15 Ogos 2022, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Memang perkara yang menyedihkan apabila hampir 65 tahun negara mencapai kemerdekaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih terancam. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana taraf bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang berlaku itu seolah-olah bahasa Melayu bukan bahasa kebangsaan negara ini dan hal ini juga bertentangan dengan saranan dan harapan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang lalu.

Tegas Perdana Menteri, rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu, dan membuktikan bahawa bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara. Sambil menegaskan banyak negara berjaya mencapai status maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri, Perdana Menteri turut meminta seluruh Keluarga Malaysia, terutamanya penjawat awam memberikan komitmen dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Semua sektor, tambah beliau, perlu menggunakan bahasa Melayu dengan sepenuhnya kerana yang merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa awam. Beliau menegaskan bahawa peluasan penggunaan bahasa Melayu hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan syarikat swasta. Jadikanlah amalan seperti peribahasa “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

Arahan juga telah dikeluarkan supaya semua urusan membabitkan luar negara, termasuklah surat-menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu. Jelas Perdana Menteri, setiap surat yang beliau sendiri hantar kepada pemimpin dunia menggunakan bahasa Melayu, dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran.

Beliau juga sudah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan bahasa Melayu, dan rundingan yang menggunakan bahasa berkenaan tiada kekurangan apa-apa pun. Bahasa Melayu juga digunakan semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN−Amerika Syarikat, iaitu ketika bersama-sama Presiden Joe Biden. Ternyata mesej beliau diterima oleh Presiden Amerika Syarikat itu walaupun dalam bahasa Melayu.

Jelas Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia telah menjadi dasar kerajaan dan sebagai satu daripada keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga telah mengadakan beberapa buah bengkel untuk memastikan urusan pindaan Akta DBP 1959 dapat dilaksanakan secepat mungkin, yang akan memberikan lebih kuasa kepada badan itu menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu.

Tambah beliau, tiada sebab bagi rakyat Malaysia untuk tidak yakin menggunakan bahasa Melayu kerana rakyat negara Perancis, Jerman dan Jepun, menggunakan bahasa ibunda mereka dan hal ini membuktikan bahawa mereka boleh maju berbanding dengan negara lain. Rakyat Malaysia tidak perlu berasa malu menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu tidak boleh dimartabatkan jika diri sendiri tidak berasa yakin.

Walau bagaimanapun, penulis berpendapat bahawa bahasa Melayu masih tidak berubah ke arah positif, sebaliknya lebih parah sebelum dan selepas saranan Perdana Menteri. Penulis mendapati bahawa di mana-mana program, penganjur acara kelihatan semakin galak menggunakan bahasa Inggeris untuk nama program mereka meskipun hanya bertaraf kebangsaan. Hal ini memang bertentangan dengan “arahan” dan saranan Perdana Menteri supaya bahasa Melayu dimartabatkan ke peringkat antarabangsa tetapi dalam negara sendiri penggunaannya semakin merudum.

Mengapakah mereka berbuat sedemikian dan apakah tindakan yang wajar dilakukan terhadap mereka jika boleh disebut sebagai hukuman? Penulis sempat meminta pendapat beberapa orang penulis yang cakna dengan bahasa Melayu mengenai soal ini.

Mustaffa HS menyatakan kehairanan beliau kerana pelanggaran bahasa Melayu semakin galak atau tenat seolah-olah tidak mengendahkan saranan Perdana Menteri yang bersungguh-sungguh mahu mengangkat bahasa kebangsaan negara ini.

Mengenai proses pindaan Akta DBP 1959 untuk memberikan lebih kuasa kepada DBP yang dijangka selesai dalam masa terdekat ini, Mustaffa yang berasal dari Batu Pahat meminta rakyat Malaysia agar bersabar dan menunggu hal ini menjadi kenyataan dan DBP dapat berperanan dengan lebih berkesan.

Mustaffa HS atau nama penuhnya, Mustaffa Haji Siraj.

“Saya fikir pemilik syarikat berasa bahawa mereka tidak perlu meminta nasihat dan panduan daripada DBP,” kata penulis veteran ini mengenai semakan dan rujukan sebarang iklan daripada DBP tetapi tidak semua pemilik syarikat yang melakukannya.

Menurut Amir Hamzah Mohd. Wazir dari Ipoh, Perak, pihak yang mempunyai kuasa wajar membuat teguran dan perlu cakna dengan perkara sebegini.

“Begitu pun, sama-samalah kita menantikan bagaimana dan sejauh mana akta ini berfungsi nanti setelah diwartakan,” kata Amir Hamzah mengenai pindaan Akta DBP 1957 untuk memberikan kuasa yang lebih kepada DBP. Penulis kreatif ini berpendapat, mungkin tiada ketegasan dan kesungguhan dalam menggalakkan pemilik syarikat meminta nasihat daripada DBP, lantaran tidak semua mereka berbuat sedemikian.

Alias Haji Muda yang juga pakar motivasi pula berpendapat, rasa rendah diri dan malu berbahasa Melayu kerana dilihat bermutu rendah, serta rasa hebat apabila berbahasa Inggeris menjadi antara punca krisis ini.

“Anggota masyarakat juga malu atau malas dan takut menegur. Mereka juga berasa hal ini bukan perkara penting, lantas tidak mempedulikannya,” kata beliau yang juga mantan pegawai di Majlis Amanah Rakyat.

Alias Haji Muda.

Mengenai semakan dan rujukan kepada DBP, Alias berpendapat bahawa mereka yang tidak mendapatkan khidmat tersebut barangkali kerana DBP hanya bertumpu tidak lebih dari segi penggunaan ejaan, bahasa yang tepat dalam iklan, nama syarikat, jenama produk terutama yang di papan tanda sahaja, pelabelan dan pembungkusan.

“DBP sebagai tempat rujukan untuk penterjemahan perkataan dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu atau sebaliknya, serta penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda iklan,” tambah Alias.

Sementara itu, wartawan sebuah portal, Arif Atan meminta agar kerajaan mempercepat pemberian kuasa yang lebih kepada DBP, dan tidak perlu menunggu lagi.

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!