29 September 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 24 September 2022, terakam satu peristiwa bersejarah yang cukup bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia amnya dan pejuang bahasa Melayu (BM) khususnya. Pemimpin nombor satu negara, YAB Perdana Menteri (PM) Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah berucap dengan menggunakan BM dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-77 di New York, Amerika Syarikat. Secara tidak langsung, YAB PM merupakan pemimpin pertama dari Malaysia yang berucap dalam Perhimpunan Agung PBB dengan menggunakan bahasa Melayu. Peristiwa ini membuka lembaran baharu dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan BM pada peringkat antarabangsa.

Dalam ucapan tersebut, YAB PM telah menggunakan BM tinggi yang mampu memberikan gambaran kepada masyarakat dunia tentang aspek kehalusan bahasa, budi pekerti dan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia, khususnya dalam kalangan penutur BM. Hal ini dapat diperhatikan melalui teks ucapan YAB PM yang dimulakan dengan ucapan salam, iaitu “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Dunia”, dan diakhiri dengan ucapan terima kasih serta ucapan doa “Wabillahi taufik wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”.

Dalam ucapan tersebut, terdapat penggunaan peribahasa Melayu, iaitu “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Penggunaan BM tinggi di pentas antarabangsa seperti ini secara tidak langsung dapat menambahkan koleksi korpus BM yang dapat digunakan oleh penyelidik bahasa dan linguistik bagi menyuburkan serta mengayakan khazanah ilmu BM pada abad ke-21.

Dalam sesi ucapan yang berlangsung selama 20 minit tersebut, YAB PM menggunakan BM dengan penuh yakin. Beliau juga kelihatan segak di atas pentas dengan memakai baju Melayu berwarna hitam lengkap bersamping dan bersongkok.

Tindakan ini sebenarnya mencerminkan akal budi dan pendirian YAB PM dalam usaha mengantarabangsakan budaya dan BM. Hal ini selaras dengan satu daripada bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB PM sendiri pada Disember 2021. Selain itu, secara pragmatiknya, tindakan ini memberikan beberapa isyarat penting kepada rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat antarabangsa amnya.

Antara isyarat tersebut termasuklah suatu penegasan kepada pemimpin negara yang hadir dalam Perhimpunan Agung PBB, khususnya perwakilan dari negara ASEAN bahawa Malaysia bersungguh-sungguh untuk menjadikan BM sebagai bahasa kedua ASEAN meskipun terdapat pihak yang kurang bersetuju dengan hasrat Malaysia ini. Menerusi isyarat ini, perbincangan yang proaktif harus dilakukan oleh negara ASEAN bagi memperhalusi dan membahaskan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Melalui penggunaan BM di pentas Perhimpunan Agung PBB ke-77 ini juga, secara tidak langsung, YAB PM menyampaikan isyarat kedua untuk mengabsahkan kedudukan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia. Tindakan YAB PM ini sebenarnya sangat bertepatan pada waktunya. Hal ini dikatakan demikian kerana masih berlaku pertikaian tentang kerelevanan penggunaan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia meskipun perkara ini secara jelas telah diwartakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Isyarat yang disampaikan YAB PM ini secara jelas menuntut warganegara Malaysia supaya beriltizam menggunakan BM secara tekal dalam semua urusan, khususnya dalam urusan rasmi, sama ada yang dikendalikan oleh agensi kerajaan mahupun agensi swasta.

Seterusnya, YAB PM menyampaikan isyarat ketiganya untuk menuntut kepimpinan negara dan pegawai kanan kerajaan supaya menggunakan BM dalam semua urusan pekerjaan, khususnya ketika menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat, sama ada pada peringkat nasional mahupun pada peringkat antarabangsa. Sekiranya YAB PM mampu dan bersedia menggunakan BM dalam ucapan di pentas antarabangsa, semua warga Malaysia,  terutamanya kepimpinan negara dan pegawai kanan kerajaan tidak boleh memberikan alasan untuk tidak melakukan tindakan yang sama.

Tindakan YAB PM menggunakan BM di Perhimpunan Agung PBB ke-77 lepas secara jelas telah mempamerkan teladan melalui kepimpinan. Hal ini dikatakan demikian kerana tindakan beliau seumpama ini bukanlah yang kali pertama. Sebelum ini, beliau pernah menggunakan bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat bersama dengan Presiden Amerika di Washington D.C., Amerika Syarikat pada Mei 2022.

Sebenarnya, selain YAB PM, terdapat pemimpin negara lain yang berucap menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing di Perhimpunan Agung PBB ke-77 yang lepas. Menurut Mallika Sen dalam tulisannya yang berjudul  “UN General Assembly Meeting of World Leaders, by the Numbers”, terdapat  14 bahasa bukan rasmi PBB yang telah digunakan oleh para pemimpin negara pada Perhimpunan Agung PBB kali-77. Bahasa tersebut ialah bahasa Bengali, bahasa Bosnia, bahasa Itali, bahasa Jepun, bahasa Jerman, bahasa Katalan, bahasa Khmer, bahasa Kirghiz, bahasa Macedonia, bahasa Melayu, bahasa Mongolia, bahasa Parsi, bahasa Poland, dan bahasa Turki.

Melalui data ini, dapat disimpulkan bahawa pemimpin negara yang berucap dengan menggunakan bahasa masing-masing mempunyai jati diri kebangsaan yang tinggi. Pemimpin negara tersebut turut ingin mengantarabangsakan bahasa negara masing-masing, sama ada negara tersebut ialah negara maju, seperti Itali dan Jepun, atau negara membangun seperti, Bosnia dan Mongolia.

Natijahnya, penggunaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa tidak mengekang kemajuan negara. Hal ini telah pun ditegaskan oleh YAB PM dalam ucapan di Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada Mei 2022. Sesungguhnya, banyak negara maju yang telah memandaikan rakyat dan memajukan negara menerusi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan masing-masing.

Kerajaan Malaysia seharusnya mencontohi usaha tersebut dan tidak perlu ragu akan keupayaan BM kerana BM sememangnya telah terbukti mempunyai kehebatan, keunikan dan kewibawaan yang tersendiri dalam memacu pembangunan Tamadun Melayu. Warganegara Malaysia perlu sedar bahawa satu daripada identiti negara bangsa Malaysia ialah bahasa Melayu. Oleh itu, marilah kita berganding bahu untuk menyokong usaha YAB PM dalam usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan antarabangsa. Sesungguhnya, keutuhan BM perlu sama-sama dipertahankan kerana apabila hilangnya satu-satu bahasa, maka lenyaplah bangsa tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.