26 April 2022, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Negara apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Selepas lebih 60 tahun, seharusnya bahasa ini telah berada di mercu dan digunakan secara yang selayaknya. Namun begitu, situasi sebaliknya pula yang berlaku apabila bahasa Melayu masih perlu diperjuangkan.

Pada asasnya, bahasa Melayu disifatkan sebagai sudah terlaksana dengan baiknya apabila berjaya memenuhi tujuan komunikasi. Kewajipan berbahasa Melayu sepatutnya dilaksanakan dalam semua perkara, seperti urusan pekerjaan, persidangan, surat-menyurat, mesyuarat dan perundangan. Walau bagaimanapun, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara masih dilihat tidak terbela, seolah-olah menjadi bahan permainan politik.

Apabila dibangkitkan isu yang berkaitan dengan bahasa Melayu, maka berkobar-kobarlah teriakan untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Namun begitu, sayangnya, teriakan ini akhirnya perlahan-lahan dibawa oleh angin dan menjadi isu yang sudah basi. Yang sepatutnya, perjuangan bahasa Melayu ini merupakan perjuangan yang tiada bernoktah dan menerima sokongan yang tidak bermusim.

Bahasa Melayu sering dianggap enteng dan dilabel sebagai suatu bahasa yang tidak ada nilai ekonomi pada pandangan mata warganegara Malaysia. Rakyat dilihat lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris kerana kelihatan lebih profesional. Hal ini diburukkan lagi dengan dasar pendidikan kebangsaan yang tidak teguh dalam perjuangan bahasa Melayu apabila memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 yang bertahan selama 10 tahun. Dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi dikatakan sebagai rasionalisasi terhadap peralihan bahasa pengantar dalam dua subjek ini.

Hasil kajian mendapati bahawa PPSMI ini telah membunuh minat, semangat dan keghairahan pelajar untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini merugikan negara dan menganiaya pelajar. Maka itu, pada bulan Julai 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Menteri Pelajaran ketika itu telah mengumumkan bahawa dasar PPSMI ini dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012. Pengumuman ini bukan sahaja melegakan guru dan pelajar, tetapi juga ibu bapa secara khususnya.

Yang terkini, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengorak langkah untuk meletakkan kedaulatan, kemuliaan dan kedudukan bahasa Melayu di puncak global apabila mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Pelbagai langkah digarap termasuklah mencadangkan agar pegawai yang mempunyai kemahiran dalam penterjemahan membantu negara dalam urusan penterjemahan urusan rasmi kerajaan.

Di samping itu, langkah untuk mewujudkan Unit Bahasa dan Kebudayaan di setiap pejabat kedutaan negara dan menyediakan kelas bahasa Melayu kepada pegawai dan anak pegawai yang berada di luar negara pula dilihat suatu langkah yang mampu merancakkan perkembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, setiap warganegara harus memanfaatkan kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu dan menunjukkan bahawa bahasa Melayu suatu bahasa yang relevan untuk dijadikan sebagai bahasa ASEAN.

Cadangan Dat0′ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN ini bukanlah pertama kali dicadangkan. Pada tahun 2017, Datuk Seri Najib Razak telah mengusulkan cadangan yang hampir sama tetapi aspirasi tersebut tidak tertunai. Jika diamati secara mendalam, cadangan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN ini sudah bergema sejak era 1980-an lagi. Oleh sebab itu, usul yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada kali ini diharapkan dapat memenuhi kriteria bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Bagi mereka yang sangsi terhadap cadangan Perdana Menteri Malaysia ini, bahasa Melayu sememangnya layak menjadi bahasa kedua ASEAN kerana bahasa ini dituturkan oleh lebih daripada 300 juta penutur. Tambahan pula, bahasa Melayu amat kaya dengan kepelbagaian dialek yang menyebabkan bahasa ini berpotensi besar untuk berkembang menjadi bahasa ASEAN. Selain itu, bahasa Melayu juga semakin unggul apabila berada di tangga keenam dunia sebagai bahasa yang paling banyak dituturkan selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, bahasa Hindustani, bahasa Sepanyol dan bahasa Arab. Perkembangan ketamadunan yang pesat ini membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa keempat yang paling banyak dituturkan di dunia dan tidak mustahil untuk menjadi bahasa yang terbesar di Asia Tenggara pada tahun 2030.

Jika niat murni ini berjaya direalisasikan, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perantara bagi ilmu teknologi dunia. Walau bagaimanapun, sudah pastilah hal ini memerlukan kesungguhan dan kekuatan yang tiada berbelah bahagi daripada setiap warganegara Malaysia. Warganegara Malaysia tidak sepatutnya meragui keupayaan bahasa Melayu untuk bersaing pada peringkat antarabangsa kerana pernyataan ini sudah dianggap basi. Barisan kepimpinan Melayu juga perlu memikirkan sesuatu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu, terutamanya dalam aspek penamaan harta awam, seperti nama jalan, pusat komersial dan kompleks perumahan yang semakin hari semakin mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris dan adakalanya dicampurkan dengan bahasa Melayu yang akhirnya menjadi bahasa rojak.

Akhir sekali, usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 supaya Dewan Bahasa dan Pustaka  mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar penggunaan bahasa Melayu pada semua peringkat dilihat sebagai suatu tindakan yang amat baik. Tidak ketinggalan, Kementerian Pengajian Tinggi yang bakal mewajibkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu semasa menuntut di mana-mana universiti di negara ini membolehkan pelajar ini membawa bersama bahasa Melayu apabila pulang ke negara masing-masing kelak. Dengan usaha yang diiringi oleh komitmen dan kesungguhan, terutamanya daripada pihak berkuasa ini, bahasa Melayu diharap benar-benar mampu didaulatkan seperti yang diharapkan oleh semua pihak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.