13 Oktober 2022, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wacana Penyelidikan Bahasa Siri Kelima yang bertajuk “Pengkajian Bidang Linguistik dalam Linguistik Klinikal” telah berlangsung selama sejam menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial  DBP pada pagi tadi.

Program bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan ini menampilkan tetamu undangan dari Universiti Sains Malaysia, Dr. Norsofiah Abu Bakar yang juga Pengerusi Rancangan Linguistik Bahagian Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

Dr. Norsofiah Abu Bakar dalam sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan kajian linguistik klinikal.

Beliau yang turut ditemani oleh moderator, Dr. Junaini Kasdan berkongsi tentang penyelidikannya dalam bidang linguistik klinikal. Kajian linguistik klinikal berkaitan dengan bahasa yang tidak normal atau atipikal dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa yang meliputi kajian pragmatik klinikal, sosiolinguistik klinikal, fonologi, morfologi dan sintaksis.

Penyelidikan beliau dilakukan dengan menggabungkan bidang linguistik dengan patologi bahasa. Katanya,

Saya akan dilatih cara berhadapan dengan kanak-kanak terutama yang  mengalami masalah kecelaruan bahasa. Data akan diambil berdasarkan ujian yang disemak oleh ahli terapi pertuturan bahasa supaya bersesuaian dengan minat kanak-kanak tersebut.

Kajian Dr. Norsofiah dilakukan terhadap kanak-kanak yang berumur antara enam hingga sembilan tahun untuk melihat keupayaan mereka berbahasa Melayu. Menurutnya, kajian tentang kecelaruan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, baik kanak-kanak normal mahupun yang normal masih rendah. Hal ini berbeza daripada kajian psikolinguistik yang cakupan datanya lebih meluas. Oleh itu,hal ini menyebabkan pengkaji linguistik klinikal mengalami kesukaran untuk mendapatkan panduan mengenai kanak-kanak yang mengalami kecelaruan bahasa perkembangan (DLD).

Ciri-ciri kanak-kanak yang mengalami kecelaruan bahasa perkembangan.

Beliau turut membandingkan psikolinguistik yang menggunakan teori untuk menerangkan proses sesuatu maklumat tetapi linguistik klinikal tidak menggunakan teori, malah mengambil data kanak-kanak yang berkecelaruan bahasa perkembangan, iaitu asbab perlakuan bahasa kanak-kanak tersebut menerusi kaedah kuantitatif yang lebih deskriptif.

Beliau juga menegaskan bahawa kanak-kanak DLD mempunyai pendengaran dan kognitif yang baik dan tidak mempunyai masalah artikulasi. Namun demikian, mereka masih mendapat markah yang rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kerana ketidakfahaman mereka dalam pemahaman dan penulisan.

Dalam kajian tersebut, beliau menggunakan kaedah pemahaman dan penghasilan melalui tiga aspek dalam ujian yang diajukan kepada kanak-kanak DLD dan tipikal, iaitu ayat tanya, ayat pasif dan ayat relatif. Dari sudut ayat pasif, kanak-kanak DLD tidak dapat memahami penggunaan morfem awalan “di” dengan memberikan jawapan yang sebaliknya. Begitu juga dalam ayat tanya, mereka menghadapi kekeliruan dalam penggunaan partikel “kah” . Mereka akan menghasilkan ayat aktif  yang sama seperti ayat pasif. Beliau juga berpendapat bahawa antara faktor kanak-kanak DLD tidak dapat mengenal ayat pasif kerana ayat pasif ialah variasi bahasa yang tinggi.

Berdasarkan kajian tersebut, beliau berharap agar sukatan pelajaran Bahasa Melayu dapat mengambil kira keupayaan berbahasa kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang linguistik klinikal sangat penting  untuk membantu perkembangan bahasa kanak-kanak tipikal apabila dikaitkan dengan kecelaruan bahasa kanak-kanak.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.