Oleh Firdaus Mul
22 Mac 2022, 13:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat pindaan terhadap Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 merupakan satu daripada peristiwa penting dalam negara dekad ini. Keputusan yang diambil oleh Kerajaan itu merupakan satu tindakan yang komprehensif, bagai pinang pulang ke tampuk dan wajar diberikan penghargaan, perhatian dan sekali gus disambut baik oleh setiap pihak di negara ini.

Tindakan ini memberikan satu nafas baharu dalam fasa kelangsungan pemartabatan bahasa Melayu. Bahkan yang lebih menggembirakan lagi apabila Perdana Menteri Malaysia ke-9 itu beriltizam untuk mengangkat penggunaan bahasa Melayu di peringkat ASEAN. Oleh yang demikian, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk terus kekal memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, terdapat beberapa cadangan yang perlu dipertimbangkan.

Pertama sekali, cadangan mewujudkan satu mekanisme kawalan yang bersifat “mengikat” yang berkaitan dengan perbahasan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), hatta menggunakan bahasa Melayu secara menyeluruh, yakni pindaan atau penggubalan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan ataupun di bawah Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (4). Hal ini bermaksud, tidak akan ada lagi penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa rojak atau selain daripada penggunaan bahasa Melayu ketika sesi perbahasan berlangsung. Kecuali beberapa terma ataupun istilah khas yang mengharuskan penggunaan bahasa Inggeris, maka wajar diberikan sedikit kelonggaran.

Umum juga mengetahui dan memperakui bahawa peruntukan peraturan sedia ada dalam perbahasan memberikan satu keistimewaan kepada Parlimen untuk menggunakan bahasa Inggeris (sebagai pilihan) ketika perbahasan dengan kebenaran oleh Tuan Yang Dipertua Dewan. Misalnya, ketika sesi persidangan atau perbahasan di Dewan Rakyat. Seorang wakil rakyat memerlukan keizinan daripada Tuan Yang Dipertua Dewan sebelum mengutarakan sebarang perbahasan menggunakan bahasa Inggeris. Namun begitu, atas kapasiti bahasa Inggeris boleh digunakan dengan izin Tuan Yang Dipertua Dewan, berlaku beberapa salah guna pelanggaran penggunaan bahasa Melayu sehingga mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris oleh wakil-wakil rakyat ketika sesi perbahasan.

Oleh sebab itu, sudah tiba masanya keistimewaan ini diteliti dan diperhalusi semula dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh ketika perbahasan baik di Parlimen mahupun di DUN setiap negeri. Cadangan ini bukanlah satu bentuk pertikaian terhadap keistimewaan sedia ada yang diperuntukkan dalam peraturan atau perlembagaan tetapi melihat pertimbangan bagi pembentukan jalur kesepaduan usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama untuk mengelakkan pertindihan peruntukan perundangan sedia ada. Peruntukan peraturan sedia ada perlu digubal atau dipinda bagi membentuk keseragaman, yakni menjamin ketelusan penggunaan bahasa Melayu di setiap pelosok perbahasan wakil-wakil rakyat di negara ini, baik di Semenanjung Malaysia mahupun di Sabah dan Sarawak.

Langkah ini dilihat selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara Malaysia. Ketika kewajipan seratus peratus berbahasa kebangsaan ketika persidangan Parlimen dan DUN ini dilaksanakan, hal itu secara tidak langsung dapat memberikan satu gambaran yang tegas dalam usaha murni pihak Kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu di negara ini. Bahkan penegasan ini memberikan satu kesedaran drastik kepada rakyat Malaysia untuk menyedari akan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan dan menolak kebergantungan terhadap pemakaian ataupun penggunaan bahasa Inggeris.

Susulan hal itu, satu peruntukan klausa dalam undang-undang yang berkaitan dengan Akta Bahasa Kebangsaan (penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh) di Parlimen dan DUN perlu diwujudkan dan diseragamkan mengikut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Hasilnya, satu mekanisme kawalan undang-undang terhadap wakil-wakil rakyat yang bakal berucap dan berbahas dalam persidangan diwajibkan berbahasa Melayu secara menyeluruh.

Hal itu juga bermaksud, mana-mana ahli Parlimen atau ahli DUN yang bersidang yang didapati melanggar penggunaan bahasa Melayu ketika berbahas boleh dikenakan tindakan melalui bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Hasilnya, setiap perbahasan wakil-wakil rakyat di Parlimen ataupun di DUN bakal dipantau sepenuhnya oleh DBP, selaku Badan Berkanun yang diberikan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pelanggaran penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Cadangan seterusnya ialah memperuntukkan satu undang-undang khas di bawah Akta Bahasa Kebangsaan atau Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 bagi mengekang penularan pencemaran bahasa yang berlaku di negara ini. Misalnya, pencemaran bahasa yang melibatkan isu “sekerat ular dan sekerat belut” ataupun yang dikenali sebagai isu penggunaan bahasa rojak yang kian membarah dalam konteks penyiaran, penerbitan, pengiklanan dan yang seangkatan dengannya.

Cadangan ini juga dilihat seiring dengan usaha Kerajaan untuk memberikan kuasa penuh kepada DBP bagi menjamin keluhuran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Permasalahan ini bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah tumbuh sejak beberapa tahun yang lalu yang mewujudkan permasalahan ini yang mencemarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.

Oleh yang demikian, peruntukan undang-undang tersebut perlulah bersifat  menyeluruh. Pencemaran bahasa yang semakin mengembang biak ini perlu diberikan satu kawalan yang berkesan bahkan lebih baik jika dapat dinoktahkan. Mana-mana pihak yang terlibat dan didapati bersalah dalam pelanggaran penggunaan bahasa Melayu (bahasa rojak atau yang seangkatan dengannya), maka tindakan tegas perlu diambil melalui bidang kuasa yang diberikan kepada DBP bagi memberikan pengajaran kepada pihak yang terlibat agar tidak lagi mengulangi pelanggaran penggunaan bahasa.

Pelaksanaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana beberapa siri pelaksanaan mekanisme kawalan yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan sebelum ini dalam perundangan telah berjaya membuahkan hasil. Sebagai contoh, Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), iaitu peraturan wajib pemakaian pelitup separuh muka di kawasan yang menjadi tumpuan ramai ataupun di kawasan yang sesak. Kemudian, di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, yakni satu peraturan yang berkaitan dengan larangan merokok di semua tempat makan di seluruh negara.

Kedua-dua contoh ini merupakan satu bentuk penguatkuasaan yang berbentuk mekanisme kawalan yang memperuntukkan bayaran denda ataupun kompaun. Yang lebih menggembirakan lagi, penguatkuasaan peraturan ini mendapat sokongan daripada semua pihak, lebih-lebih lagi sehingga hari ini yang menunjukkan kadar peratusan pematuhan berada pada tahap yang memberangsangkan.

Oleh sebab itu, isu pencemaran bahasa pada peringkat awal boleh ditangani dengan pelaksanaan peruntukan undang-undang mekanisme kawalan dan boleh dianalogikan keberhasilan usaha ini sekiranya dilaksanakan sebagai satu langkah sambil menyelam minum air. Dalam hal ini, kerajaan akan berjaya mengekang penularan pencemaran bahasa dan pada masa yang sama dapat mendidik masyarakat tentang keprihatinan mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan.

Dunia penyiaran, penerbitan dan pengiklanan atau yang seangkatan dengannya merupakan “dunia” yang membawa pengaruh besar kepada rakyat di negara ini. Medium yang terkandung dalam konteks ini menggunakan elemen bahasa sebagai instrumen bagi menyampaikan maklumat untuk disajikan kepada pendengar, penonton dan pembacanya. Ketika medium ini terus giat menyebarkan elemen yang bersaluti pelanggaran bahasa (bahasa rojak ataupun yang seangkatan dengannya), akhirnya hal itu menimbulkan satu kekeliruan kepada masyarakat.

Kekeliruan tersebut adalah tentang kewujudan sebenar asas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kesemua ini hanya akan berjaya dikekang melalui perlaksanaan mekanisme kawalan yang berbentuk satu peruntukan undang-undang baharu di bawah Akta Bahasa Kebangsaan atau Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Jika sebelum ini teguran dan garis panduan telah dikemukakan untuk mengekang penularan ini tidak berkesan dan kurang mendapat sambutan, sudah tiba masanya satu penguatkuasaan yang komprehensif perlu dilaksanakan.

Tuntasnya, usaha murni Kerajaan untuk mengangkat dan menjulang bahasa Melayu memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak. Pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu bagi merealisasikan impian ini seiring dengan jalinan Keluarga Malaysia yang telah dibentuk. Tanpa sokongan dan kerjasama daripada ahli Keluarga Malaysia, sudah tentu matlamat dalam usaha ini tidak akan berupaya dicapai.

Semoga usaha murni Kerajaan ini dapat mencapai matlamatnya sekali gus membuka mata segelintir rakyat di negara ini yang masih menganggap bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kuno dan bahasa kampung. Hakikatnya, kekuatan yang pada bahasa Melayu ini telah diperakui zaman-berzaman, yang pernah menjadi bahasa lingua franca dan tak lapuk dek hujan tak lekang dekak panas.

Usaha ini juga menjadi bukti kepada semua pihak, iaitu sesungguhnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak hanya sekadar bergema ketika malam baca puisi di ibu kota, tetapi juga menjadi semboyan utama perjuangan pemimpin negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.