Oleh Periasamy Muthan
31 Ogos 2022, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

31 Ogos  2022 menandakan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-65. Pada setiap tahun, sambutan bagi meraikan hari bersejarah negara diisi dengan pelbagai acara. Persoalannya, apakah sudah mencukupi menyambut Hari Kebangsaan pada setiap tahun dengan hanya memasang Jalur Gemilang pada bangunan kerajaan, pejabat dan kilang dan rumah halaman?

Apakah sudah mencukupi dengan menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang bersempena dengan Hari Kebangsaan semata-mata? Adakah rakyat sebenarnya sudah memahami, menghayati dan menerap nilai-nilai murni yang terselit dalam tema-tema hari kebangsaan? Apakah pengajaran yang diperoleh daripada menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun?

Tema pada tahun ini ialah “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Tema ini amat sesuai dan relevan bagi tahun 2022 kerana ketika ini negara menghadapi pelbagai masalah. Antaranya termasuklah masalah perhubungan antara kaum, malah sesama kaum disebabkan oleh perbezaan ideologi politik.

Dalam menghayati makna kemerdekaan, amat wajar bagi rakyat terutamanya golongan pascamerdeka menyingkap dan merenung kembali beberapa peristiwa yang harus terpahat dalam ingatan setiap warga Malaysia. Liku-liku perjalanan yang bertempuh dengan pelbagai peristiwa penting dalam mencapai kemerdekaan jelas mempamerkan betapa pentingnya semangat kerjasama, tolak ansur  dan  perpaduan  antara kaum.

Antara peristiwa penting yang harus diingati oleh rakyat Malaysia termasuklah perjuangan orang Melayu untuk mempertahankan hak keistimewaan mereka selaku bangsa pribumi Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu untuk bertindak apabila hak istimewa mereka diancam. Perpaduan yang jitu dalam kalangan orang Melayu  terpancar apabila pihak penjajah British cuba menghapuskan hak keistimewaan dan kuasa politik orang Melayu di tanah mereka sendiri melalui sistem pentadbiran Malayan Union (MU). Bahkan MU juga cuba menghilangkan kuasa Raja-Raja Melayu kecuali dalam hal-hal agama Islam.

Orang Melayu bersatu padu dengan cara memprotes dan mendesak penjajah British supaya menarik balik MU dan mengembalikan hak keistimewaan orang Melayu. Atas penolakan dan penentangan hebat orang Melayu, penjajah British menggantikan MU dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) yang memartabatkan kembali status keistimewaan orang Melayu sambil menobatkan semula kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah di negeri masing-masing.

Meskipun pada awalnya orang Cina dan India kurang senang hati dengan PPTM, perkembangan politik seterusnya mendorong mereka bersatu dan bekerjasama dengan para pemimpin Melayu untuk menerima PPTM.

Begitu juga dengan orang bukan Melayu yang bangkit bertindak apabila  peluang mempelajari bahasa ibunda mereka diancam. Laporan Barnes yang disediakan oleh kerajaan British mencadangkan agar sekolah rendah menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah. Orang Cina dan India bangkit memprotes Laporan Barnes kerana bahasa Cina dan Tamil dipinggirkan. Maka itu, orang Cina mengemukakan Laporan Fenn-Wu untuk meneruskan sukatan pelajaran Bahasa Cina di sekolah-sekolah vernakular.

Pendidikan bahasa Tamil di sekolah-sekolah Tamil pula tidak langsung dipentingkan malah tidak dipedulikan kerajaan penjajah. Namun begitu, Malayan Indian Congress (MIC) pimpinan K. Ramanathan mengemukakan memorandum kepada kerajaan British untuk menuntut bahasa Tamil diteruskan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil sambil murid-murid India mempelajari bahasa Melayu. Susulan hal itu, lahirlah Ordinan Pelajaran (1952) yang kemudiannya menjadi rujukan dan asas penggubalan Laporan Razak yang menjadi teras kepada dasar pendidikan negara.

Walaupun pelbagai halangan dan rintangan ditimbulkan oleh beberapa pihak untuk menggagalkan usaha-usaha ke arah kemerdekaan, terutamanya pemberontakan bersenjata oleh Parti Komunis Malaya, orang Cina dan India bersatu padu dan bersama-sama orang Melayu dalam satu barisan untuk berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Peristiwa dan rundingan ke arah mencapai kemerdekaan itu menunjukkan orang bukan Melayu sedia bekerjasama malah bertolak ansur dengan orang Melayu dalam mengakui hak keistimewaan orang Melayu selaku kaum pribumi Tanah Melayu sambil orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sanggup, sedia dan rela menawarkan status kewarganegaraan kepada orang Cina dan India.

Perlembagaan kemerdekaan yang disediakan sebagai syarat bagi kemerdekaan telah memasukkan beberapa perkara penting terutamanya hak keistimewaan orang Melayu atau Bumiputera seperti terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, tiada halangan bagi menggunakan, mempelajari dan mengembangkan bahasa lain (contohnya, bahasa Cina dan Tamil).

Perlembagaan tersebut yang dipersetujui oleh semua pihak, iaitu Raja-Raja Melayu, orang Melayu, orang Cina dan orang India, telah membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British pada 31Ogos 1957. Perlu ditekan di sini bahawa negara berjaya mencapai kemerdekaan kerana wujudnya persefahaman, tolak ansur dan perpaduan yang jitu antara kaum. Kebijaksanaan pemimpin dan sifat mementingkan kepentingan negara yang menyerlah dalam kalangan para pemimpin terdahulu telah menyumbang pada usaha melepaskan negara daripada genggaman penjajah Inggeris.

Meskipun negara telah 65 tahun merdeka daripada belenggu penjajahan Inggeris, minda segelintir rakyat Malaysia masih lagi terikat malah terkunci dengan amalan bahasa dan budaya penjajah Inggeris. Sebahagian besar rakyat negara ini masih lagi mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat masih tidak meluas, malah kurang membanggakan tidak seperti penggunaan bahasa Jepun, Mandarin, Perancis, Jerman, Rusia dan sebagainya oleh rakyat negara-negara tersebut

Sehubungan dengan itu, marilah kita sebagai rakyat Malaysia sama-sama bertekad dalam memartabatkan bahasa Melayu di dalam negara dan di luar negara bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ini. Oleh itu, rakyat Malaysia haruslah mengambil daya dan usaha untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum dan mengelakkan perpecahan antara kaum dengan terus mengisi kemerdekaan selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Rakyat perlu sentiasa mengingati peribahasa Melayu seperti “Bersatu Teguh Bercerai Roboh” pada setiap masa dalam menghadapi dan mendepani cabaran masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.