Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang;
Dua tiga boleh kucari,
Mana nak sama tuan seorang.
Pantun tradisi ini yang secara spontannya bermain di fikiran ketika tiap kali diminta untuk berpantun ataupun ingin mengusik seseorang. Pantun empat rangkap ini bukan sahaja terkenal di Malaysia malahan sangat popular di Singapura dan Indonesia. Pembayang yang diketengahkan dengan siratan makna adalah tentang kegagahan dan keberanian yang terletak pada simbol perkataan “kucing belang”, iaitu seekor harimau yang digelar sebagai raja di rimba. Gambaran watak dan perwatakan ideal tersebut menyebabkan banyak gadis yang ingin berdampingi namun hanya gadis yang bertuah sahaja akan dipilih menjadi suri dan bertakhta di hati sang perwira.
Pertautan yang menarik antara pembayang dengan maksud dan pemilihan kata yang berpadanan dengan suasana menjadikan pantun sangat digemari serta menjadi pilihan untuk dibaca dalam sesuatu majlis. Majlis peminangan dan perkahwinan semakin meriah dengan acara berbalas pantun daripada kedua-dua belah pihak.
Pada tahun 2020, satu sejarah lagi tercipta buat negara apabila komponen puisi tradisional ini telah diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis. Di Indonesia, sambutan pengiktirafan tersebut diraikan pada 27 Disember 2020 menerusi majlis Kenduri Virtual: Pantun Menjadi Warisan Dunia.
Ada apakah dengan pantun? Pantun yang mempunyai rima terikat yang menimbulkan kesan bunyi berentak dan kaya dengan mesej pengajaran kelihatannya tidak tercemar dengan pertembungan budaya globalisasi yang begitu rancak berlaku di Malaysia. Pantun seakan-akan amanah yang perlu dipelihara oleh bangsa Malaysia untuk terus mengekalkan bentuk keasliannya.
Tambahan lagi, cara lantunannya yang bersahaja tetapi berkias menyebabkan pendengar tidak mudah terasa hati dan terbuka menerima sindiran atau teguran tersebut. Teguran beralas tetapi menimbulkan kesan di hati yang menyebabkan pencipta pantun bertanggungjawab memastikan bahawa perkataan yang dipilih tidak akan mendatangkan aib atau mengguris perasaan orang lain. Perkara inilah menjadi antara kekuatan pantun yang mudah terpahat di hati sesiapa pun.
Kalau kain sudah bersih,
Jangan biarkan diinjak-injak;
Kalau pemimpin sudah dipilih,
Jangan biarkan berlagak-lagak.
(Khazanah Pantun Melayu Riau, DBP, 2007)
Simbol artistik kepada masyarakat Melayu ini menyerlahkan keintelektualan dengan ungkapan frasa, hasil daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap alam sekeliling serta diadunkan dengan rasa emosi agar dapat menjanakan makna yang tepat. Misalnya, frasa “Pisang emas di bawa belayar” sangat sinonim dalam budaya pelayaran. Khasiat pisang emas dipercayai dapat dijadikan penawar mabuk laut dan menjadi pengalas perut dalam perjalanan yang jauh kerana mengandungi kandungan serat yang tinggi.
Sementara “Sirih pinang sudah kuterima, Tanda jadi kita berdua” (Kurik Kundi Merah Saga, 2002) pula cenderung pada adat peminangan. Leksikal gabungan perkataan ini menggambarkan sifat kedua-dua tumbuhan ini. Sirih sifatnya menjalar dan memanjat tanpa merosakkan tumbuhan manakala pinang pula merupakan pokok yang tinggi dan mempunyai buah yang lebat. Apabila cantuman sifat ini dijadikan asas maka dapat ditafsirkan bahawa hubungan yang terjalin akan dipenuhi oleh kebahagiaan dengan masing-masing memelihara kehormatan, dan bertanggungjawab atas rumahtangga yang akan dibina. Satu kelebihan genre pantun ini ialah terbuka pada pelbagai tafsiran yang akan mencambahkan pengetahuan tentang makna yang ingin disampaikan dan hal ini menunjukkan tingginya permainan bahasa oleh pencipta pantun.
Dengan keunggulan ciri pantun itu sendiri, tidak mustahil terdapat banyak inisiatif yang dilakukan untuk melestarikannya. Penulis tertarik dengan segmen “Cakna Bahasa” tentang perkongsian pantun Melayu di Bernama Radio, bersama dengan Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Segmen ini adalah satu daripada usaha DBP untuk menarik pendengar daripada pelbagai lapisan bagi mendapatkan ilmu asas tentang warisan ini.
Inisiatif Bernama Radio wajar diteladani oleh stesen radio lain di Malaysia kerana saluran radio masih lagi menjadi pilihan pendengar apatah lagi pada waktu puncak. Oleh itu, segmen seperti ini wajar diteruskan dan yang paling kurang pun dua kali sebulan dengan menjemput ahli dalam bidang ini agar ilmu tersebut tidak hilang begitu sahaja. Selain itu, pertandingan seperti meneka dan menyambung pembayang atau maksud pantun yang diiringi dengan ganjaran hadiah untuk para pendengar setia juga perlu diadakan.
Satu lagi usaha yang boleh dilakukan dan diharapkan ialah daripada industri pelancongan. Saban tahun Malaysia didatangi oleh pelancong dari luar negara dan begitu juga pelancong tempatan yang melancong di dalam negara dan industri ini menjadi semakin rancak di era endemik. Oleh itu, kesempatan ini perlu digunakan oleh pihak bertanggungjawab untuk melestarikan warisan tidak ketara ini dengan mensyaratkan setiap penerbangan yang dikendalikan oleh juruterbang supaya membaca pantun selamat datang serta pihak yang mengurus hal ehwal penerbangan menyediakan bahan bacaan ringkas, memuatkan kandungan tentang pantun dan meletakkannya di setiap poket hadapan kerusi penumpang. Selain itu, dalam hal ini juga pemandu bas atau van pelancong perlu turut serta memainkan peranan yang sama.
Hasil warisan keintelektualan ini ialah penanda aras bagi kemajuan ilmu masyarakat Malaysia dari zaman ke zaman. Oleh itu, hasil warisan ini perlu diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih nyata dan bermanfaat. Misalnya, mewujudkan lorong warisan pantun Melayu dan menjadikannya sebagai tempat perkumpulan Keluarga Malaysia. Lorong tersebut dihiasi dengan tulisan pantun pada bangunan dan dipenuhi dengan aktiviti berbalas pantun serta adanya program masyarakat seperti “Kreatif minda dengan penciptaan pantun”. Situasi ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat majmuk dan secara tidak langsung dapat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi.
Falsafah dan pemikiran serta tingkah laku di sekeliling yang ditransisikan ke dalam bentuk frasa dan ketelitian dalam pemilihan kata yang berestetika tinggi hingga menghasilkan berbaris-baris pantun dalam satu-satu masa menyebabkan Wilkinson dan Winstedt (1957) mengakui bahawa pantun menyerlahkan akal budi orang Melayu. Dengan pelbagai projek penyelidikan, aktiviti pendokumentasian, penerbitan dan bengkel secara berterusan akan dapat memperluas lagi dapatan tentang pantun. Penulis percaya bahawa banyak lagi pantun ciptaan terkini masyarakat yang dapat dikongsi untuk membugarkan lagi khazanah negara ini.
Selain menyertai sayembara berbalas pantun dan pertandingan mencipta pantun yang bukan sahaja di peringkat kebangsaan, terdapat juga peserta dari Malaysia yang mengikuti pertandingan pantun yang dianjurkan oleh negara jiran seperti Brunei dan Indonesia. Perkara ini merupakan suatu anjakan paradigma dan meneguhkan keyakinan kita untuk mengetengahkan warisan kita. Kita juga boleh berkolaborasi dengan negara jiran untuk menerbitkan buku pantun terkini untuk ditelaah dan menjadi dokumen sosial masyarakat di rantau ini. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk mempertahankan warisan asli ini agar tidak luput ditelan zaman.
Apalah guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.
(Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran, 2004)
Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.