Oleh Firdaus Mul
15 Ogos 2022, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa mempunyai pertalian yang cukup kuat dengan manusia. Sebelum manusia diciptakan, bahasa lebih dahulu diwujudkan agar manusia boleh memahami dan menekuni setiap perintah dan ajaran yang telah ditetapkan Tuhan. Nikmat terbesar pemberian Tuhan kepada sesebuah bangsa bukanlah kekayaan ataupun kemasyhuran tetapi pemberian yang paling agung ialah bahasa. Bahasa ini pada akhirnya yang akan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan manusia dengan manusia lainnya, sekali gus memberikan makna dalam setiap perkara.

Bahasa yang dikurniakan kepada manusia akan menjadi cerminan identiti dan alat penyatuan sesuatu bangsa di dunia. Oleh sebab itu, sebermula sebesar-besar tamadun sehinggalah kepada sekecil-kecil kaum di dunia, bahasa merupakan teras perpaduan dan cerminan identiti bangsa. Melalui bahasa jugalah termeterainya kedamaian melalui jalan rundingan dan perjanjian. Tanpa bahasa, manusia tidak mungkin berupaya mencapai persefahaman.

Apabila berbicara tentang bahasa, selain menjadi alat penyatuan kepada manusia, bahasa juga mempunyai keunikan dan kepelbagaian yang boleh diterokai dan dihayati. Misalnya, keunikan dan kepelbagaian yang dimiliki oleh bahasa Melayu, bahasa yang pada suatu ketika pernah menjadi lingua franca.

Bahasa Melayu terbina daripada suatu proses yang cukup mantap jika ditelusuri secara ringkas dalam lipatan sejarah hingga kini. Pelbagai pemantapan dan pengekodan bahasa dilakukan bagi menjamin keluhurannya sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Secara asasnya, bahasa Melayu terbina daripada sebuah sistem yang dikenali sebagai tatabahasa dan dalam tatabahasa itu pula dipecahkan kepada beberapa bahagian untuk memudahkan penutur asli dan penutur baharu memahami setiap satu komponen yang terdapat di dalam bahasa Melayu. Oleh sebab itu, wujudnya Tatabahasa Dewan sebagai pedoman yang berkaitan dengan sistem bahasa Melayu. Tanpa satu rujukan yang khusus, sudah tentu akan menimbulkan kesukaran dan kekacauan terhadap pengaplikasiannya dalam kehidupan seharian, baik secara formal ataupun sebaliknya.

Seperti yang pernah diungkapkan dalam Tatabahasa Dewan edisi pertama oleh Mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Hassan Haji Ahmad bahawa “Bahasa Melayu pada hari ini telah berkembang begitu pesat dan mendadak sehingga banyak penutur dan pengguna bahasa Melayu menghadapi kesulitan untuk mengikuti perkembangan tersebut. Keadaan ini menjadi bertambah rumit apabila mereka sukar memperoleh sebuah buku tatabahasa sebagai pegangan yang dapat dijadikan sebagai pedoman umum. Kini sebuah buku tatabahasa yang dikarang khusus dengan tujuan untuk memenuhi permintaan para pengguna bahasa Melayu telah siap”.

Perbincangan seterusnya bertumpu pada penilaian lirik lagu melalui lensa bahasa Melayu yang mempunyai kepelbagaian dan keunikan. Baru-baru ini, isu penggunaan diksi dalam lirik lagu menjadi satu perbualan hangat di media sosial. Lantaran itu, penulis tampil untuk memberikan pandangan dan penghujahan bagi memperjelas kefahaman kepada masyarakat di negara ini berkaitan dengan isu tersebut.

Berdasarkan hasil resensi pembacaan kajian ilmiah yang dilakukan, terdapat keunikan dan kepelbagaian yang terkandung dalam sesebuah penulisan lirik lagu. Misalnya, “Estetika dalam Lirik Lagu-lagu Nyanyian P. Ramlee” (1996) oleh Arba’ie Sujud, “Keindahan Bahasa dalam Lirik Lagu P. Ramlee” (2014) oleh Nur Amirah Che Soh dan Che Ibhrahim Salleh, “Laras Bahasa dalam Lirik Lagu ‘Hakim yang Bijaksana’” (2015) oleh Siti Noor Riha Sulong dan Normaliza Abd Rahim, “Pemikiran dalam Lirik Lagu: Satu Analisis Makna” (2017) oleh Masitah Mat Daud dan Zulkifley Hamid, “Pemikiran Luhur dalam Lirik Lagu Nanyian M. Nasir” (2017) oleh Norhafidah Ibrahim, Melor Fauzita Md. Yusoff dan Kazime Zakaria dan “Kritikan Sosial dalam Lirik Lagu Dikir Barat” (2018) oleh Norhafidah Ibrahim, Norzaliza Ghazali dan Norasyikin Ibrahim.

Bahkan dalam kajian “Pengimajian Lirik Lagu Pop Indonesia: Kajian Stilistika” (2020) oleh Andi Nurindah Sari dan “Kiasan dalam Lirik Lagu Nyanyian Dato’ Seri Siti Nurhaliza: Analisis Semantik Inkuisitif (2021) oleh Aliaa Wan Mohd Muzanii dan Nur Jamilah Rosly turut menatijahkan satu perkara yang sama bahawa sesungguhnya lirik lagu adalah satu binaan yang terdiri daripada sejumlah kata-kata terpilih sehingga membentuk makna untuk menyampaikan hiburan, pemikiran, pesanan dan keindahan. Hal ini juga boleh disinonimkan bahawa penulisan lirik lagu yang berbentuk seperti penulisan puisi, yakni sebuah penulisan yang berdiri teguh dengan laras bahasa sastera dan diberikan kebebasan.

Dari perspektif disiplin ilmu stilistik, pelanggaran atau penyimpangan tatabahasa yang berlaku dalam hasil penulisan karya sastera, terutamanya puisi disebut sebagai deviasi, yakni suatu bentuk penyimpangan yang melangkaui ketetapan tatabahasa. Pada akhirnya, penyimpangan ini menjadikan sesuatu karya sastera itu berbeza daripada penulisan karangan biasa sehingga dapat mencapai tingkat estetika kepada pendengar atau pembacanya.

Hal ini bermaksud, penting untuk diketahui bahawa penulisan lirik lagu bukanlah seperti penulisan karangan, esei, wacana atau yang seangkatan dengannya atau sebuah penulisan yang mementingkan sistem tatabahasa dan kesempurnaan penyampaian idea (kohesi dan koheren) sehingga menimbulkan kegramatisan. Oleh yang demikian, menulis lirik lagu sama hukumnya dengan menulis sebuah puisi sastera. Penulis bebas berkarya bagi meraikan keunikan dan kepelbagaian bahasa Melayu, dan sekalipun melanggar hukum tatabahasa, bukanlah satu kesalahan mandatori seperti yang termaktub dalam bentuk penulisan formal.

Kebebasan berkarya yang diberikan kepada penulis pula mempunyai garis keterbatasan sehingga tidak pula melanggar prinsip kesopanan dan kesusilaan. Hal ini turut membuktikan bahawa sesungguhnya kekreatifan berkarya dalam bahasa Melayu bukan sahaja meraikan keunikan dan kepelbagaian berbahasa, malah turut menitikberatkan kesantunan berbahasa.

Apa-apa pun, diksi yang menjadi keutamaan seseorang penulis pastinya mempunyai makna tersurat dan tersirat yang mahu disampaikan di dalam karyanya, baik dalam penulisan puisi mahupun penulisan lirik. Terpulanglah  kepada pendengar atau pembaca untuk mentafsirkannya secara harfiah atau mencari makna seutuhnya dengan akal dan pengalaman.

Oleh itu, hal yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam landskap penelitian penulisan lirik lagu ialah isu yang berkaitan dengan penerapan bahasa rojak (sekerat ular sekerat belut) dan penerapan bahasa tidak sopan. Penerapan unsur ini melibatkan isu jati diri dan moraliti, yakni sesuatu yang lebih utama berbanding dengan pertikaian makna yang melanggar hukum tatabahasa.

Sudah terang lagi bersuluh, umum mengetahui bahawa deviasi dalam sesuatu penulisan karya dibolehkan dan tidak menjadi kesalahan. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukanlah sebuah perjuangan yang selektif tetapi sebuah perjuangan yang menyeluruh. Maka itu, hal seumpamanya perlu tertumpu secara holistik dan pada sesuatu yang lebih kritikal.

Selain itu, penerapan bahasa rojak dan bahasa tidak senonoh dalam lirik lagu bukanlah sesuatu yang baharu kerana sudah lama tumbuh mekar dan menjalar sehingga kelihatan seperti suatu kebiasaan di sisi sebilangan penulis lirik. Maka itu, di sinilah juga timbulnya kebebasan berkarya yang disalahertikan sehingga melangkaui batas kesopanan dan kesusilaan serta pegangan bahasa jiwa bangsa. Jika hal tersebut tidak dibendung pastinya akan terus meracuni pemikiran generasi pada hari ini dan pada masa akan datang.

Oleh sebab itu, penulis ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar satu klausa undang-undang khusus, yakni dalam bidang kuasa diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Penggubalan Akta DBP 1959 untuk menghukum pesalah yang sewenang-wenangnya menggugat kesantunan bahasa Melayu di dalam penghasilan karya seni, yakni penerapan bahasa rojak dan bahasa yang tidak senonoh atau sesuatu yang seangkatan dengannya.

Hingga kini, ketika tidak ada satu garis panduan yang lengkap dan khusus dalam penghasilan lirik lagu terutamanya, kesannya begitu ketara yang menyebabkan berlakunya pelbagai kerancuan bahasa. Secara tidak langsung, hal itu memberikan satu gambaran yang tidak sihat terhadap jati diri dan moraliti masyarakat. Seolah-olah memberikan mesej kepada masyarakat luar bahawa sebilangan masyarakat di negara ini kecanduan bahasa asing sehingga tidak boleh berpisah dalam setiap perkara. Pastinya akan ada sahaja “Sekerat ular sekerat belut” yang membaluti tindak-tanduknya. Inilah satu tamparan dan cabaran buat seluruh rakyat Malaysia.

Pada saat kita mahu menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa dunia, masih ada lagi di segenap ruang yang mencandui bahasa penjajah sehingga hilang santun dan susilanya. Kritikan demi kritikan dilontarkan terhadap penulis lirik yang acap kali melakukan perkara ini, namun sayangnya masih tidak berubah ibarat “Masuk ke telinga kanan keluar ke telinga kiri”. Longgar sendat, lapang bertukul jadinya. Bertitik tolak daripada hal tersebut, satu keperluan dalam bidang kuasa perlu diberikan kepada DBP untuk menangani permasalahan tersebut.

Secara konklusinya, bahasa Melayu ialah satu daripada bahasa yang sungguh istimewa di seantero dunia − mempunyai keunikan dan kepelbagaian dalam pengaplikasiannya, baik dalam situasi formaliti ataupun penghasilan karya seni. Kebebasan dalam meraikan keunikan dan kepelbagaian bahasa Melayu bukanlah kebebasan untuk menerapkan unsur yang boleh menjejaskan jati diri dan moraliti bangsa Malaysia.

Semoga isu penggunaan bahasa rojak dan bahasa tidak sopan ini dapat “disembuhkan” segera agar tidak terus menjadi barah lagi untuk generasi pada hari ini dan seterusnya. Kesemuanya ini memerlukan kerjasama daripada setiap pihak dan tanpa kerjasama yang utuh seolah-olah usaha yang akan bertepuk sebelah tangan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!