Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Bersempena dengan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini menganjurkan Pertandingan Sahibba yang melibatkan penyertaan kakitangan awam KPT dan agensi di bawahnya.
Bertempat di Pusat Sumber KPT, pertandingan tersebut berjaya menarik sebanyak 16 orang peserta yang berentap merebut hadiah utama berupa wang tunai dan hadiah iringan berupa majalah terbitan DBP.
Setelah bersaing dalam tiga pusingan, dengan mengumpulkan markah sebanyak 242 (pada pusingan akhir), Nik Zarifahana Mohd Fakri, Pembantu Pustakawan Bahagian Khidmat Pengurusan KPT, berjaya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Sahibba DBK KPT-DBP 2022.
Sementara itu, naib johan disandang oleh Nor Hafizah Abdul Rahman, dari Bahagian Education Malaysia (BEM) Jabatan Pengajian Tinggi yang berjaya mengumpulkan 236 markah. Nur Khairunnisa Abu Hasan, dari Bahagian Akaun, pula berjaya menyandang tempat ketiga dengan markah terkumpul sebanyak 230.
Antara tujuan utama pengajuran Pertandingan Sahibba DBK KPT-DBP termasuklah memperbanyak kosa kata dan mempersegar kecintaan serta kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan warga KPT.
DBK merupakan kesinambungan pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) yang diperkenalkan pada tahun 1999 bagi menyahut saranan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Maka itu, selaras dengan hasrat menjadikan kegiatan DBK sebagai kegiatan yang mendapat penyertaan yang lebih meluas dan berkesan, DBK dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. Semenjak itu, KPT merupakan antara jabatan kerajaan yang aktif melaksanakan kegiatan kebahasaan dan sentiasa terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program DBK.
Bersempena dengan DBK 2022, KPT-DBP turut menganjurkan Sayembara Pidato, Sayembara Nyanyian Lagu Rakyat dan Sayembara Poster Kajian yang akan berlangsung pada Julai 2022.