Oleh Aminudin Mansor
11 Februari 2022, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat. Bahasa yang baik dan mudah difahami serta boleh dituturkan oleh masyarakat seperti bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan negara. Hal ini dapat dilihat sejak negara mencapai kemerdekaan dan hingga kini peranan ini telah dilaksanakan oleh bahasa Melayu dengan berkesan dan berjaya.

Pembangunan dan kemajuan yang sempurna dalam kehidupan masyarakat semuanya bermula daripada penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Paduan antara pembangunan dengan kemajuan kerohanian dan kebendaan mestilah bermula dengan penggunaan bahasa yang betul, tepat dan berkesan. Sesungguhnya bahasa merupakan satu daripada pencapaian terawal dalam tamadun manusia.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam kebudayaan bagi mengeratkan perpaduan masyarakat. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu yang berdaulat telah berjaya memupuk perpaduan murid di peringkat sekolah  dan institusi pengajian tinggi. Semua hal itu telah dilaksanakan secara berperingkat oleh bahasa Melayu sejak tahun 1957.

Bahasa Melayu juga telah melalui perancangan yang rapi. Mengikut Fishman el al. (1971), proses pengekodan meliputi usaha ke arah “penyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan, dan sebagainya”.

Selain itu, bahasa Melayu turut  melalui proses perancangan bahasa, iaitu melalui perancangan, pelaksanaan masyarakat bahasa dan penilaian. Melalui proses ini, bahasa Melayu telah melalui aspek pengekodan, pemupukan dan penilaian bagi memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam kalangan masyarakat.

Menurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2012), bahasa Melayu telah menuju bahasa Melayu moden melalui perancangan bahasa ini sebagai usaha memupuk ke taraf yang lebih maju, iaitu bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi negara dan juga kebudayaan yang mewakili kehidupan moden masa ini.

Menurutnya lagi, perkembangan bahasa Melayu moden dapat dilihat melalui usaha  yang dilaksanakan oleh individu dan ahli masyarakat serta badan dan pertubuhan tertentu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden diselaraskan dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat mampu dilaksanakan.

Bahasa Melayu kini menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media kebudayaan, pengurusan, undang-undang, ekonomi, media pendidikan serta yang lebih utama sebagai media penyebaran dakwah dalam kehidupan agama dan budaya masyarakat. Bahasa menjadi penting dalam hubungan kehidupan masyarakat serta bidang profesional yang lain.

Peranan rakyat terutamanya yang menggunakan bahasa Melayu dalam lisan dan tulisan, iaitu dengan berbahasa Melayu menjadikan bahasa Melayu lebih mudah diterima oleh masyarakat di negara ini. Bagi membentuk perpaduan, bahasa memainkan peranan penting, iaitu dalam bidang pendidikan, komunikasi, dan pengamalan budaya. Apa-apa juga kegiatan yang dilakukan dalam kebudayaan masyarakat mestilah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi.

Clive Bell (2007) berpandangan bahawa orang yang berbudaya biasanya berbicara segala macam hal melalui bahasa. Oleh itu, bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh semua kaum dalam sesebuah masyarakat dan negara yang merdeka.

Oleh sebab itu, peranan bahasa sangat penting dalam mengeratkan perpaduan kaum. Bahasa yang baik dan berilmu akan menjadi bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti bahasa Melayu kepada sesebuah negara seperti Malaysia. Peranan masyarakat adalah mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu sebenarnya sudah lama mampu dan berfungsi dengan peranannya dalam menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Di sekolah, murid diajarkan bahasa dan mereka dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris yang digunakan sebagai bahasa penerokaan ilmu.

Tidak ada kelebihannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris setiap hari sama ada di rumah atau di tempat kerja, malah tiada kekurangan pun jika berbahasa Melayu di rumah dan juga di tempat kerja dan di majlis rasmi. Bahasa Melayu lebih hebat dan indah kerana mempunyai keindahannya melalui bahasa puisi, iaitu pantun, peribahasa dan kata-kata hikmah. Kedua-dua bahasa ini mempunyai peranan yang penting dalam hubungan budaya dan menambah ilmu pengetahuan.

Yang paling penting, para pengguna bahasa tidak mencampuradukkan kedua-dua bahasa dalam penulisan dan percakapan. Hal ini diibaratkan seperti “Sekerat ular dan sekerat belut” yang boleh merosakkan bahasa terutamanya bahasa Melayu. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian sama ada di media sosial dan media baharu mestilah secara sepenuhnya.

Selain itu, budaya juga dapat mengeratkan pelbagai kaum dalam kepelbagaian budaya di sesebuah negara. Setiap rakyat di negara ini yang memahami kaum lain akan menghormati budaya dan adat resam mereka. Dalam hubungan kejiranan dan juga melaksanakan acara berkaitan dengan budaya, bahasa Melayu mestilah digunakan sebagai bahasa komunikasi.

Kini Malaysia mempunyai 32.75  juta penduduk dalam suku tahun pertama 2021 dan terdiri daripada lebih 200 etnik yang pelbagai berdasarkan kaum, struktur atau kelas sosial, bahasa, kepercayaan, dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat. Oleh itu, rakyat Malaysia berperanan penting dalam mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Setiap budaya mempunyai keindahan dan keunikan yang perlu dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara. Budaya yang unik dan dapat diterima oleh pelbagai kaum juga dapat menarik para pelancong luar negara sebagai aset pelancongan yang mendatangkan sumber ekonomi negara. Masyarakat yang berbudaya mestilah mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang berkesan.

Selain itu, hikmah daripada kepelbagaian sosial dan budaya perlu diraikan oleh setiap masyarakat. Setiap kaum perlu menginsafi dan menghormati kelainan tersebut. Kelebihan ini akan dapat menambahkan pengetahuan anggota masyarakat selain kaum itu sendiri tentang sesuatu keistimewaan kaum tersebut. Hal ini pastinya akan meningkatkan penyelidikan kajian etnik di Malaysia.

Kepelbagaian sosial budaya ini boleh menjadi produk pelancongan negara. Moto pelancongan “Malaysia Truly Asia” juga dapat menggambarkannya kepada pelancong asing bahawa mereka boleh mendapatkan pengalaman yang banyak hanya dengan melancong di Malaysia sahaja.

Di samping itu, pendekatan sosial dan kebudayaan juga sebenarnya boleh dibentuk melalui perkongsian nilai murni yang diamalkan oleh pelbagai kaum. Misalnya nilai menghormati antara satu sama lain. Apabila mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang berkesan, pastinya akan dapat menjadikan seseorang itu berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Menurut Felow Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Denison Jayasooria ketika ditanya tentang hal ini menyatakan bahawa setakat ini peranan bahasa dan sosial budaya amat berkesan dalam mengekalkan perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya lagi, perpaduan kaum melalui bahasa kebangsaan telah diamalkan sejak dahulu dan berlaku di sekolah rendah dan menengah di negara ini yang membuktikan bahawa semua murid boleh berkomunikasi dan berhubung melalui bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Melalui bahasa Melayu, semua murid dapat berkomunikasi dengan berkesan dan mesra dengan penuh kasih sayang.

Katanya, melalui pendidikan di sekolah, perpaduan dapat diterapkan melalui bahasa dan juga pemahaman budaya kaum lain melalui aktiviti budaya yang diamalkan dan diajar dalam kegiatan kokurikulum. Bahasa Melayu mesti digunakan dalam pendidikan bagi membentuk perpaduan yang jitu.

Oleh itu, setiap kaum atau etnik mempunyai ciri tersendiri yang dapat menunjukkan identiti yang telah diwarisi dan akan diwariskan kepada generasi mereka pada masa akan datang. Dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul tepat dan berkesan akan memudahkan lagi aspek komunikasi dalam masyarakat.

Antara ciri utama pengenalan identiti kaum pula ialah bahasa pertuturan, pakaian, adat resam dan agama yang diamalkan dalam kehidupan mereka. Perlu juga difahami bahawa sosial budaya menerangkan tentang hal yang berkaitan dengan masyarakat. Pemahaman ini juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi.

Kepelbagaian dalam budaya perlu diraikan tetapi mestilah berpaksikan ketaatan dan kecintaan terhadap negara, bahasa dengan berlandaskan kefahaman, keadilan, keharmonian dan saling menghormati. Kepelbagaian juga mestilah berpaksikan semangat perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

Oleh yang demikian, cabaran yang dihadapi oleh masyarakat majmuk amat banyak dan perlu didepani dan diatasi. Oleh itu, sifat bertolak ansur antara kaum sangatlah dituntut. Pihak kerajaan juga perlu kreatif mencari strategi untuk meningkatkan integrasi kaum di negara ini melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti seminar bahasa dan budaya yang merentasi kepelbagaian kaum. Jangan sampai hilang bahasa, lenyaplah bahasa.

Kesimpulannya, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi  mestilah digunakan dalam apa-apa juga acara dalam kegiatan masyarakat. Apabila bahasa Melayu dapat digunakan dengan baik dan berkesan oleh pengacara melalui ucapan akan membolehkan bahasa Melayu merentas budaya dalam kehidupan masyarakat di negara ini. Bahasa menunjukkan bangsa, iaitu bahasa ialah lambang keperibadian sesuatu masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.