Oleh Kho Thong Eng
21 Disember 2021, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Klausa komplemen merupakan klausa subordinat yang dipancangkan pada klausa utama untuk menghasilkan ayat majmuk pancangan komplemen. Penanda klausa komplemen ialah kata hubung komplemen, iaitu bahawa dan untuk.  Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.

1b.  Bahawa ujian akan dijalankan diketahuinya.

 

2a.  Untuk dia lulus adalah sukar.

2b.  Adalah sukar untuk dia lulus.

Dari segi kewujudannya, klausa komplemen dapat menggantikan frasa nama dalam ayat. Oleh sebab itu, klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama seperti hal itu tanpa menjejaskan keutuhan ayat, walaupun struktur ayatnya berubah. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.

3b.  Dia mengetahui hal itu.

3c.  Bahawa ujian akan dijalankan diketahuinya.

3d.  Hal itu diketahuinya.

 

4a.  Untuk dia lulus adalah sukar.

4b.  Hal itu adalah sukar.

4c.  Adalah sukar untuk dia lulus.

4d.  Adalah sukar hal itu.

Berdasarkan kelompok ayat 3 dan 4, dapat kita lihat bahawa seluruh klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama seperti hal itu. Hal ini tetap benar walaupun ayat yang berkenaan dipasifkan atau disongsangkan.

Mengapakah klausa komplemen dapat diganti dengan frasa nama? Hal ini berlaku kerana sebenarnya kebanyakan frasa komplemen terdiri daripada penerang inti frasa nama. Apabila kata nama yang menjadi inti frasa nama digugurkan, yang tinggal ialah klausa komplemen. Sila lihat contoh yang berikut:

5a. Dia mengetahui hal bahawa ujian akan dijalankan.

5b.  Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.

 

6a.  Usaha untuk dia lulus adalah sukar.

6b.  Untuk dia lulus adalah sukar.

Oleh sebab klausa komplemen pada asanya merupakan penerang frasa nama yang sudah digugurkan intinya, klausa komplemen dapat mengisi pelbagai tempat frasa nama dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia mengetahui hal itu.

7b.  Dia mengetahui bahawa ujian akan dijalankan.

7c.  Dia mengetahui ujian akan dijalankan.

7d.  Hal itu diketahuinya.

7c.  Bahawa ujian akan dijalankan diketahuinya.

Dalam kelompok ayat 7, frasa nama hal itu yang menjadi objek kepada kata kerja transitif mengetahui dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa ujian akan dijalankan. Dalam kedudukan sedemikian, kata hubung komplemen bahawa boleh dihilangkan. Namun begitu, apabila klausa komplemen menjadi subjek terbitan dalam ayat pasif, kata hubung komplemen bahawa harus dikekalkan.

8a.  Hal itu adalah sukar.

8b.  Untuk dia lulus adalah sukar.

Dalam kelompok ayat 8, frasa nama hal itu yang menjadi subjek ayat dapat diganti dengan klausa komplemen untuk dia lulus.

Klausa komplemen juga dapat menggantikan frasa nama yang menjadi predikat ayat.  Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Tujuan kempen ialah niat itu.

9b.  Tujuan kempen itu ialah niat untuk kerajaan menolong orang miskin.

9c.  Tujuan kempen itu ialah untuk kerajaan menolong orang miskin.

 

10a.  Yang benar ialah hakikat itu.

10b.  Yang benar ialah hakikat bahawa dia tidak bersalah.

10c.  Yang benarnya ialah bahawa dia tidak bersalah.

Dalam kelompok ayat 9, kata ganti nama tunjuk itu (subgolongan kata nama) dapat diganti dengan klausa komplemen untuk kerajaan menolong orang miskin. Dalam kelompok ayat 10, kata ganti nama tunjuk itu dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa dia tidak bersalah. Jelaslah bahawa kelompok ayat 9 dan 10 bersifat ekuatif atau persamaan.

Bagi ayat kelompok 9, jika kata hubung komplemen bahawa dan subjek dalam klausa komplemen kerajaan dihilangkan, ayat yang terhasil ialah ayat tunggal. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Tujuan kempen adalah untuk menolong orang miskin.

11b.  Tujuan kempen itu adalah niat untuk menolong orang miskin.

Dalam ayat kelompok 11, frasa kerja untuk menolong orang miskin berfungsi sebagai frasa nama yang telah dihilangkan intinya, iaitu kata nama seperti niat. Oleh itu, struktur ayat tunggal itu ialah Frasa Nama + Frasa Nama yang bersifat ekuatif.

Klausa komplemen dapat juga menjadi pelengkap kata adjektif atau kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Dia yakin akan hal itu.

12b.  Dia yakin akan hal bahawa kawannya tidak bersalah.

12c.  Dia yakin bahawa kawannya tidak bersalah.

 

13a.  Dia berpendapat itu/begitu.

13b.  Dia berpendapat bahawa kawannya tidak bersalah.

Dalam kelompok ayat 12, frasa nama hal itu dalam ayat 12a dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa kawannya tidak bersalah dalam ayat 12b. Dalam hal ini, sendi nama akan berfungsi sebagai pengantar objek di antara kata adjektif yakin dengan frasa nama hal itu atau hal bahawa kawannya tidak bersalah. Dalam ayat 12c, inti frasa nama hal telah digugurkan. Selain itu, sendi nama akan yang menjadi pengantar objek turut digugurkan.

Dalam kelompok ayat 13, kata ganti nama tunjuk itu atau begitu dapat diganti dengan klausa komplemen bahawa kawannya tidak bersalah sebagai pelengkap. Selain itu, klausa komplemen bahawa kawannya tidak bersalah juga menjadi penerang kepada inti frasa nama pendapat yang terkandung dalam kata kerja berpendapat.

Klausa komplemen juga dapat menjadi objek sipi kepada kata kerja tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Dia memberitahu kawannya hal itu.

14b.  Dia memberitahu kawannya hal bahawa ujian akan dijalankan.

14c.  Dia memberitahu kawannya bahawa ujian akan dijalankan.

Dalam kelompok ayat 14, objek sipi hal itu dalam ayat 14a dapat diganti dengan frasa nama hal bahawa ujian akan dijalankan dalam ayat 14b atau klausa komplemen bahawa ujian akan dijalankan dalam ayat 14c. Dalam hal ini, objek tepat ialah kata nama kawannya.

Ada kalanya sesuatu ayat mungkin mengandungi klausa komplemen atau klausa keterangan, bergantung pada perspektif analisis kita. Hal ini menjadi jelas apabila ayat yang berkenaan disongsangkan atau dipasifkan. Sila lihat contoh yang berikut:

15a. Kerajaan akan menjalankan usaha untuk membantu orang miskin

15b. Untuk membantu orang miskin, kerajaan akan menjalankan usaha.

15c. Usaha dijalankan oleh kerajaan untuk menolong orang miskin.

 

16a. Kerajaan akan menjalankan usaha untuk membantu orang miskin.

16b. Akan menjalankan usaha untuk menolong orang miskin kerajaan.

16c. Usaha untuk membantu orang miskin akan dijalankan oleh kerajaan.

Dalam kelompok ayat 15, klausa untuk (kerajaan) membantu orang miskin merupakan klausa keterangan tujuan. Oleh itu, klausa itu dapat dipisahkan daripada kata nama objek usaha. Dalam kelompok ayat 16, klausa untuk (kerajaan) membantu orang miskin merupakan klausa komplemen yang menjadi penerang kepada inti frasa nama objek usaha. Oleh itu, inti frasa nama usaha dengan penerangnya untuk (kerajaan) membantu orang miskin tidak dapat dipisahkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.