Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Beberapa perkara penting berkaitan dengan kebahasaan telah dibincangkan dan dicapai persetujuan bersama dalam satu pertemuan yang telah diadakan di Dewan Tun Perak, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur menerusi Sidang Meja Bulat Pemartabatan Bahasa Melayu pada pukul 11.30 pagi tadi.
YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, iaitu Yang di-Pertua Dewan Negara telah mempengerusikan Sidang Meja Bulat Pemartabatan Bahasa Melayu tersebut yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (Ketua Pengarah DBP), wakil GAPENA, wakil daripada 35 badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa orang pakar bahasa yang lain.
Sidang meja bulat ini diadakan untuk membincangkan pelbagai usaha untuk mengangkat martabat bahasa Melayu seperti yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beberapa usaha perlu dilakukan untuk memajukan bahasa Melayu dan melonjakkannya ke hadapan seperti bahasa Inggeris pada masa ini. Untuk merealisasikannya, kerajaan yang memimpin harus mempunyai pendirian yang positif terhadap bahasa Melayu dan tidak teragak-agak dalam urusan rasmi yang berkaitan dengan kenegaraan dan kebahasaan.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca mesti dipandang serius termasuklah dalam kalangan pemimpin, para menteri, dan juga pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Mereka perlu mulai berdamping dengan bahasa Melayu, iaitu dengan menguasai bahasa Melayu secara lisan termasuklah dalam mesyuarat dan sebagainya.
Menurut YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, ada pandangan untuk menjadikan DBP sebagai kuasa induk bagi perkembangan dan kemajuan bahasa Melayu dalam semua aspek tanpa mengira apa-apa latar belakang asalkan perundangan yang disyorkan untuk dipinda kepada pihak berkuasa diteruskan sehingga ke Jabatan Peguam Negara.
Selain itu, tambahnya lagi, DBP juga perlu diberi kuasa untuk menjadi penguat kuasa, pembimbing dan pihak yang mengawasi kemajuan bahasa Melayu. Hal ini bererti bahawa standard bahasa Melayu sebagai bahasa lisan di universiti dan di sekolah yang tidak begitu mendapat perhatian sebelum ini perlu dilonjakkan capaiannya.
Selain itu, para diplomat Malaysia juga perlu mahir dalam berbahasa Melayu dan perlu diberikan latihan. Sehubungan dengan itu, DBP harus diberi kuasa untuk melatih mereka bertutur dan mengolah bahasa Melayu dari segi praktikalnya. Dalam hal ini, DBP perlu diberi kuasa tertinggi dalam naungan kuasa yang tertinggi termasuklah dengan memohon kepada YAB Perdana Menteri agar mengesyorkan DBP kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai “payung besar” dalam aspek kebahasaan bagi mengangkat martabat bahasa Melayu di Malaysia.
Dalam usaha melaksanakan pindaan undang-undang DBP, undang-undang bahasa kebangsaan perlu diteliti supaya pengubahsuaiannya dapat dilakukan. Perkataan berhubung dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka juga perlu diletakkan di bawah “roh” bahasa Melayu dalam pindaan yang teratas sekali supaya dapat dijadikan sebagai “payung” keperluan yang paling utama.
Selain itu, urusan yang berkaitan dengan bahasa Melayu di bank dan bidang perkapalan juga mestilah jelas dilaksanakan. Yang penting, penggunaan bahasa Inggeris yang kononnya sebagai bahasa rasmi dalam bidang ini mestilah dihentikan dan bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa rasminya.
Menurut beliau, bahasa Melayu di peringkat domestik juga perlu diperkemas sebelum dibawa ke peringkat luar negara. Pembelajaran bahasa Melayu secara mendalam menerusi bidang sastera dan budaya juga perlu terus dilaksanakan di beberapa universiti ulung di luar negara termasuklah di Frankfurt, Tokyo, China dan sebagainya.
Kursi-kursi bahasa Melayu yang ada perlu diisi dengan segera supaya Malaysia dapat bersama dengan Indonesia bergerak maju ke hadapan. Jangan menjadikan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia itu sebagai satu konflik tetapi jadikannya sebagai dwibahasa yang saling melengkapi yang boleh kita kaji bersama untuk kemajuan serantau.