23 Mei 2022, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan untuk hari kedua dengan penyampaian Ucap Utama Dua oleh Ketua Pusat Kajian Budaya Melayu, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara, Profesor Dato’ Dr. Khairil Ansari, M.Pd.

Menurut Profesor Dr. Khairil, persoalan mengenai bahasa Melayu perlu diperbincangkan secara lebih terkehadapan dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Dalam ucap utama tersebut, beliau berkata, “Walaupun hingga kini hanya empat buah negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita perlu menggunakan konsep penerimaan secara menyeluruh terhadap bahasa Melayu tanpa melihat dari sudut negara dan menafikan sebarang isu perkauman.”

“Dalam usaha memperhebat kedudukan bahasa Melayu, kita boleh mengambil inspirasi dari negara luar. Contohnya, perkembangan dalam aspek pendidikan menjadikan Jepun dan Jerman sebagai negara yang teguh dengan bahasa kebangsaan mereka. Dari sudut yang lain, pengukuhan seni dan budaya Korea Selatan yang disebarluaskan ke negara luar menjadikan orang ramai tertarik untuk mempelajari bahasa Korea. Perkara ini boleh dijadikan sebagai contoh teladan untuk kita memperkasakan bahasa Melayu di rantau ASEAN dan seterusnya diangkat pada peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Profesor Dato’ Dr. Khairil Ansari, M.Pd.

Dalam ucap utama tersebut, Profesor Dr. Khairil mencadangkan tiga strategi untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN. Strategi yang pertama ialah semua kosa kata bahasa Melayu dari segala aspek di rantau ini perlu dihimpunkan untuk dijadikan sebagai kamus besar bahasa Melayu yang akan dipakai dan menjadi sumber rujukan oleh masyarakat dari seluruh dunia. Dalam hal ini, Profesor Dr. Khairil berkata, “Bahasa Melayu masih memiliki keterbatasan dari segi kosa kata jika dibandingkan dengan bahasa Inggeris yang memperlihatkan pertumbuhan kosa kata sebanyak 8500 perkataan pada setiap tahun sehingga memiliki sebanyak 1 020 000 kosa kata hingga kini.”

Oleh itu, saya menyarankan agar kosa kata bahasa Melayu dari pelbagai negara dihimpunkan dengan mencari titik persamaan daripada perbezaan yang ada, seperti melalui usaha dan peranan yang digerakkan oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Mengenai strategi yang kedua, Profesor Dr. Khairil berkata, “Dunia berada pada era digital dengan pelbagai variasi digital yang murni diserapkan dalam kehidupan manusia. Oleh hal yang demikian, kita perlu melihat keperluan manusia khususnya berkenaan dengan bahasa Melayu dan membanjiri mereka dengan maklumat dan informasi dalam bahasa Melayu, agar bahasa ini terus diikuti dan sebati dalam kehidupan mereka.”

Untuk strategi yang ketiga, kita perlu kembali mencapai komitmen bersama dalam kalangan negara ASEAN, tanpa melihat kedudukan dan latar belakang mana-mana negara. Usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu ini merupakan usaha yang besar. Oleh itu, kita memerlukan semangat, perhatian dan pandangan daripada semua negara. Kita mahu sesuatu yang menghimpunkan semua negara ini, iaitu melalui bahasa Melayu.

Dari Sumatera pergi ke Kelantan,

    Membawa bejana bekalan minuman;

Mari bersama kita jayakan,

    Menjadikan bahasa Melayu bahasa ASEAN.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!