12 April 2022, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Saranan YAB Perdana Menteri, Dató Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua bagi negara ASEAN wajar disokong sebulat suara oleh Keluarga Malaysia. Bahasa Melayu telah lama diiktiraf sebagai lingua franca meskipun terdapat 84 bahasa yang dituturkan oleh pedagang yang singgah di Selat Melaka pada abad ke-15 Masihi dan abad ke-16 Masihi.

Selain itu, bahasa Melayu turut menjadi pembina tamadun suprawilayah dan supraetnik, bahasa ilmu, bahasa persuratan, bahasa pemikiran, bahasa falsafah, bahasa diplomasi dan bahasa pentadbiran malah bahasa perpaduan yang menyatupadukan semua bangsa yang berkunjung ke Selat Melaka pada zaman silam.

Kedudukan bahasa Melayu ketika itu sama tarafnya dengan bahasa Perancis atau bahasa Latin sebagai lingua franca di Eropah. Menurut Valentyn, pada abad ke-17 Masihi atau ke-18 Masihi, jika ada sesiapa di rantau tersebut yang tidak mengetahui tentang bahasa Melayu dan tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, maka mereka dianggap sebagai tidak berpendidikan. Daripada kenyataan Valentyn tersebut, terbuktilah bahawa bahasa Melayu telah lama mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi daripada sarjana barat.

Pada era kolonial, bahasa Melayu dikuasai dengan cemerlang oleh semua bangsa dan menjadi bahasa komunikasi di rumah kaum India dan  yang berketurunan Tionghua. Mereka fasih berbahasa Melayu dan anak-anak mereka juga mendapat skor yang tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah.

Bahasa Melayu juga digunakan secara meluas dalam aktiviti harian seperti aktiviti sosial, sukan dan kebudayaan dalam suasana yang mesra dengan penuh rasa muhibah ketika itu. Fakta ini diperakui oleh Clough Thuraisingam, pemimpin kaum India sewaktu era kolonialisasi British dan tercatat dalam Federal Legislative Assembly Debate pada  10 Julai 1957, iaitu dalam lajur 2939.

Walau bagaimanapun, pihak British tidak menyenangi suasana tersebut kerana aspirasi British tidak akan menjadi realiti jika bahasa Melayu diutamakan. Sehubungan dengan itu, secara sistematiknya mereka telah memperkenalkan dasar multibahasa (multilingual) dan multihuruf (multiscripted)

Dasar multibahasa tersebut pada mata kasar kelihatan seolah-olah menguntungkan semua pihak, namun dasar inilah yang menyebabkan minat akan bahasa dan persuratan kebangsaan menjadi merudum dalam kalangan penutur bukan natif bahasa Melayu dalam jangka masa panjang. Etnosentrisme yang diasaskan oleh pihak kolonial British semasa era kolonialisme masih kekal dan menebal dalam kalangan segelintir individu yang bergelar Keluarga Malaysia hingga ke hari ini.

Mereka alpa bahawa bahasa Melayu telah mencipta tamadun yang agung dan ulung pada abad ke-7  Masihi kerana pada abad itu sudah ada “negara bangsa” di Palembang. Negara bangsa itu dikenali sebagai kerajaan Melayu Srivijaya. Daripada catatan I Tsing, diketahui bahawa kerajaan Melayu Srivijaya telah wujud sejak abad ke-7 Masihi dan bahasa yang digunakan untuk belajar, mengajar dan mempelajari falsafah agama Buddha pada era itu ialah bahasa K’un-lun. Bahasa K’un-lun ini dikatakan sebagai bahasa Melayu kuno oleh para pengkaji bahasa.

Bahasa Melayu turut tersebar ke seluruh pelosok dunia yang bukan melalui paksaan, peperangan atau penjajahan sebagaimana tersebarnya bahasa Portugis, bahasa Belanda dan bahasa Inggeris ke kawasan lain. Sebaliknya bahasa Melayu tersebar melalui proses berfikir dan proses sosial dan bukannya melalui proses kuasa politik.

Bahasa Melayu juga mendapat penghormatan dan pengiktirafan tertinggi pada zaman silam kerana bangsa Melayu, keturunan Tionghua dan kaum India berfikir dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan penuh yakin. Mereka tidak terpengaruh dengan bahasa asing meskipun terdapat 84 bahasa yang dituturkan oleh pedagang dan mubaligh yang singgah di Selat Melaka ketika itu.

Kini kita memerlukan azam, iltizam, keyakinan dan semangat yang sama daripada Keluarga Malaysia untuk melonjakkan kegemilangan bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi yang bukan sahaja di rantau ASEAN malah di seantero dunia. Aspirasi Perdana Menteri itu dapat direalisasikan dengan sokongan padu Keluarga Malaysia kerana bahasa Melayu telah memenuhi semua kriteria yang diperlukan bagi pengiktirafan sebagai satu daripada bahasa utama dunia.

Antara kriteria utama yang telah dipenuhi oleh bahasa kebangsaan kita untuk diiktiraf sebagai bahasa utama dunia termasuklah memiliki jumlah penutur bahasa Melayu yang lebih daripada 300 juta orang di seantero dunia. Jumlah penutur bahasa Melayu agak tinggi di rantau ASEAN dan di luar negara disebabkan oleh Kursi Pengajian Bahasa Melayu dan Kursus Bahasa Melayu yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Luar Negara. Bahasa Melayu juga diajarkan secara rasmi di institusi pendidikan di Malaysia dan menjadi bahasa rasmi di empat buah negara, yakni Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura.

Bahasa Melayu turut memiliki laras rasmi atau bahasa baku yang standard, dituturkan oleh penutur natif yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, serta digunakan sebagai bahasa perdagangan di Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, selatan Thailand dan selatan Filipina. Selain itu, bahasa Melayu mempunyai khazanah persuratan yang besar dalam pelbagai ilmu khususnya di universiti luar negara. Semua kriteria yang diperlukan untuk menjadi bahasa utama dunia telah dipenuhi oleh bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam menzahirkan harapan dan visi Perdana Menteri Malaysia agar bahasa negara ini “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa utama dunia. Kita boleh mengembalikan kegemilangan yang pernah digapai oleh bahasa pertiwi pada suatu ketika dahulu jika Keluarga Malaysia yang menghuni bumi Malaysia bersikap sehati sejiwa, tekal dan kekal dalam semua kedudukan, keadaan dan berpegang teguh pada peribahasa Melayu “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.