Oleh Firdaus Mul
22 April 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negara Malaysia terbina dengan Rukun Negara, yang terkandung di dalamnya lima perkara. Satu daripadanya ialah mewajibkan rakyat di negara ini melaksanakan dan menjulang tinggi segala perihal yang berkaitan dengan kesopanan dan kesusilaan. Hal ini membawa maksud, seluruh rakyat di Malaysia bersetuju dengan ikrar untuk memperakui iltizam sekali gus menjunjung kesopanan dan kesusilaan.

Oleh yang demikian, secara tidak langsung perkara ini membuktikan bahawa budaya negara ini tidak menyediakan ruang dan menentang segala perkara yang berkaitan dengan kebiadaban. Baik dalam bentuk perbuatan (tindakan atau tingkah laku) mahupun pertuturan (percakapan atau penulisan).

Rakyat Malaysia juga terkenal dengan budi bahasanya seantero dunia. Hal ini demikian sehingga lahirnya satu cogan kata yang mendorong sikap saling hormat-menghormati di bawah untaian kata yang berbunyi “Budi bahasa budaya kita dan Yang tua kita hormati dan yang muda kita sayangi”.

Yang lebih menarik lagi, hasil karya prosa dan puisi tradisional kesusasteraan Melayu, telah menjadi cerminan pengamalan budaya kita bahawa sesungguhnya sejak berkurun lama dahulu bangsa kita begitu menekuni perihal berbahasa dan bersusila, yang terlihat jelas, bagai hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

Namun begitu, sejak beberapa tahun belakangan ini, wujud pelbagai isu yang melibatkan pelanggaran adab dalam berbahasa sehingga mencemarkan kewibawaan bersusila yang diperakui bersama dalam Rukun Negara. Penulisan ini mengupas perihal adab berbahasa ketika menegur yang selari dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang telah diikrarkan bersama dalam perkara kelima dalam Rukun Negara.

Pertama, apakah tujuan teguran ini dilakukan? Umum mengetahui bahawa tindakan memberikan teguran ini ialah satu tindakan murni untuk membentuk kesedaran dan merangsang akal fikiran seseorang ataupun sekumpulan manusia bagi melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik daripada sebelumnya, atau perihal yang mendorong sesuatu kebaikan.

Namun begitu, ketika bentuk teguran ini sudah hilang kewarasan berbahasanya, secara tidak langsung telah mendorong pencemaran kesopanan dan kesusilaan. Hatta membawa kepada sesuatu hasil yang negatif sehingga tidak ada satu pun daripada teguran itu yang boleh diterima dan dicernakan secara positif oleh akal fikiran sekalian manusia. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang memperakui kesopanan dan kesusilaan dalam setiap aspek termasuklah berbahasa perlulah memahami garis pemisah di antara menegur dengan mencela.

Jika dilihat dari konteks agama Islam misalnya, Allah SWT jelas memberikan peringatan kepada sekalian manusia di dunia ini, yakni ketika proses mengajak manusia berbuat kebaikan perlulah disampaikan secara berhikmah dan bijaksana dan bukan sesuatu teguran dengan kekerasan yang bersaluti penghinaan.

Seperti yang tercatat dalam firman Allah SWT, dalam surah al-Nahl, ayat 125, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahasalah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua lebih mengetahui akan orang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang mendapat hidayah petunjuk”.

Jelaslah bahawa ada batas-batas yang perlu dipatuhi sehingga tidak membawa tanggapan atau seruan yang berbentuk tidak bermoral. Kepatuhan ini secara tidak langsung membentuk jaminan kemaslahatan semua pihak dalam setiap bentuk teguran yang dilontarkan.

Sebagai contoh, kebebasan bersuara (teguran atau kritikan) yang diberikan kepada rakyat yang bernaung dalam sistem demokrasi di negara ini. Bukanlah satu kebebasan untuk memilih menjadi seorang atau sekumpulan manusia yang biadab. Hal ini dapat dilihat menerusi beberapa isu yang tercetus akibat memperkotak-katikkan kewibawaan barisan kepimpinan kerajaan atas dasar kebebasan berbahasa yang diberikan yang akhirnya terbit teguran yang tidak beretika dan melangkaui batas berbahasa dan bersusila.

Rentetan daripada perkara tersebut akhirnya disebabkan oleh keinginan bersuara yang tidak terpandu oleh adab berbahasa yang menyebabkan hak bersuara telah disalahertikan dan disalahgunakan oleh sesetengah pihak di negara ini. Hal itu sehingga membawa kepada satu bentuk teguran atau kritikan yang menghina dan menjatuhkan air muka seseorang pemimpin. Perkara ini secara tidak langsung, memberikan gambaran bahawa tahap berbahasa dan bersusila sesetengah pihak di negara ini berada dalam keadaan yang kritikal. Inilah satu daripada permasalahan yang cukup menggusarkan dekad ini.

Kegawatan berbahasa dan bersusila ini perlu diberikan perhatian dan sebaik-baiknya dapat dinoktahkan agar tidak melarat hingga kepada generasi yang akan datang. Hal ini demikian kerana ketika adab berbahasa kepada pemimpin sudah tidak dipraktikkan lagi, secara tidak langsung sudah mengingkari prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Begitu juga dengan isu yang tular sebelum ini sehingga menjadi perbualan hangat di setiap lorong media sosial yang berkaitan dengan perihal teguran manusia sesama manusia. Ketika sesuatu teguran yang pada awalnya mempunyai nilai kebaikan tetapi tidak dipandu dengan adab berbahasa, akhirnya membentuk satu tanggapan yang negatif. Oleh itu, di manakah perginya budaya kita yang selama ini menekankan adab berbahasa dan bersusila?  Di manakah hilangnya pengamalan slogan “Budi bahasa budaya kita”? Tepuk dada, tanya selera.

Keinginan untuk melontarkan teguran tidak pernah menghalalkan matlamat untuk menggunakan kekerasan apatah lagi melanggar adab dalam berbahasa. Kesopanan dan kesusilaan ini ialah janji rakyat kepada negara dan telah menjadi cerminan pengamalan budaya kita sejak zaman-berzaman. Janganlah nanti hanya disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga.

Yang kedua, kenapakah adab begitu penting dalam setiap perbuatan terutamanya ketika proses memberikan teguran? Jawapannya mudah. Hal ini demikian kerana adab yang dipraktikkan dalam berbahasa secara bersusila (berhikmah dan bijaksana) akan memberikan mesej yang lebih berkesan kepada seseorang ataupun sekumpulan manusia yang ditegur.

Oleh sebab itu, dalam konteks agama Islam terutamanya, umatnya dituntut untuk menjunjung segala bentuk teguran yang hendak disampaikan dan pada masa yang sama haruslah mementingkan kesopanan dan kesantunan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra,’ ayat 23, “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.

Bahkan jika dilihat dari konteks psikologi, iaitu bagi seseorang yang lahir dan membesar dengan didikan kasih sayang yang secukupnya, sudah tentu corak pemikirannya membentuk tingkah lakunya berlandaskan didikan yang dipenuhi dengan kasih sayang. Hal ini membawa maksud, ketika manusia ditegur dengan teguran yang berbentuk kekerasan, pada akhirnya nilai dalam teguran tersebut sudah tidak dilihat sebagai sesuatu nasihat ataupun kebaikan melainkan sebagai satu bentuk kekerasan dan penghinaan.

Asasnya cuma satu − terjadi akibat kurangnya penekanan dalam etika berbahasa dan bersusila ketika melontarkan teguran. Oleh sebab itu, banyak orang tahu memberikan teguran tetapi tidak semua tahu cara untuk memberikan teguran secara berhikmah dan bijaksana. Kesannya, wujud pelbagai salah faham dan juga perselisihan antara pihak yang menegur dengan pihak yang ditegur.

Adab ini terletak pada hierarki yang paling tinggi selepas ilmu dalam panduan hidup manusia bermoral. Seperti yang pernah disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, “Aku lebih menghargai orang beradab daripada berilmu. Kalau hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia”.

Begitu juga dengan untaian kata yang dibentuk dalam Gurindam Dua Belas (fasal 3), karya Raja Ali Haji, iaitu “Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah”. Kedua-dua kenyataan yang dilampirkan ini sudah cukup memberikan satu pembuktian bahawa adab melangkaui segala-galanya. Oleh sebab itu, hanya dengan mempraktikkan adab dalam setiap perbuatan ataupun pertuturan, barulah setiap tindakan itu terjunjung dengan hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan teguran. Hal ini selari dengan budaya yang sudah lama menjadi pengamalan bangsa kita dan ikrar yang dipatuhi dalam perkara kelima Rukun Negara.

Kesimpulannya, setiap rakyat di negara ini perlu menekankan adab berbahasa dalam setiap tindakan terutamanya ketika proses melontarkan teguran. Hal ini demikian agar setiap lontaran teguran itu terpandu dan dapat disampaikan secara berkesan kepada golongan sasaran. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Teguran dan kritikan bukanlah sesuatu bentuk kesalahan jika masih berkiblatkan kesopanan dan kesusilaan. Bahkan, teguran yang lebih baik ialah teguran yang disampaikan secara bersembunyi antara pihak yang menegur dengan pihak yang ditegur.

Janganlah hanya disebabkan mengejar populariti dan status sosial dalam kehidupan di media sosial, seseorang itu mengambil jalan singkat dan secara tidak langsung meruntuhkan imej masyarakat dan budaya di negara ini yang begitu menekuni adab berbahasa dan bersusila.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang memperakui ikrar Rukun Negara haruslah berfikir dengan bijak terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang bentuk teguran. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.