14 Oktober 2022, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Dua orang tokoh ternama dalam bidang bahasa dan sastera Melayu ditemu bual oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi segmen Selamat Pagi Malaysia bagi membicarakan isu berkaitan dengan “Bahasa dan Sastera Melayu Merentas Benua” pada pagi semalam.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika membacakan puisi “Mitos Bahasa” hasil karya beliau sendiri.

Dalam segmen tersebut, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pensyarah bebas, penyair dan penterjemah bertauliah, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman ditemu bual sebagai menghargai jasa dan sumbangan Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan di pentas antarabangsa.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan penerima Anugerah Pencapaian Persuratan Sepanjang Hayat oleh Motivational Strips, Gujerat Sahitya Academy daripada kerajaan India bersempena dengan sambutan kemerdekaan India yang ke-75. Beliau yang tidak dapat hadir dalam majlis tersebut diwakili oleh Dr. Raja Rajeswari yang turut menerima anugerah dalam bidang terjemahan dari negara berkenaan https://dewansastera.jendeladbp.my/2022/10/03/6074/.

Sebelum bermulanya sesi temu bual, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut mendeklamasikan sebuah puisinya yang bertajuk “Mitos Bahasa”. Beliau melahirkan rasa kesyukuran atas penganugerahan tersebut dan turut berkongsi anugerah itu bersama-sama sasterawan, penulis, dan budayawan di negara ini.

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana anugerah ini sebagai bukti bahawa bahasa Melayu, sastera Melayu, dan tamadun Melayu dihargai di seluruh dunia.

Bersama-sama beliau ialah Dr. Raja Rajeswari yang turut meraikan penganugerahan tersebut. Katanya, anugerah ini merupakan pengiktirafan dunia buat sasterawan dan individu yang memperkasakan dan memperjuangkan bahasa kebangsaan. Majlis penganugerahan tersebut turut dihadiri oleh negara lain seperti dari Nepal, Denmark dan Amerika Syarikat.

Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga menghargai usaha kerajaan yang menubuhkan dasar luar yang baharu, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang memberikan peluang kepada duta negara untuk menaikkan keindahan seni sastera dan budaya Melayu di pentas antarabangsa. Tambah beliau, hal ini merupakan kesempatan terbaik kepada rakyat untuk mempromosikan sastera dan budaya Melayu.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalamannya semasa menyandang Kursi Pengajian Melayu sebanyak dua kali di China pada tahun 2008.

Daripada empat buah universiti pada tahun 2008 ketika saya datang, sekarang sudah 13 buah universiti yang menawarkan Ijazah Bahasa Melayu.

Beliau menegaskan bahawa peluang tersebut merupakan peluang terbaik untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pelbagai kaum di negara ini.

Dr. Raja Rajeswari yang menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas India juga berkata bahawa bahasa Melayu yang dituturkannya merupakan penghormatan yang diberikan oleh negara tersebut yang bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada negara lain yang turut menggunakan bahasa ibunda mereka.

Sesi temu bual berlangsung di studio RTM.

Sebagai mengekalkan hubungan diplomatik yang erat antara kerajaan Malaysia dengan India, buku puisi Menganyam Tikar Peradaban yang diterbitkan oleh DBP dan buku Sejarah Perkembangan dan Linguistik Melayu oleh Prof. Emeritus Dr. Asmah Haji Omar menjadi buah tangan untuk dihadiahkan kepada negara tersebut. Buku ini dipilih kerana kandungan buku ini sangat signifikan sebagai simbolik perhubungan diplomatik dan sebagai bukti kepada masyarakat luar tentang kegemilangan bahasa Melayu yang telah bertapak sejak zaman dahulu.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.