Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDikir barat ialah persembahan kebudayaan yang tidak asing di Malaysia amnya dan di Kelantan khususnya. Walaupun lebih dikenali sebagai suatu bentuk persembahan, dikir barat sebenarnya ialah suatu peristiwa komunikasi. Peristiwa komunikasi ialah kegiatan bahasa yang melibatkan latar, peserta, matlamat, urutan tindakan, nada, saluran, norma dan genre (SPEAKING). Kegiatan bahasa ini boleh difahami dengan menggunakan Teori Etnografi Komunikasi.
Menerusi Teori Etnografi Komunikasi, beberapa perkara dapat dijelaskan. Maklumat yang terdapat dalam teori ini dapat menerangkan tingkah laku komunikatif, iaitu menghuraikan dan menganalisis suatu pola komunikasi. Antaranya termasuklah mengenali peristiwa yang berulang-ulang, mengenali komponen yang menonjol dan menemukan hubungan antara komponen dengan peristiwa itu dengan aspek lain masyarakat.
Kegiatan bahasa dalam dikir barat dari aspek latar merujuk latar waktu dan latar tempat peristiwa komunikasi. Kepelbagaian latar wujud dalam lagu dikir barat berdasarkan situasi dan latar belakang dalam sesebuah budaya. Situasi ialah suasana atau keadaan peristiwa komunikasi yang wujud semasa berkomunikasi, seperti situasi formal, tidak formal, serius dan santai.
Latar komunikasi dikir barat kebiasaannya ialah negeri Kelantan. Dikir barat wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung dan pinggir bandar. Pada zaman dahulu, persembahan dikir barat bertemakan kehidupan seharian yang kebiasaannya menitikberatkan unsur lucu. Kini persembahan dikir barat berubah mengikut perkembangan semasa. Dalam hal ini, tema dan konsep persembahan dikir barat banyak berkisar pada isu politik, ekonomi, pembangunan, pendidikan dan masalah sosial dalam kehidupan masyarakat sejagat.
Pada kebiasaannya, dikir barat dipersembahkan pada musim menuai, majlis perkahwinan, berkhatan dan majlis keramaian. Namun begitu, pada masa ini, dikir barat dijadikan sebagai platform untuk memperlihatkan kehebatan seni tradisional melalui pertandingan yang dianjurkan pada peringkat kampung, kebangsaan dan antarabangsa.
Kegiatan bahasa yang merujuk peserta dikir barat terdiri daripada juara, tukang karut, awak-awak, pemuzik dan penonton. Juara ialah penyanyi yang memulakan lagu persembahan yang juga dikenali sebagai tok juara. Pada kebiasaannya, tok juara duduk sebaris dengan pemain muzik. Tok juara memulakan lagu dengan caranya yang tersendiri dan menyampaikannya secara berjela-jela. Keadaan ini dapat meningkatkan semangat ahli pasukan untuk mempamerkan persembahan yang menarik dan bersemangat.
Tukang karut pula ialah individu atau penyanyi yang paling penting dalam persembahan. Tukang karut mestilah mempunyai kelebihan dan kemahiran mengolah idea supaya idea tersebut tersusun menjadi pantun yang tepat yang disampaikan dengan spontan.
Awak-awak berperanan menyanyikan korus yang disampaikan secara serentak mengikut tok juara dan tukang karut. Terdapat dua peranan awak-awak, iaitu menyanyi beramai-ramai dan bertepuk tangan. Kehebatan dan kemenangan awak-awak bergantung pada keharmonian dan kepaduan suara awak-awak ketika bernyanyi bersama-sama. Awak-awak biasanya terdiri daripada lima belas orang hingga dua puluh lima orang.
Pemuzik pula terdiri daripada pemain gong, pemain rebana ubi, pemain rebana anak, pemain canang dan pemain marakas. Penonton terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Setiap peserta mempunyai peranan yang berbeza yang mempengaruhi bahasa dan pola komunikasi.
Pengiriman maklumat atau pemikiran mempunyai matlamat atau tujuan tertentu yang mencerminkan satu lagi kegiatan bahasa. Kebiasaannya, penyampaian maklumat untuk mengajak dan memujuk penonton supaya mengubah sikap, perilaku atau menunjuk ke arah sesuatu. Satu-satu peristiwa komunikasi itu tidak semestinya mempunyai satu matlamat atau tujuan sahaja. Beberapa matlamat mungkin bergabung dan digunakan secara serentak.
Terdapat beberapa tujuan atau matlamat yang sama antara beberapa lagu dikir barat. Semua lagu dikir barat ini mempunyai matlamat untuk memberikan nasihat kepada pendengar atau penonton supaya mengambil iktibar daripada perkara yang disampaikan. Penggunaan istilah, frasa dan ayat yang melatari komunikasi dan membentuk isi kandungan mencerminkan hasil tujuan peserta yang terlibat bagi memenuhi tujuan setiap komunikasi.
Seterusnya, kegiatan bahasa yang meliputi aksi urutan merujuk bentuk mesej, isi kandungan mesej dan urutan mesej tentang sesuatu yang diperkatakan oleh peserta. Aksi urutan boleh dalam bentuk kata sahaja atau pada tahap kandungan topik yang dibincangkan atau pertukaran topik dan berperanan penting dalam menentukan tahap signifikan lagu dikir barat dengan pemikiran penonton.
Ragam pula ialah kegiatan bahasa yang melibatkan nada yang dibawa oleh peserta dalam dikir barat. Ragam dapat memperlihatkan reaksi peserta, sama ada komunikasi itu berbentuk biasa, marah, seronok, cemas, sedih atau sebagainya. Bahasa bukan verbal memang wujud dalam dikir barat dan berlaku serentak dengan bahasa verbal, seperti gerakan tangan peserta dikir barat, terutamanya oleh awak-awak, seperti tepukan dan tarian.
Selain itu, kegiatan bahasa dalam dikir barat turut terdiri daripada komponen alat. Menerusi komponen ini, saluran bahasa tersebut disampaikan, sama ada secara lisan, bertulis, atau bentuk ujaran yang dipilih oleh peserta, seperti bahasa, kod, dialek, gaya pertuturan atau laras. Dalam kebanyakan lagu dikir barat, dapat dilihat bahawa peserta menggunakan pelbagai bentuk bahasa yang gramatis untuk menyampaikan maklumat yang sebahagian besarnya berbentuk nasihat.
Norma interaksi dan norma pentafsiran dalam dikir barat pula menunjukkan wujudnya kegiatan bahasa dalam aspek peraturan bahasa kerana dalam setiap interaksi sosial manusia, sudah pasti terdapat norma tertentu yang mengikat anggota masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu perbuatan dengan sewenang-wenangnya. Secara khususnya, norma dalam interaksi bermaksud kelakuan yang khusus dan kesantunan dalam perbualan. Sehubungan dengan itu, didapati bahawa dikir barat mempunyai norma interaksinya yang tersendiri.
Seterusnya, kegiatan bahasa yang melibatkan genre ialah suatu wahana terbaik untuk menyampaikan penerangan tentang sesuatu maklumat dari sudut linguistik. Penggunaan bahasa yang berbeza bergantung pada jenis peristiwa komunikasi. Setiap lagu dikir barat menggunakan kosa kata berbeza berdasarkan peristiwa komunikasi yang disampaikan.
Peristiwa komunikasi dalam dikir barat berbeza daripada peristiwa komunikasi lain. Perbezaan ini telah dikesan daripada huraian etnografi komunikasi yang mengaplikasikan komponen SPEAKING. Setiap komponen yang berbeza ini berperanan dalam satu-satu komunikasi. Penghuraian semua faktor ini signifikan dengan penggunaan bahasa untuk melihat cara dikir barat mencapai tujuannya.