23 Mei 2022, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat dilihat dengan usaha kerajaan Malaysia untuk memartabatkan penggunaan bahasa tersebut dalam bidang sains, teknologi, multimedia dan komunikasi seiring dengan permintaan dalam Revolusi Perindustrian 4.0. Menurut YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail, yang juga merupakan Pemegang Kursi Ibn Sina bagi Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia kini telah mengorak langkah untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail, Pemegang Kursi Ibn Sina bagi Perubatan, UIAM, Kampus Kuantan, Pahang.

Sebagai pembentang bagi Sidang 10, iaitu “Pengembangan Bahasa Melayu melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi”, beliau turut mencadangkan agar polisi sedia ada yang berkaitan dengan pembelajaran dalam bidang sains dan matematik disemak semula. Selain itu, masalah kekurangan pelajar dalam bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negara ini juga harus segera ditangani agar jumlah penutur yang terlibat dalam bidang tersebut tidak akan berkurangan. Hal ini dapat dilihat apabila wujud penurunan jumlah pelajar yang mengambil bidang STEM, iaitu sebanyak 36.65 peratus berbanding dengan bidang sastera yang terus meningkat, iaitu sebanyak 63.35 peratus.

Jumlah penerbitan makalah dalam bahasa Melayu juga agak rendah, termasuklah penerbitan makalah dalam Sains dan Teknologi yang menggunakan bahasa Melayu sebanyak 0.025 peratus, jauh lebih rendah sekiranya dibandingkan dengan bidang sains sosial mahupun sastera.

Sebagai Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail turut berkongsi tentang strategi yang berkaitan dengan pendekatan yang dibawa oleh ASM dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Menurut beliau, ASM telah mewujudkan laman web e-estidotmy yang menyediakan makalah dalam bidang STEM dengan menggunakan bahasa Melayu yang lebih mudah difahami. Pendekatan tersebut telah berjaya menarik minat pembaca untuk lebih mendalami bidang tersebut.

Sebagai pembentang kedua, YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud membicarakan tentang kertas kajiannya yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dalam Sains dan Teknologi”. Beliau menekankan tentang peri pentingnya peranan bahasa Melayu dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan. Oleh itu, beliau mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti membina korpus ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Melayu dengan menghidupkan semula program membina istilah, membuat kamus, menterjemah dan menulis buku asli bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.

 YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud.

Berdasarkan kertas kajian “Pengembangan Bahasa Melayu Melalui Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi” yang dibentangkan oleh YBhg. Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan ketika persidangan tersebut turut menyatakan bahawa masyarakat memerlukan pendekatan yang holistik bagi memastikan kedaulatan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara terus terpelihara. Hal ini penting agar proses pembinaan negara bangsa Malaysia dan proses perpaduan dan integrasi dapat ditingkatkan.

Oleh itu, usaha untuk mengembangkan bahasa Melayu melalui bidang sains, teknologi, multimedia dan komunikasi harus diutamakan oleh setiap pihak, terutamanya mereka yang mempunyai autoriti dalam bidang tersebut. Tegasnya, semua pihak tanpa mengira peringkat perlu mengambil berat berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia.

Persidangan pada petang ini yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir menyaksikan kehadiran empat orang pembentang, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Asma Ismail (Malaysia); YBhg. Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud (Malaysia); YBhg. Profesor Datuk Dr. Jayum Jawan (Malaysia) dan YBhg. Profesor Dr. Habib Zabaliyez (Azerbaijan), serta turut menampilkan YBhg. Profesor Madya Dr. Mohd Mizan Aslam (Universiti Malaysia Perlis) selaku moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.