Oleh Kho Thong Eng
11 Januari 2022, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui bahawa pola ayat dasar bahasa Melayu terdiri daripada Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), dan Frasa Nama + Frasa sendi Nama (FN + FS). Sila lihat contoh yang berikut:

  1. Dia guru. (FN + FN)
  2. Dia duduk. (FN + FK)
  3. Dia pandai. (FN + FA)
  4. Dia ke Seremban. (FN + FS)

Oleh hal yang demikian, ada pihak tertentu yang berpendapat bahawa binaan seperti “hal itu begitu/begini/demikian …” merupakan struktur klausa atau ayat yang salah atas sebab-sebab yang berikut:

a.  Kata “begitu”, “begini” dan “demikian” dianggap sebagai adverba

b.  Tiada ayat dasar bahasa Melayu yang berpolakan struktur FN + Adverba

 

Oleh itu, disarankan oleh pihak tertentu agar ayat tertentu dijadikan seperti yang berikut:

          a. Hal itu dikatakan begini /begitu /demikian … (FN + FK)

          b. Hal itu berlaku begini /begitu /demikian … (FN + FK)

 

Tujuan perubahan struktur itu dibuat adalah untuk menjadikan semua struktur ayat tersebut berpola FN + FK agar menepati struktur pola ayat dasar bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, kata “begitu”, “begini” dan “demikian” telah ditetapkan oleh pihak tertentu sebagai kata adverba tanpa penjelasan yang konkrit dan tuntas untuk mewajarkannya. Oleh itu, hal ini perlu kita kaji terlebih dahulu.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), terdapat penjelasan tentang maksud kata “demikian”, “begini” dan “begitu”, seperti yang berikut:

demikian” (2007: 331) bererti “begitu, begini, seperti (itu ) ini” dengan contoh binaan “demikianlah halnya”, “oleh yang demikian”, “tak demikian mahal”

begini” (2007: 147) bererti “bagai ini, macam ini, seperti begini” dengan contoh binaan “tulislah begini”

begitu” (2007: 147) bererti “bagai itu, macam itu, seperti itu” dengan contoh binaan “dahulu pun begitu juga”, selain maksud “amat sangat, terlalu” dengan contoh binaan “mereka hidup begitu mewah”

Berdasarkan maksud kata-kata tersebut, kita dapat merumuskan hal seperti yang berikut:

a. “hal ini begini” bererti “hal ini seperti ini

“hal itu begitu” bererti “hal itu seperti itu

“hal itu demikian” bererti “hal itu seperti itu / ini

Strukturnya ialah FN + FS (struktur dalaman).

 

b. “dia begitu pandai” bererti “dia amat pandai”

Strukturnya ialah FN + FA (“amat” ialah kata penguat).

 

c. “begini/begitu/demikian” sama dengan “seperti ini/itu

Strukturnya ialah FN + FS (struktur dalaman).

 “begitu” juga dapat berfungsi sebagai kata penguat, tetapi bukan sebagai adverba.

 

Struktur klausa atau ayat “hal ini seperti ini/itu” mempunyai pola Frasa Nama (hal ini) dengan Frasa sendi nama (seperti ini/itu). Oleh itu, binaan seperti itu menepati struktur pola ayat dasar bahasa Melayu. Sila lihat perbandingan yang berikut:

5a.  Hal ini seperti itu.                  (FN + FS)

5b.  Hal itu seperti ini.                  (FN + FS)

 

6a.  Sifatnya seperti itu.               (FN + FS)

6b.  Gayanya seperti ini.              (FN + FS)

Jika diteliti, kata “begini”, “begitu” dan “demikian” juga merupakan penanda wacana rujukan (reference discourse marker) dalam ayat kedua yang merujuk maklumat dalam ayat yang mendahuluinya.

7a.  Ekonomi semakin pulih. Hal ini begini/begitu/demikian kerana rakyat kita bekerja keras.

7b.  Ekonomi semakin pulih. Hal ini seperti ini/itu kerana rakyat kita bekerja keras.

8a.  Semua manusia ada kelemahan.  Begini/begitu/demikian juga kita.

8b.  Semua manusia ada kelemahan.  Seperti ini/itu juga kita.

Oleh itu, binaan “Hal ini begini/begitu/demikian” ialah binaan ayat susunan biasa, manakala “Begini/Begitu Demikian juga kita” mempunyai struktur ayat susunan songsang.

Sebagai rumusan, boleh dikatakan bahawa binaan seperti “hal ini begini/begitu/demikian” mempunyai maksud dan struktur dalaman (deep structure) seperti “hal ini seperti ini/itu” yang mempunyai struktur FN + FS, dan patut diterima sebagai binaan yang betul.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh “begini/begitu/demikian” tidak diiringi oleh sendi nama dalam struktur permukaannya (surface strukture), hal ini boleh dianggap sebagai kecualian dalam tatabahasa bahasa Melayu. Bukankah perkara ini menepati kata-kata hikmat bahawa “bagi setiap rumus, ada sahaja kecualiannya” (for every rule, there is an exception).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.