5 Ogos 2022, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 berjaya menarik kehadiran sebanyak 1.25 juta orang pengunjung. Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan ini setelah Keluarga Malaysia melalui dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan tanpa meraikan pesta buku secara bersemuka. Keluarga Malaysia semakin menyedari bahawa “Bangsa yang membaca ialah bangsa yang hebat” dan “Bangsa yang membaca, bangsa yang melawan”. Melawan dalam erti katanya petah dalam berilmu dan tidak mudah diperkutak-katikkan serta tidak mudah tertindas kerana kedangkalan ilmu generasinya.

Untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, aktiviti penterjemahan buku bahasa asing ke dalam bahasa Melayu dilihat sebagai satu inisiatif terbaik yang perlu dilakukan untuk pembangunan minda bangsa dan negara. Tidak dinafikan, usaha menterjemahkan buku bahasa asing merupakan tugas yang sangat mencabar dan rumit kerana bukan sekadar menterjemahkan setiap perkataan tetapi perlu dilakukan secara menyeluruh dengan menyemak struktur dan memastikan penggunaan konteks ayat betul, tepat dan sesuai mengikut bahasa yang diterjemahkan.

Buku dalam bahasa asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu merupakan satu kaedah yang paling berkesan dalam proses pemindahan ilmu yang membolehkan masyarakat dapat mengikuti perkembangan ilmu sama ada yang terdahulu mahupun yang terkini. Usaha penterjemahan ini sangat berbaloi kerana bukan sahaja dapat menyebarluaskan ilmu, malahan dapat merangsang pengetahuan masyarakat tentang bidang penting seperti sains, teknologi dan multimedia.

Melalui terjemahan juga, pembaca akan dapat menikmati karya-karya terbaik dunia. Buku-buku yang diterjemahkan bukan sahaja daripada  bahasa Inggeris, bahkan bahasa lain di dunia yang relevan dengan keperluan Keluarga Malaysia.

Negara Jepun dan Jerman adalah antara negara yang boleh dicontohi dalam kegiatan penterjemahan buku bahasa asing. Negara yang pernah menghadapi kehancuran kota ketika Perang Dunia Kedua ini sangat aktif menterjemahkan buku-buku penting dari negara lain ke dalam bahasa ibunda masing-masing sehingga berupaya meletakkan masyarakatnya dalam kelompok termaju dan mempunyai ilmu tentang inovasi teknologi dan automotif terbaik dunia.

Negara luar telah menjadikan negara ini sebagai sumber rujukan ilmu, malah menterjemahkan pula buku-buku dari negara tersebut ke dalam bahasa masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu yang diperoleh mampu menjadikan sesebuah negara mengeluarkan produk hasil daripada pembacaan terjemahan buku daripada bahasa negara lain.

Kesinambungan daripada penterjemahan buku bahasa asing ke dalam bahasa Melayu itu akan dapat membantu komunikasi ilmu dengan bangsa lain. Jurang kemajuan atau kebaharuan pengetahuan antara negara di dunia dalam pelbagai bidang dapat dirapatkan. Kecintaan terhadap ilmu menjadi semakin luas dan membantu masyarakat memahami sesuatu bidang.

Misalnya, bidang perindustrian dan perubatan banyak menggunakan frasa dalam bahasa asing. Oleh itu, penterjemahan ke dalam bahasa Melayu akan dapat memberikan kefahaman yang mudah dan jelas kepada individu yang baru mula menceburi bidang yang berkaitan.

Penterjemahan buku bukan sahaja berfokuskan disiplin ilmiah bahkan buku umum atau buku ilmu am. Kepelbagaian bahan bacaan terjemahan secara tidak langsung akan memberikan banyak pilihan kepada pembaca untuk memilih buku yang digemari.

Antara karya yang telah diterjemahkan ialah Sherlock Holmes, karya Sir Arthur Conan. Karya yang terkenal di seluruh dunia ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu standard dan diterbitkan oleh PTS. Sementara itu, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) juga telah menterjemahkan Animal Farm, karya George Orwell ke dalam bahasa Melayu dan menerbitkannya dengan tajuk Politik Kandang.

Pembelian buku terjemahan yang terdapat di pasaran dapat meningkatkan capaian pembaca serta merangsang minda masyarakat untuk lebih memahami dan mengetahui tentang masyarakat luar negara. Ilmu am sebegini sangat penting untuk mendidik masyarakat menjadi lebih peka dan menghormati adat dan budaya negara lain jika berada di luar negara. “Katak di bawah tempurung” dalam konteks pengembangan ilmu semakin lama dapat dihakis dengan informasi berguna daripada telahan hasil buku terjemahan.

Kebanggaan terhadap pemilikan koleksi penterjemahan bahasa asing ke dalam bahasa Melayu bukanlah menjadi tujuan utama tetapi fokus kegiatan ini adalah untuk melahirkan generasi yang cakna ilmu di samping kesungguhan dalam memperkasakan bahasa Melayu. Dalam hal ini, komitmen daripada penterjemah sangat dituntut.

Memang benar, kerja penterjemah bukanlah suatu tugas yang mudah kerana memerlukan ketelitian semasa melaksanakan tugasan tersebut. Penguasaan terhadap bahan sumber dan bahasa sasaran menjadi keutamaan selain tempoh masa yang lama untuk menyiapkan sesuatu projek buku terjemahan.

Perkampungan penterjemah seluruh negara dapat dilihat sebagai suatu kuasa pemangkin kepada usaha penerbitan sumber ilmu yang pelbagai. Penterjemah profesionalisme akan sentiasa bersedia merujuk bahasa dan pakar bidang lain bagi menghasilkan terjemahan berkualiti yang akhirnya akan memberikan kepuasan dan penghayatan ilmu kepada pembaca. Pengorbanan yang memerlukan kesabaran, kecekalan dan kesungguhan ini dilakukan demi kepentingan bahasa, bangsa dan negara.

Pihak yang berautoriti perlu membuka mata untuk melihat kegigihan para penterjemah dengan menyediakan insentif terbaik dari aspek bayaran yang berbaloi dengan kerja yang dilakukan selain menyediakan dana khas bagi memperkasakan bidang ini sejajar dengan agenda memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

ITBM perlu terus disokong kewujudannya dengan menyuntik dana penterjemahan buku untuk membantu melancarkan urusan pentadbiran serta menjadikan badan ini sebagai hab penterjemahan buku asing ke dalam bahasa Melayu.

Satu perkara yang dapat dilihat sebagai kelangsungan keperluan bidang penterjemahan ialah penawaran peluang kerjaya kepada Keluarga Malaysia. Para graduan yang memiliki sijil ataupun mempunyai kemahiran bahasa asing di universiti mempunyai kelebihan untuk menceburi kerjaya ini.

Penterjemah amatur juga dapat dinaik taraf statusnya ke tahap profesional dengan menyediakan latihan atau kursus terjemahan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan diambil bekerja di badan penerbitan kerajaan ataupun swasta. Hal ini juga akan dapat meyakinkan masyarakat bahawa bidang bahasa sememangnya mendapat tempat di pasaran kerja. Senario positif ini turut menambahkan kuantiti penerbitan buku terjemahan ke dalam bahasa Melayu.

Tidak salah untuk menimbulkan keghairahan terhadap fenomena ini kerana hal ini merupakan suatu bukti bahawa sarjana, ilmuwan dan cendekiawan mahupun pihak penerbitan negara sememangnya serius dalam melahirkan generasi yang mempunyai kualiti insan dengan kecerdasan otak yang tinggi, kecerdasan emosi yang stabil dan kecerdasan spiritual yang baik melalui aktiviti pembacaan buku terjemahan ke dalam bahasa Melayu.

Aktiviti terjemahan ke dalam bahasa ibunda menyebabkan pembaca tempatan dapat mengikuti kandungan yang disampaikan dan menerapkannya dalam dunia pekerjaan ataupun kehidupan seharian. Industri penterjemahan buku perlu terus diperhatikan ibarat menatang minyak yang penuh selain mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang berwibawa dalam pelbagai bidang pengetahuan.

 

*******************************************************************************

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!