesetengah frasa juga merupakan kata majmuk, menurut konteks penggunaannya.

 

i. Frasa

Pusat beli-belah itu dihiasi lampu pelbagai warna, termasuk lampu hijau, lampu merah, dan sebagainya.

ii. Kata majmuk

a. Dia mendapat lampu hijau untuk melaksanakan projek itu.

Maksud lampu hijau: kebenaran

b. Polis membuat serbuan mengejut di kawasan lampu merah bandar itu.

Maksud kawasan lampu merah: tempat yang banyak berlaku gejala sosial atau jenayah

 

iii. Pada umumnya, susunan kata dasar dalam kata majmuk mengikut hukum D-M (unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkannya) tetapi ada juga kecualiannya.

a. Mengikut hukum D-M:

kanta tangan, tayangan perdana, telefon dail terus, menteri muda, warganegara

b. Kecualian: naib pengerusi, perdana menteri, timbalan menteri, bumiputera

c. Susunan unsur dalam kata majmuk kiasan:

 

Kata adjektif dahulu: ringan tulang, terang hati

Kata nama dahulu: hidung tinggi, darah panas

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.