Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik harus mengambil daya usaha untuk memperkasakan dan melestarikan bahasa Melayu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Malahan ibu bapa pelbagai kaum serta warga pendidik juga harus menekankan kepentingan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak semasa mereka masih kecil lagi. Bak peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sehubungan dengan itu, Persatuan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) yang menjalankan aktiviti penerapan bahasa dan budaya Cina dalam kalangan masyarakat Cina di dalam negara telah melancarkan satu inisiatif baharu. Inisiatif tersebut adalah untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak Cina di Malaysia dengan penggunaan teknologi maklumat atau kemudahan internet.
YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Yang di-Pertua Dewan Negara, yang juga Pengerusi Yayasan Budi Malaysia, hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif tersebut. Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar selain warga pendidik, pemimpin masyarakat serta ahli politik juga perlu tekad dan berusaha untuk memperkasakan dan menerapkan budaya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat. Kanak-kanak Malaysia hendaklah diterapkan dengan budaya penggunaan bahasa Melayu semasa mereka kecil lagi.
Malahan, beliau turut menyarankan agar keperluan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kalangan golongan dewasa juga perlu diambil perhatian kerana mereka juga bersikap alpa terhadap kepentingan dan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan harian. Beliau juga menzahirkan perasaan dukacita dan terkilan kerana ada sesetengah ahli politik yang seharusnya menyahut dan berganding bahu dengan Perdana Menteri dalam memartabatkan bahasa Melayu didapati lebih ghairah dalam mengejar kuasa politik berbanding dengan usaha memperkasakan bahasa Melayu seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia secara amnya dan orang Melayu secara khususnya mengimbau sejarah ekspedisi dua orang tokoh pelayar China, seperti I-Ching dan Cheng Ho, yang pernah belayar ke Nusantara pada zaman dahulu. Menurut catatan I-Ching, beliau pernah singgah di Fu-Shih (Srivijaya), Mo-Lo-Yue (Melayu) dan Ka Cha (Kedah) pada tahun 671 Masihi.
Cheng Ho pula melawat Melaka sebanyak lima kali pada abad ke-14 (1405-1433 Masihi). Mereka belayar dengan tujuan untuk menyebarkan budaya dan keagungan negeri China. Catatan itu menunjukkan rasa terharu mereka dengan budaya dan ketamadunan Melayu serta penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca dalam kalangan rakyat dan pedagang di Nusantara.
Sehubungan dengan itu, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menggesa rakyat Malaysia agar memperluas minda dan menerapkan semangat kedua-dua orang tokoh pelayar tersebut dalam diri yang bukan sahaja mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi semata-mata, malah dalam mengembangkan bahasa Melayu ke seluruh dunia.
Beliau turut menyarankan agar rakyat Malaysia menyahut dan menyokong usasa Perdana Menteri yang banyak mengambil berat dan berdaya usaha terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu di dalam dan di luar negara. Hampir 300 juta orang di seluruh dunia menggunakan bahasa Melayu, malah bahasa ini merupakan bahasa ke-7 terbesar dan terpenting di dunia.
Oleh itu, beliau juga menyarankan agar rakyat mengambil iktibar daripada langkah Perdana Menteri dalam hal pemartabatan bahasa Melayu, dan bukannya asyik dan ghairah mengejar kuasa politik semata-mata untuk mengisi jawatan dalam kerajaan. Sebaliknya, pemimpin masyarakat serta ahli politik semasa di Malaysia mahupun masa hadapan perlu menghayati dan menggunakan serta memartabatkan bahasa Melayu ke persada dunia.
Tidak dapat dinafikan bahawa ledakan teknologi maklumat yang melahirkan fenomena Google telah menimbulkan proses osmosis budaya asing dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda Malaysia. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan serta ahli politik perlu mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan jati diri serta menerapkan kesungguhan politik (political will) dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan rakyat Malaysia. Malahan, parti politik dan persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum boleh mencontohi langkah Persatuan HAN dalam memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan pengikut dan ahlinya.
Menurut Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, keghairahan mengejar kuasa politik juga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa dan keturunan malah etnik. Bahasa dan budaya yang mampu menyatupadukan mereka. Bahasa Melayu merupakan jiwa rakyat Malaysia. Oleh itu, pendidik dan pemimpin masyarakat mahupun ahli politik tidak harus berasa bosan dalam memperkasakan bahasa Melayu. Sebaliknya, perlu sentiasa bersemangat untuk melestarikan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Memandangkan penggunaan bahasa Melayu kian merosot dalam kalangan rakyat terutama ahli politik dan kanak-kanak yang terpengaruh dengan budaya Google, maka ucapan dan saranan Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim kena pada masanya, malah dijangka dapat menyuntik semangat dan dorongan kepada para pendidik mahupun ahli politik dan pemimpin NGO untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memperkasakan dan melestarikan bahasa Melayu di dalam negara dan di persada dunia.
Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan dalam kalangan rakyat malah menjadi lingua franca dalam kalangan para pedagang di kawasan Nusantara atau Archipelago Melayu perlu digalas semula sebagai bahasa perantaraan di Malaysia atau ASEAN, bahkan pada peringkat antarabangsa. Bahasa Melayu adalah tunjang dan tiang seri perpaduan negara.