Oleh Suria Janib
10 Ogos 2022, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Buku Mencanai Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditulis oleh Mohd. Januri Aiyub membantu pembaca memahami dan mempertajam bahasa Melayu supaya penggunaan bahasa lebih gramatis dan betul. Takrifan “mencanai bahasa” secara tersiratnya adalah untuk membentuk, membina dan meningkatkan sesuatu dari segi minda dan kepakaran.

Buku ini merangkumi perbincangan tentang beberapa konsep tatabahasa dan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat. Penggunaan bahasa yang betul diharapkan dapat menimbulkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, program Bicara Karyawan yang disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada petang ini membicarakan buku Mencanai Bahasa secara lebih terperinci. Buku ini terbahagi kepada empat bahagian, iaitu bab pertama berkaitan dengan beberapa konsep dalam bahasa, bab kedua tentang tatabahasa, bab ketiga tentang ejaan dan bab keempat berkaitan dengan bahasa dan masyarakat. Pembahagian bab ini ada kaitan dengan tajuk buku ini, iaitu mempertajam minda masyarakat tentang bahasa.

Januri Aiyub ketika mengulas buku terbaharunya, Mencanai Bahasa.

“Penggunaan bahasa seharusnya tidak bergantung pada hafalan rumus bahasa semata-mata, sebaliknya pengguna perlu memahami konsep bahasa Melayu dan memahami sistem ejaannya yang tersendiri. Setelah memahami konsep bahasa, tatabahasa dan perihal sistem ejaan ini, bab seterusnya merungkaikan penggunaan bahasa dalam masyarakat. Dari sudut sosiolinguistik, penggunaan bahasa dilihat dalam pantun, bahasa dalam kamus, bahasa dalam dialek dan bahasa dalam budaya Melayu,” demikian menurut Januri Aiyub.

Selepas memahami semua bab dalam buku ini, diharapkan bahasa itu dapat dicanai oleh pengguna bahasa khususnya pembaca buku ini di samping dapat mempertajam bahasa dari semasa ke semasa.

Yang turut dibincangkan adalah tentang pembentukan kata “akronim” dan “huruf ringkas” yang termuat dalam Bab 1. Dari segi konsep, akronim merupakan kependekan atau penyingkatan bahagian daripada serangkaian perkataan sama ada huruf suku kata atau ataupun bahagian perkataan yang digabungkan atau dicantumkan untuk membentuk perkataan yang dapat dilafazkan secara utuh.

Bagi membuktikan perkataan tersebut utuh, misalnya serangkai perkataan: Ahli Dewan Undangan Negeri akhirnya menjadi perkataan yang utuh, iaitu ADUN, Universiti Pendidikan Sultan Idris disebut sebagai UPSI dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia disebut sebagai PERKIM.

Begitu juga dengan huruf ringkas yang merupakan kependekan perkataan yang diambil dari awal perkataan yang disebut dengan huruf dan bukannya perkataan yang utuh. Misalnya serangkaian perkataan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur disebut sebagai DBKL, Dewan Bahasa dan Pustaka disebut sebagai DBP serta Kuala Lumpur disebut KL, manakala SPRM, SPM, UKM, BSN, YB dan PM juga disebut dengan huruf.

Akronim juga boleh mengambil serangkaian perkataan daripada bahasa Inggeris dan diringkaskan seperti UMNO (United Malays National Organisation). Begitu juga huruf ringkas seperti KLIA (Kuala Lumpur International Airport) disebut dengan huruf dan bukan dibunyikan perkataannya seperti NKRA (National Key Result Areas), dan KPI (Key Performance Indicator).

Buku Mencanai Bahasa ini sangat padat dengan maklumat tentang penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul. Walau bagaimanapun, agak menyedihkan kerana penggunaan bahasa Inggeris masih digunakan dalam program rasmi dan di hadapan khalayak ramai semasa ditemu bual oleh wartawan. Segelintir rakyat Malaysia juga masih tidak tahu menggunakan bahasa Melayu walaupun negara sudah mencapai 66 tahun kemerdekaan.

Golongan muda sepatutnya berasa bangga menggunakan bahasa Melayu sebagai milik bahasa bersama. Bahasa ini bukan milik orang Melayu semata-mata, sebaliknya perlu dihayati dan difahami  oleh warga Malaysia bahawa bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!