Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKawasan sekitar termasuklah bangunan, restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan di Kuala Kangsar, Perak, telah dihiasi dengan tulisan Jawi sebagai langkah membudayakan semula tulisan tersebut. Pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) kini sedang mengorak langkah bagi pembudayaan tulisan Jawi, khususnya di pusat bandar.
Terdapat banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung dengan langkah yang diambil oleh MPKK tersebut. Walau bagaimanapun, tiada paksaan atau tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka yang enggan. Hal ini demikian kerana setakat ini MPKK hanya menggalakkan pelaksanaan ke arah itu.
Menurut Yang Dipertua MPKK, Encik Zulqarnain Mohamad, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung dengan langkah yang diambil oleh pihaknya. Menurut Zulqarnain, MPKK lebih kepada menggalakkan serta mengadakan perbincangan dengan pemilik premis tertentu dan tindakan tersebut mendapat sambutan baik.
“Sudah banyak nama jalan di Kuala Kangsar yang MPKK ketengahkan menggunakan tulisan Jawi, malah ada sebilangan premis yang terkemuka akan diketengahkan dengan penggunaan tulisan berkenaan,” kata Zulqarnain.
Pembudayaan semula tulisan Jawi, tambah Zulqarnain, bukanlah sesuatu yang aneh kerana tulisan tersebut diguna pakai oleh kolonial British untuk menulis surat rasmi kepada Raja-raja Melayu pada suatu ketika dulu. Tambah beliau, taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja Perak yang dikenali umum dengan tradisi budaya serta warisan tersendiri sudah tentu amat layak membudayakan semula tulisan terbabit.
Tulisan Jawi, tegas Zulqarnain, bukanlah sesuatu yang asing meskipun ada beberapa pihak mengaitkannya dengan unsur keagamaan. Tiada paksaan dalam agama, malah di negara lain seperti Lubnan misalnya, gereja penganut Kristian pun ditulis dengan tulisan Arab.
“Kita tidak boleh melihatnya dengan pandangan yang sempit sebegitu. Tambahan pula, setakat ini di Kuala Kangsar masih belum ada isu berbangkit mengenainya,” kata Zulqarnain.
Antara restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan di Kuala Kangsar yang menggunakan tulisan Jawi termasuklah “Pokok Getah Pertama Malaya”, Jalan Kangsar, Jalan Dato Maharaja Lela, Jalan Taiping, Jalan Laksamana dan Jalan Syahbandar.
Beberapa orang individu kelahiran Kuala Kangsar yang merangkumi golongan penulis, profesional, dan pelajar yang baru menamatkan pengajian di universiti awam turut bersetuju dengan langkah MPKK ini. Sebagai golongan muda, Fatheen Mohamed, iaitu mantan pelajar Universiti Putra Malaysia amat menyokong penuh usaha sebegini yang dilakukan pihak yang bertanggungjawab.
“Seperti kita sedia maklum, sistem tulisan Jawi bukanlah perkara asing. Sistem tradisi keilmuan Melayu yang telah wujud sejak dahulu telah membuktikan kegemilangan sistem tulisan Jawi yang sistematik, sekali gus memenuhi syarat bagi sesebuah kerajaan atau negara itu bertamadun,” kata Fatheen, anak jati Kuala Kangsar.
Walau bagaimanapun, sebagai golongan muda, Fatheen turut bersedih dengan anak-anak muda kini yang semakin melupakan tulisan Jawi. Katanya, hal itu bukan sahaja tertumpu pada kegagalan untuk menulis semata-mata tetapi juga kegagalan mereka membaca dan mengenal huruf-huruf asas.
“Oleh itu, saya amat bersetuju sekiranya papan-papan tanda di sekitar bandar Kuala Kangsar ditulis juga dengan tulisan Jawi ini. Sekurang-kurangnya, kita tidak terus tenggelam oleh arus kemodenan sehingga melenyapkan warisan terulung negara kita ini,” tegas Fatheen.
Bagi penyair terkenal, Ijamala MN pula berpendapat bahawa langkah MPKK ini memang wajar kerana ini adalah antara cara untuk meletakkan tulisan Jawi di atas landasan yang betul. Ijamala atau nama sebenarnya, Mohd Noor Hamzah yang berasal dari Kampung Jamuan turut mencadangkan agar penjawat awam dilibatkan dalam usaha pemartabatan tulisan Jawi ini.
“Pada peringkat permulaan, saya mencadangkan agar penjawat awam memakai tanda nama dalam tulisan Jawi pada hari Jumaat. Hari Jumaat sangat relevan kerana telah diangkat sebagai Hari Jawi Kebangsaan. Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, sudah sepatutnya kita ada kesedaran sedemikian,” tegas Ijamala.
Seorang lagi penulis kelahiran Kuala Kangsar, iaitu M. Shah yang biasa menulis sajak turut menyokong langkah MPKK dalam mengangkat tulisan Jawi di sekitar Kuala Kangsar. Bagi dirinya yang berasal dari Kota Lama Kiri, segala usaha yang baik memang tidak wajar ditentang.
Tegas Al Hisyam pula, tujuan murni MPKK memaparkan tulisan Jawi pada restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan ini perlu diteruskan dengan lebih bermakna.
“Di Kelantan dan di Terengganu, telah lama ada usaha mengangkat tulisan Jawi sebegini. Sekolah-sekolah agama di Kuala Kangsar yang dinaikkan taraf sebagai sekolah bantuan penuh kerajaan juga wajar tampil dengan tulisan Jawi. Sebelum ini, hanya Maahad Al Yahyawiah, Padang Rengas, dan Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan sahaja yang mengangkat tulisan Jawi,” kata Al Hisyam yang berasal dari Padang Rengas.
Tambah Al Hisyam atau nama sebenarnya, iaitu Abdul Latiff Hisham Shamsuri, pemartabatan tulisan Jawi di sekitar Kuala Kangsar juga, relevan kerana telah melahirkan banyak tokoh agama Islam.
“Kuala Kangsar juga mempunyai badan penulis dan budaya, seperti Lembaga Pembangun Sastera Perak untuk turut sama berganding bahu melaksanakan tujuan murni ini agar menjadi yang terbaik,” jelas Al Hisyam.
Sementara itu, penulis bebas kelahiran Padang Rengas, Sallehuddin Ibrahim, mengalu-alukan usaha MPKK ini. Namun begitu, beliau yang juga pengasas Program BACATON sejak 10 tahun lalu berpendapat bahawa langkah berkenaan perlu diperluas dengan pelibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.