4 Oktober 2022, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandangan dari kaca mata sebagai mantan diplomat yang diberi tanggungjawab untuk memperkasakan hubungan pendidikan MalaysiaChina telah melibatkan perkembangan yang cukup positif dalam hubungan diplomasi pendidikan MalaysiaChina. Penulis merupakan seorang daripada diplomat yang telah diberi amanah untuk bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China selama tujuh tahun. Dari aspek perkembangan pendidikan, dapat dilihat begitu pesatnya permintaan negara tembok besar China dalam menggalakkan institusi pendidikan tinggi untuk menawarkan kursus Pengajian Melayu kepada para pelajar mereka.

Dalam perkongsian penulis semasa Seminar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (SPPT) 2022, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Islam Sains Malaysia pada 29 September 2022 telah membawa naratif bagaimana perkembangan bahasa Melayu di China memberikan kesan kepada hubungan diplomasi MalaysiaChina. SPPT 2022 ini yang bertemakan “Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang Mapan” telah berjaya disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.

Melihat dari aspek sejarahnya, menurut Awang Sariyan (2009) dalam bukunya, Mencari Makna Diri Melayu menyatakan bahawa interaksi tamadun MelayuChina mengikut rekod Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming) menjadi sumber utama yang memerikan hubungan dengan Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Beliau turut menyentuh mengenai teks seperti Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), Ming Tong Dian (Almanak Umum Dinasti Ming), Ming Hui Dian (Kumpulan Dokumen Dinasti Ming), Xian Bing Lu (Rekod Tetamu Negara), Deng Tan Bi Jiu (Catatan Hal Ehwal Kerajaan) serta tulisan cendekiawan China yang mendampingi Laksamana Zheng He (Cheng Ho) dalam kunjungan ke alam Melayu.

Seorang sarjana dari China, iaitu Profesor Liang Liji, seorang sarjana dan pengkaji bahasa MelayuIndonesia dari Universiti Peking, dalam buku Hubungan Empayar MelakaDinasti Ming Abad Ke-15 (1996) antara lain menyebut bahawa hubungan China dengan Alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 Masihi) dan Empayar Sriwijaya (abad ke-7).

Kita juga dapat melihat perkembangan bahasa Melayu yang cukup menarik, iaitu adanya kamus berjudul Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Negeri Melaka) yang dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melayu Melaka (1403-1511). Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum.

Dalam konteks sejarah moden, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada 31 Mei 1974. Seperti yang dinyatakan Awang Sariyan, hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi (khususnya perdagangan dua hala) beransur-ansur melebar dalam bidang pelancongan, pendidikan dan kebudayaan. Dokumen perjanjian antara Malaysia dengan China, iaitu Perkongsian Strategik Komprehensif, semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada tahun 2013 itu secara jelas menunjukkan asas pembinaan dan persefahaman bahasa di peringkat awal menjadi pemangkin hubungan diplomasi MalaysiaChina yang lebih utuh.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Prof. Dr. Su Yingying dan Dr. Han Xiao yang diterbitkan pada 26 Mei 2022 di akhbar Berita Harian menyatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu bermula pada tahun 1962 di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), yang merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus Bahasa Melayu di China dengan Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.

Rentetan usaha ini menjadi pendorong bagi penawaran dan perkembangan kursus Bahasa Melayu di China dan hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah yang membabitkan 11 buah universiti dan dua buah kolej.

Menurut statistik, setakat Mei pada tahun ini, sejumlah 41 orang pensyarah China dan tujuh orang pakar asing dari Malaysia menjadi tenaga pengajar di 13 institusi pengajian tinggi China. Kita juga dapat melihat bahawa sejumlah 457 orang siswa peringkat sarjana muda dan enam orang sarjana sedang belajar di kampus. Hasilnya, sejumlah 965 orang lepasan peringkat sarjana muda dan 10 orang sarjana berjaya menamatkan pengajian masing-masing dalam tempoh 60 tahun ini.

Pemerhatian juga boleh dilihat kepada program Pengajian Melayu di China yang berfokuskan pengajaran bahasa dan persuratan Melayu, bermatlamat untuk memupuk individu yang mahir menguasai kebolehan mendengar, bertutur, memahami dan berkebolehan menterjemah apa-apa sahaja bahan yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Di samping itu, jurusan-jurusan Bahasa Melayu di China tidak terhad kepada kajian bahasa Melayu sahaja, sebaliknya merangkumi kajian kebudayaan dan kemasyarakatan Melayu. Sesungguhnya kita amat berasa bertuah kerana sokongan dan dokongan kerajaan China yang mengiktiraf perkembangan bahasa asing di China.

Adalah menjadi aspirasi MalaysiaChina agar hubungan organik yang terbina ini terus utuh dengan semangat persahabatan yang tinggi, ibarat pepatah Melayu “Bukit sama didaki, lurah sama dituruni” (pepatah ini telah diungkapkan dalam bahasa Melayu oleh Presiden Xi Jinping sendiri di APEC Economic Leaders’ Meeting (AELM) pada November 2020) dan sentiasa mempunyai persefahaman dalam merencanakan agenda ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan.

Hakikatnya, perkembangan Bahasa Melayu di China ini benar-benar memberikan kesan kepada hubungan Diplomasi MalaysiaChina yang bukan sahaja dalam bidang pendidikan namun pada asasnya bidang seperti ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua buah negara yang memberikan kesan yang sangat positif. Kalau kita melihat beberapa angka, iaitu dagangan dua hala pada tahun 2021 mencecah USD 176.8 billion, iaitu pertumbuhan sebanyak 34.5 peratus. Manakala pada  bulan Julai tahun ini, jumlah perdagangan ialah 114.5 billion dolar Amerika, iaitu peningkatan sebanyak 20.7 peratus.

Kita juga amat kagum dengan angka pelaburan, iaitu pelaburan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, China merupakan pelabur yang paling besar di Malaysia, membabitkan 46 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak USD 10.8 billion. Ini semua juga disokong dengan perkembangan positif berkaitan dengan pertukaran pelajar antara kedua-dua buah negara, iaitu sebelum pandemik, terdapat 16 000 ribu pelajar China di Malaysia. Pada waktu ini, terdapat 28 500 pelajar China yang berdaftar untuk belajar di Malaysia.

Kesimpulannya, pengamatan penulis selama bertugas di China dan diberi sepenuhnya sokongan oleh Raja Dato Nushirwan Zainal Abidin, Duta Besar Malaysia ke China memperlihatkan keperluan yang cukup kritikal untuk semua pihak melihat perkembangan bahasa Melayu di China ini. Konsul-konsul Jeneral Malaysia di China juga sangat aktif menyediakan sesi libat urus dengan pelajar-pelajar jurusan Bahasa Melayu dengan menawarkan peluang persembahan dan aktiviti kebudayaan Malaysia khasnya ketika sambutan perayaan Malaysia.

Melalui kerjasama Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Dewan Bahasa dan Pustaka dan diselaraskan oleh pejabat Pendidikan Malaysia Beijing telah membuat penyaluran bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu ke universiti-universiti yang menawarkan Pengajian Bahasa Melayu. Raja Dato’ Nushirwan pernah mengungkapkan bahawa hubungan MalaysiaChina ini bertunjangkan hubungan organik yang cukup erat dan perlu didasari dengan nilai-nilai persefahaman dan persahabatan yang tinggi. Untuk mencapai semua itu, sudah pastinya berasaskan kemampuan kedua-dua pihak untuk meningkatkan pemahaman dari segi bahasa dan budaya.

 

 

Pelajar Sarjana Falsafah (Kajian Bahasa) Universiti Kebangsaan Malaysia, yang juga mantan Penasihat (Pendidikan), Kedutaan Besar Malaysia, Beijing, China.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.