3 Oktober 2022, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Budaya penulisan yang pesat sekitar abad ke-14 Masihi hingga ke-19 Masihi telah menghasilkan kevariasian pustaka persuratan Melayu yang bermanfaat kepada masyarakat, ditambahi lagi dengan peranan penting yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai lingua franca telah menyumbang kepada perkembangan tersebut. Satu daripada medium yang menyebarluaskan kepesatan penggunaan bahasa Melayu ialah penulisan warkah. Warkah atau surat digunakan sebagai urusan rasmi kerajaan untuk menyampaikan mesej penting, bukan sahaja kepada individu dalam organisasi pentadbiran bahkan kepada kerajaan jajahan, kerajaan luar dan juga Gabenor Eropah.

Warkah berhias kiriman Sultan Iskandar Muda Mahkota Perkasa Alam kepada Raja England, iaitu Raja James I merupakan surat Melayu yang tertua dan tercantik yang memerihalkan kemegahan pemerintahan Aceh. Warkah ini sering diperkatakan, bukan sahaja oleh sarjana tempatan malahan sarjana luar negara. Apakah rahsianya?

Perlu kita ketahui bahawa warkah Melayu bukan sahaja mengetengahkan iluminasi sebagai elemen utama kerana terdapat juga warkah tanpa iluminasi ataupun hiasan. Apabila diteliti, ternyata struktur penulisan warkah yang menjadi perhatian sehingga turut dipraktikkan oleh Gabenor Barat untuk mengirim mahupun membalas warkah kepada masyarakat di Tanah Melayu.

Pada masa ini, kita didedahkan dengan ilmu penulisan surat rasmi dan tidak rasmi. Pengetahuan ini tidak pernah lekang dengan anjuran kursus ataupun bengkel bagi menguasainya. Aktiviti ini sangat berfaedah, namun apalah salahnya untuk turut sama-sama membincangkan penulisan yang terdapat pada warkah Melayu, yang tanpa kita sedari bahawa sebenarnya kita sudah pun mempunyai panduan penulisan yang terhasil berabad-abad lamanya dan masih boleh diasosiasikan dalam masyarakat.

Janganlah terus membungkam minda kita dengan melegarkan pernyataan yang tekal bahawa warkah sekadar warisan tinggalan sejarah dan menyempitkan lagi skop penggunaannya yang dikatakan cenderung relevan hanya kepada golongan pemerintah sahaja. Perkara yang patut dilakukan ialah membuat penelitian terhadap aspek penyampaian dan mengeluarkan faedah daripadanya.

Ab Razak Ab Karim, iaitu seorang penulis prolifik tentang warkah menyatakan bahawa struktur pembinaan bahan ini terbahagi kepada enam bahagian, iaitu kepala surat, cap, kata puji-pujian, kandungan, prapenutup dan penutup. Lazimnya, kepala surat menggunakan perkataan bahasa Arab seperti al-Hamdulillah (puji-puji bagi Allah), dan Qawluhu al-Haqq (kata-kata yang benar) di samping menggunakan unsur alam, misalnya Wa-al-Syam wa-al Qamar (dengan matahari dan bulan).

Pengecaman identiti atau stail penulisan jurutulis merupakan rahsia di balik penggunaan kepala surat manakala bulan dan bintang ialah simbol agama Islam. Cap ataupun dikenali dengan panggilan meterai, tera atau mohor menunjukkan ketulenan warkah dan sebagai ganti tandatangan daripada pengirim. Cap hanya dimiliki oleh kerabat diraja dan golongan pembesar sahaja. Sementara bahagian kandungan berfokuskan mesej utama warkah yang dihantar.

Tiga komponen yang lain pula dapat dilihat mempunyai pertautan jati diri dengan masyarakat Melayu terutamanya semasa berkomunikasi dengan orang lain. Dalam konteks kata puji-pujian, penulis warkah mengadunkan kata nama atau kata kerja bersama dengan kata adjektif seperti “arif dan bijaksana’’, “pandai memerintah” atau “budi pekerti yang baik” untuk menunjukkan keupayaan kehandalan penerima warkah.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, kata-kata ini diimplementasikan dengan tujuan memberikan sanjungan, penghargaan kepada orang lain yang berkeperibadian baik dan mendapat pengiktirafan dalam sesuatu bidang yang diceburi. Selain itu, kata puji-pujian juga berfungsi sebagai pembuka bicara dan salam perkenalan yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu ialah masyarakat yang peramah dan tidak gemarkan perkelahian.

Sebagai menghormati tetamu, iringan buah tangan sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia, dan uniknya tetamu yang datang turut sama memberikan hadiah sebagai tanda jalinan hubungan yang erat. Hal ini turut diterjemahkan pada struktur warkah. Pada bahagian prapenutup, dinyatakan bingkisan hadiah yang dibawa oleh utusan kerajaan serta menggunakan kata panggilan murni seperti “sahabat kita”. Suatu perkara yang menarik ialah hadiah yang diberikan juga berdasarkan tema dan bersinonim dengan hajat yang terkandung dalam surat.

Frasa ayat seperti “Tiadalah dengan sepertinya seumpama sekuntum bunga adanya akan jadi barang gunanya, maka jangan kiranya diaibkan” (warkah Raja Kedah kepada Lord Minto 23 Disember 1810) dan “Kemudian daripada itu suatu pun tiada alamat al-ikhlas daripada kita akan sahabat kita, hanyalah doa daripada tiap2 hari malam dan siang” (warkah Sultan Mahmud Syah dari Johor dan Pahang kepada Senyur  Gurnadur [F. Light] 10 November 1787), menggambarkan budi pekerti pengirim di samping memancarkan keindahan bahasa yang puitis.

Komponen penutup pula berfokuskan metode doa. Perkataan yang sentiasa hadir bersama-sama ialah “semoga”, “agar” dan “mudah-mudahan” sebelum frasa doa diungkapkan seperti “dipanjangkan umur”, “dipeliharakan iman”, “bertambah kemuliaan”, “dijauhkan daripada fitnah dunia” dan “bertambah pangkat kebesaran” dan diiringi perkataan amin (perkenanlah). Metode doa ini merupakan komunikasi interpersonal yang menyentuh kerohanian sebagai orang Islam yang sentiasa berdoa semasa dan selepas solat.

Isi instrinsik warkah berkisar kepada bahasa Melayu sebagai bahasa perantara utama. Di dalamnya kaya dengan nilai-nilai bahasa yang dapat dikaji dari aspek nahu, semantik dan juga fonetik serta fonologi. Selain itu, dapat dikaji juga dari aspek sosiobudaya dan juga kesenian. Justeru itu, pengkajian daripada ahli sarjana sangat diperlukan untuk menonjolkan kuasa bahasa melalui medium ini. Tidak dinafikan, dana penyelidikan sangat diperlukan namun usaha dan langkah perlu dijalankan bagi meyakinkan penyumbang dana.

Sebagai bangsa yang bertamadun, sikap menghargai dan mengadaptasikan sesebuah produk, hasil intelektual masyarakat tempatan perlu terus dilestarikan agar tidak kalis zaman. Walaupun tidak dinafikan, struktur penulisan surat menyurat telah berlaku evolusinya tetapi kita janganlah begitu naif dan tanpa bersalah terus meninggalkan struktur penulisan yang sudah lama wujud dan pernah menjadi garis panduan surat-menyurat. Kita begitu gelojoh menghilangkan kuasa bahasa yang berwibawa dan menjadi kekuatan tulisan mewakili lisan kita.

Sekadar cadangan daripada penulis, jika warkah Melayu sudah tidak mendapat tempat dalam penelitian, sekurang-kurangnya foto warkah berbingkai mewah dan bertulisan Jawi dipotretkan dan digantung di pejabat-pejabat rasmi kerajaan dan khususnya di pejabat Dewan Bahasa dan Pustaka agar dapat dikenang sebagai perantara bahasa yang digunakan pada zaman pemerintahan kesultanan Melayu dahulu di samping dijadikan sebagai plak cenderamata di majlis-majlis keraian rasmi dan juga kepada delegasi luar negara.

Untuk membuka sebuah galeri, sudah pasti memakan belanja yang tinggi. Oleh itu, sebagai penyelesaiannya, dapatlah kiranya dibuka satu ruangan khusus “Mengenali warkah Melayu” di mana-mana portal pihak berwajib. Selain itu, molek sekiranya dapat juga dimasukkan satu topik tentang warkah Melayu dalam pembelajaran karangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah agar generasi Malaysia dapat mengetahui bahawa kita pernah mempunyai  produk penulisan bertaraf antarabangsa dengan kuasa bahasa yang hebat pada suatu masa dahulu.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan,

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

(Gurindam Jiwa)

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.