Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahasalah yang menyatukan antara ahli keluarga dengan jiran tetangga. Tanpa bahasa, keluarga dan jiran tetangga tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan antara satu sama lain. Bahasa Melayu telah terbukti lama menyatukan dan mengeratkan hubungan ahli keluarga dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu juga terbukti menyatukan perpaduan dalam masyarakat. Bermula dengan bahasa yang baik dan bersopan santun akan memberikan erti dalam kehidupan.
Sejak dahulu lagi masyarakat Melayu menyanjung tinggi sesiapa sahaja yang berbahasa dengan baik, betul dan tepat. Dalam kehidupan berkeluarga, bahasa yang baik menjadi penghubung atau penyambung silaturahim dalam keluarga. Jelas bahawa keluarga ialah unit kecil dalam sebuah masyarakat yang menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi. Oleh itu, bahasa yang baik dan bersopan santun wajar dikekalkan dalam kehidupan seharian.
Menurut Mustaffa Haji Daud dalam Budi Bahasa dalam Tamadun Islam, penghayatan dan amalan berbudi bahasa kian luntur dan pudar dalam kalangan setiap lapisan masyarakat amnya dan generasi muda khasnya. Hal ini berbeza daripada perbendaharaan tamadun Melayu yang diwarisi dan diperkukuh lagi oleh tamadun Islam sejak dahulu yang memperjuangkan dan mempertahankan penghayatan dan amalan berbahasa dengan baik dan berbudi bahasa yang mulia, terpuji, luhur, murni dan bersopan santun.
Oleh itu, untuk mengukuhkan dan mengekalkan perpaduan dalam keluarga dan masyarakat Malaysia, bahasa memainkan peranan yang penting. Kata-kata seperti “Hidup di dunia biar beradat/Bahasa tidak dijual beli” menandakan dan menunjukkan bahawa bahasa sangat penting dalam hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Bahasa adalah gambaran fikiran seseorang dalam masyarakat.
Sejak dahulu lagi, manusia dapat berfikir jika otak dan akalnya berfungsi dengan baik. Gabungan antara otak dengan akal inilah yang kemudiannya menghasilkan fikiran yang matang. Fikiran yang matang akan menuturkan bahasa yang baik, santun, betul dan tepat dalam kehidupan keluarga dan masyarakat.
Di samping itu, sejak dahulu lagi masyarakat Melayu turut menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa bagi sesuatu bangsa. Bahasa juga menjadi alat mengeluarkan fikiran dan berkomunikasi dengan baik dan berkesan dalam keluarga dan masyarakat di Malaysia.
Bidalan Melayu yang mempunyai ciri prosodi, cara berperanan dalam bahasa, iaitu menekankan tentang budi dan bahasa, iaitu nada turun naik suara dan nada yang berbeza mengikuti situasi penekanan maksud. Contohnya dapat dilihat pada kata-kata seperti “Hidup kayu berbuah/Hidup manusia biar berfaedah, “Ikut rasa binasa, ikut hati mati”, “Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk” dan “Orang berbudi kita berbahasa”.
Sejak dahulu juga orang Melayu menggunakan pesanan, pepatah, bidalan dan pantun dalam kehidupan harian. Dalam kehidupan masyarakat Melayu juga mereka menyanjung tinggi sesiapa yang berbahasa dan berbudi. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut seseorang akan dinilai, dirasai dan difahami sama ada menjurus kepada kebaikan atau keburukan. Masyarakat Melayu juga menganggap bahawa bahasa itu merupakan jiwa bagi sesuatu bangsa. Hal ini jelas dilihat melalui ungkapan seperti “Bahasa Menunjukkan Bangsa” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang sering didengar dan difahami.
Konsep dan takrifan bahasa menurut ahli bahasa yang terkemuka seperti G. Trager (1949) ialah bahasa merupakan suatu sistem lambang vokal yang arbitrari dan bermakna yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berhubung sebagai satu cara mereka bersosialisasi.
Ketika berkomunikasi dan bersosialisasi, nilai budi bahasa terpancar dalam kehidupan keluarga dan masyarakat Melayu serta masyarakat Malaysia. Antaranya termasuklah berhati-hati ketika berkata, merendah diri ketika berkata, sabar dalam berkata-kata, pemurah dengan berbudi bahasa, tekun dan rajin dalam bekerja, cinta akan kebenaran, menunaikan janji, muafakat, tolong-menolong, perpaduan dalam masyarakat, menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua, mematuhi adat dan menghormati raja.
Semua amalan dan sikap ini bermula daripada pancaran dan amalan budi dan bahasa yang dipraktikkan dalam kehidupan keluarga dan masyarakat seharian. Semua bangsa memahami dan mengerti akan makna budi dan bahasa, iaitu nilai kesopanan dan kesusilaan yang tercatat dan terpancar melalui prinsip Rukun Negara yang kelima. Hal ini sewajarnya bukan hanya diucapkan tetapi sewajarnya dipraktikkan.
Dalam Islam, hidup berkeluarga dan bermasyarakat memetingkan nilai adab dan budaya serta akhlak dan kesopanan sebagai fungsi masyarakat untuk merealisasikan nilai Islam. Nilai akhlak dan kesopanan sama dengan fungsinya terhadap akidah, pemahaman, syiar dan emosi dalam kehidupan. Tidak guna berilmu tinggi dan beramal ibadah yang baik jika akhlak dan budi bahasa tidak dijaga.
Oleh itu, konsep dan nilai yang ada dalam keluarga Malaysia mestilah mempunyai nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Melalui nilai keterangkuman, bahasa memainkan peranan yang penting terutamanya bahasa Melayu yang mampu merangkumkan rasa kebanggaan kepada bahasa Melayu, mencintai bahasa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi.
Apabila nilai keterangkuman dapat dilaksanakan akan wujudlah nilai kebersamaan, iaitu hidup bersama dalam kehidupan yang aman dan damai, wujudnya rasa harmoni dan bersama-sama menggunakan bahasa Melayu dengan baik, betul dan tepat. Akhirnya, akan wujudlah nilai dan rasa kesyukuran dalam kehidupan keluarga Malaysia.
Imam al-Ghazali selanjutnya telah mengemukakan pandangan tentang hati yang dapat diasuh, dibina dan dibentuk dalam kehidupan berkeluarga agar menghasilkan budi bahasa yang mulia dan terpuji, iaitu melalui ilmu latihan dan didikan dengan kesopanan dan kesusilaan, berbahasa baik dan bersifat adil dalam berkata-kata dan juga menjaga kelakuan.
Disebutkan juga bahawa berkata-kata dan menjaga kelakuan itu termasuk dalam nilai budi bahasa dalam keluarga. Oleh itu, berkata-katalah yang baik-baik, lembut, berhemah dan bersopan santun. Di samping itu, jagalah kelakuan supaya tidak menyakiti ahli keluarga, jiran dan juga masyarakat. Begitulah bahasa mampu mengukuhkan ikatan perpaduan dalam keluarga dan masyarakat dalam sebuah negara.
Dalam kehidupan keluarga dan masyarakat, bahasa daerah atau loghat atau dialek yang difahami dan diucapkan dalam keluarga dan masyarakat dapat menyatukan hubungan dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Nilai kebersamaan ini dalam percakapan di sesuatu daerah atau negeri akhirnya mampu memberikan kesepaduan dan perpaduan yang jitu.
Sebagai contoh, loghat dan bahasa daerah yang terdapat di negara ini termasuklah loghat Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, dan Sabah. Apabila penutur dari setiap negeri ini memahami setiap loghat negeri, akhirnya bahasa Melayu mampu menyatukan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Kini bahasa Melayu sedang dan terus berkembang, iaitu dari segi perkembangannya yang pesat, perubahan yang banyak dan sedang berlaku pada bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui penggunaan bahasa Melayu di media sosial yang akhirnya boleh diterima pakai dan difahami oleh semua penutur dan pengguna bahasa Melayu.
Sementara itu, bahasa Melayu pada zaman baharu dan selepas merdeka terus berkembang melalui penggunaan penutur bahasa Melayu yang berilmu dan yang mendapat pendidikan di sekolah melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Sebagai bahasa kebangsaan negara yang berdaulat, bahasa Melayu terus menjadi bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Bahasa Melayu terus berkembang dengan istilah baharu, khususnya istilah yang berkaitan dengan bidang teknik, sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi dan kesihatan dan perubatan yang dapat diperkukuhkan melalui aktiviti pemupukan istilah baharu yang dapat difahami dan digunakan dalam kehidupan seharian.
Sehubungan dengan itu, mereka ini sewajarnya terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Mereka juga dapat meneruskan fungsi bahasa Melayu moden, iaitu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi yang memberikan nilai kepada bahasa Melayu sebagai nilai ekonomi, nilai pentadbiran, nilai sentimen dan nilai sosial.
Apabila bahasa Melayu mantap dan kukuh, akan kukuhlah perpaduan dalam keluarga dan masyarakat Malaysia. Penggunaannya mestilah dimulakan di rumah, di sekolah, dalam kehidupan kejiranan, di institusi pengajian tinggi dan juga dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Begitu juga penggunaan bahasa di media sosial yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya tanpa bahasa rojak.
Kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan adalah alat untuk menyatukan kaum-kaum di negara ini. Penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Melayu dapat melahirkan rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu bagi melahirkan bangsa Malaysia yang mempunyai identiti yang sama. Usaha mesti dilakukan untuk memupuk semangat kekitaan dalam Keluarga Malaysia dan bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita dan matlamat semua warga negara yang cinta akan bahasa Melayu.