11 Januari 2022, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus melaksanakan fungsinya dalam memperkasakan serta mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, bagi memastikan bahasa Melayu terus di mercu, DBP juga akan meneruskan program dan aktiviti yang telah dirancang dan disusun melalui kegiatan kerjasama dengan pelbagai pihak melalui pelbagai saluran untuk mengembangkan bahasa kebangsaan khususnya dengan memfokuskan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).

Hal ini dikongsi oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menyatakan bahawa agensi kebahasaan ini akan sentiasa mengenal pasti cara dan kaedah untuk menjayakannya. Pada waktu ini, DBP juga telah mewujudkan studio bagi mendekatkan DBP dalam dunia penyebaran maklumat digital menerusi aplikasi TMK.

Sementara itu, ketika mengulas tentang isu kerancuan bahasa, Dr. Hazami mengatakan bahawa isu itu juga sedikit banyak berpunca daripada sumber media. Menurutnya lagi, agensi penyiaran seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih teguh dan kekal mendaulatkan bahasa kebangsaan.

DBP turut menyediakan panduan dan kaedah yang betul kepada badan penyiaran mahupun mana-mana agensi media agar dapat menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Namun begitu, pendekatan DBP tersebut tidak menyekat kreativiti mana-mana pihak media dan sentiasa memberikan khidmat nasihat agar semua pihak dapat mendaulatkan bahasa kebangsaan.

YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dan juruhebah EJ ketika bersiaran secara langsung.

Beliau berkata demikian menerusi slot “Sembang KL”, yang diterbitkan oleh KLFM, Rentak Interaktif Kota, Radio Televisyen Malaysia (RTM). Siaran yang disiarkan secara langsung pada 2.30 petang itu dikendalikan oleh juruhebah, EJ atau Effa dan penerbit, Caaldidi, yang membincangkan tajuk “Azam Baharu Bahasa di Mercu”.

Sebelum mengakhiri program, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Pelancaran Kamus Dewan Perdana akan disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Januari 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan Perdana ini merupakan kamus bahasa Melayu terlengkap dan terbesar di dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.