Oleh E Pian Pro Poul
15 Ogos 2022, 22:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sik Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Majlis Daerah Sik (MDS) menganjurkan program Bimbingan Penulisan Surat Rasmi dan Minit Mesyuarat untuk kakitangan MDS dan Pejabat Daerah dan Tanah Sik (PDTS) sebagai satu usaha memantapkan penulisan kedua-dua genre dokumen rasmi tersebut. Program ini bertujuan mempersegar penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kakitangan MDS dan PDTS, yang secara langsung terlibat dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, yakni kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.

Selain itu, pelaksanaan program Pemantauan Bahasa Melayu di sekitar kawasan pentadbiran PBT ini juga bertujuan membantu pihak PBT memperkemas penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda premis perniagaan, taman perumahan, penamaan jalan dan bangunan serta papan iklan luar agar bersesuaian dengan daerah kelahiran sasterawan hebat dan guru yang dihormati, Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad.

Program bimbingan dan pemantauan di MDS ini menampilkan Munsyi Dewan (Bahasa), Encik Harum Awang, Guru Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah sebagai pembimbing dan pemantau. Kehadiran Encik Mohamad Shahmi Idris, Penolong Pegawai Daerah Sik (Pembangunan Masyarakat) dan Puan Siti Normaizura Mokhtar, Penyelaras Kursus Kakitangan MDS sebagai peserta memperlihatkan kesungguhan pihak pengurusan MDS dan PDTS dalam memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan negara ini agar dapat digunakan dengan baik dan betul dalam penulisan dokumen rasmi PBT.

Encik Harum Awang sebagai pembimbing dan pemantau.
Antara peserta yang menghadiri program Bimbingan Penulisan Surat Rasmi dan Minit Mesyuarat.
Dari kiri: Encik Mohamad Fauzi (MDS), Encik E Pian Pro Poul  (DBPWU) dan Encik Harum Awang (Munsyi Dewan – Bahasa)

Encik Harum menegaskan bahawa dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam dokumen rasmi dan pada papan tanda oleh PBT, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP yang merupakan pusat rujukan dan kamus secara dalam talian yang berada di hujung jari sahaja perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau percaya, sekiranya semua PBT bersungguh-sungguh dalam perkara ini, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dimartabatkan dan digunakan secara meluas, sementelah kuasa penguatkuasaan berada di bawah bidang kuasa PBT.

Program Bimbingan Penulisan Surat Rasmi dan Minit Mesyuarat ini diadakan selama sehari di Dewan Anggerik, Hotel Sik Inn, Sik, Kedah, dan disusuli dengan program Pemantauan Bahasa Melayu di sekitar daerah Sik pada sebelah petang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.